Kickdefella

No One Dies A Virgin, Life Screws Us All

MH370: Krisis komunikasi seperti isu kangkung

Posted on April 3, 2014

Pada pandangan saya kelemahan Kerajaan di dalam menangani krisis #MH370 berkisar kepada kegagalan komunikasi. Implikasinya menunjukkan seolah wakil Badan Penyiasat dan Penerbangan Malaysia di dalam taklimat media tidak mengetahui maklumat yang tepat bila memberi maklumat. Dato’ Sri Hishamuddin berjaya mengawal keadaan tetapi akibat kegagalan sebelumnya, telah timbul krisis keyakinan yang serius. Suasana bertambah ‘chaotic’ bila PM Najib membuat kenyataan pada 24 Mac 2014. Pandangan saya berdasarkan fakta di bawah,

(i) PM dlm sidang media ke tiganya memaklumkan penerbangan berakhir di Selatan Lautan Hindi, tetapi fakta sebenarnya ialah data satelit (dan belum ada bukti penerbangan itu) yang terakhir ialah di Selatan Lautan Hindi. Pembentangan PM di parlimen dan sms MAS kepada keluarga mangsa menambah kekeliruan seolah pesawat itu telah terhempas di Selatan Lautan Hindi. Sehingga kini tiada pengesahan visual apalagi bukti yang menunjukkan pesawat itu berada di Selatan Lautan Hindi. Setakat ini, yang jelas dan terbukti ialah data satelit (handshake dengan pesawat) yang berakhir di situ.

(ii) MAS pada 8 Mac mengumumkan komunikasi terakhir MH370 ialah 2.41 AM.Tetapi kemudiannya DCA mengeluarkan fakta Komunikasi verbal terakhir sebenarnya 1.19 AM dan komunikasi terakhir dengan secondary radar ialah 1.21 AM.

(iii) PM di dalam sidang media ke 2 (15 Mac) mendakwa “human intervention in the cockpit”. Ini berdasarkan susunan bagaimana ACARS tidak lagi aktif sebelum komunikasi verbal terakhir, diikuti oleh Transponder juga tidak lagi aktif, dan kemudiannya pesawat membuat ‘air turnback’ lalu mengikut waypoint tertentu hingga hilang dari primary radar. Tapi MAS kemudiannya memberi maklumat yang membuka ruang kritikan bila menjelaskan bahawa transmisi ACARS dalam keadaan ‘cruising’ ialah setiap 30 minit, Jadi adalah tidak sahih dakwaan bahawa ACARS dimatikan sebelum komunikasi terakhir 1.19 AM. ACARS menurut MAS berkemungkinan dimatikan diantara 1.07 hingga 1.37 minit. Jadi ada kemungkinan selepas komunikasi verbal terakhir barulah masalah MH370 bermula. ACARS dan transponder pesawat menjadi tidak aktif, satu persatu atau mungkin secara serentak.

(iv) Di dalam taklimat media 9 Mac, di maklumkan kemungkinan ‘air turnback’ tetapi sehingga hari ini tiada penjelasan apa yang berlaku diantara radar awam di pihak Malaysia dengan TUDM dari 1.19 AM 8 Mac sehinggalah taklimat kepada PM pada petang 8 Mac yang turut dihadiri Panglima Tentera Udara (PTU). Tetapi Ketua Turus Angkatan Tentera menjelaskan dalam taklimat media yang sama bahawa air turnback itu tidak dikenalpasti secara realtime (sewaktu kejadian). Maksudnya ‘air turnback’ itu dikenalpasti setelah merujuk semula kepada rakaman data radar primary. Kekeliruan bertambah bila PTU mendakwa dalam taklimat media yang sama juga bahawa TUDM tidak bertindak kerana ‘blip’ menunjukkan ia pesawat komersil. Ini menunjukan ada pihak di TUDM menyedarinya secara realtime. Timbalan Menteri Pertahanan kemudian mendakwa di Parlimen bahawa TUDM menyangka pesawat itu membuat ‘air turnback’ atas arahan pihak tertentu. beliau kemudian menarik balik kenyataannya dan berkata ia hanya ‘assumption’.

(v) IGP mengesahkan mengenalpasti identiti pengguna passport curi pada 10 Mac 2014. Menteri KDN dakwa anggota Imigresen tidak buat kerja dengan betul kerana bagaimana etnik Asia boleh pegang passport Itali. Pengarah DCA sebaliknya memberi contoh Mario Balotelli seorang berkulit hitam tetapi memegang pasport Italy. Polis pada 11 Mac kemudiannya menunjukan dua keping gambar yang di cetak warna pada kertas A4 menunjukkan dua lelaki berkulit cerah keturunan Iran. Gambar itu mengelirukan kerana sekeping kertas telah koyak sebahagiannya dan bertulisan tangan dengan dakwat marker pen di atasnya. Satu persembahan yang tidak profesional di dalam kes tumpuan dunia.

(vi) All right goodnight. Pengarah DCA menyebut kalimah ini dalam taklimat media, CEO MAS pula berkata kemungkinan kalimah ini di lafazkan oleh Co Pilot MH370. Akhirnya semalam terbukti tiada kalimah itu dilafazkan oleh sesiapa di dalam pesawat MH370 yang berkomunikasi dengan mana-mana pihak di darat.

Ini adalah antara rentetan benda-benda kecil yang akhirnya menimbulkan persepsi bagaimana tidak terurusnya pihak Kerajaan mengendalikan krisis. Saya bagaimanapun berpendapat, ia tidak membuktikan kegagalan menangani krisis tetapi ia jelas adalah kegagalan menangani komunikasi yang berkesan. Ini adalah masalah yang menghantui kerajaan PM Najib sejak sekian lama. Masalah ini jugalah yang menghantui isu Lynas, kenaikan harga barang dan GST. Kalau kita ingat isu kangkung, ini isu yang sama. Bukan isu kegagalan menjalankan tanggungjawab, tetapi seakan ambil remeh bila memberi penjelasan.

Setelah mengulas panjang lebar, suka saya kata, tidak ada siasatan dalam apa tragedi sekalipun yang tidak mendapat kritikan. Baru-baru ini ketika banjir di Britain, pihak Kerajaan British dikecam dengan teruk sekali. Ketika 9/11, pihak perisikan Amerika mendapat kritikan yang amat dahsyat. Insiden ini adalah satu pelajaran yang tidak ternilai buat kerajaan Malaysia. Kita berharap ia memberi peluang untuk kerajaan menilai semula strategi komunikasi di dalam menangani krisis.

Kepentingan Cukai kepada Rakyat dan Negara.

Posted on October 9, 2013

Cukai merupakan satu instrumen ekonomi yang amat penting bagi sesebuah Negara memperolehi hasil atau pendapatan. Hasil daripada Cukai ini di gunakan oleh sesuatu Kerajaan itu untuk mentadbir dan mengurus Negara dan juga bagi perbelanjaaan membangunkan Negara. Cukai yang di kutip ini dibelanjakan oleh Kerajaan bagi tujuan Keselamatan Negara dan Rakyat, pembangunan fizikal dan infrastruktur seperti jalanraya, hospital, sekolah, tujuan membangunkan ekonomi, tujuan sosial seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan, kebajikan rakyat dan banyak lagi. Oleh itu kita perlu faham yang hasil cukai yang diperoleh daripada Rakyat melalui cukai yang kita sebagai individu perlu bayar kepada Kerajaan akan dapat dimanfaatkan dan di nikmati balik oleh kita sebagai Rakyat.

Cukai adalah suatu yang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan kita, pentabiran Negara dan ekonomi. Malah, jika kita melihat isu cukai ini dengan lebih mendalam, kita akan dapat melihat bahawa orang yang mendapat manfaat daripada cukai yang dikenakan ialah diri kita sendiri.

Secara ringkasnya, cukai ialah kunci kepada pentadbiran negara yang berkesan dan kita tidak akan dapat lari darinya. Namun, sebelum kita boleh menerima cukai dengan hati yang terbuka, seseorang itu perlulah faham bagaimana dan kenapa cukai digunapakai oleh sesebuah Negara.

Antara tanggungjawab kerajaan – yang memerlukan pendapatan dari cukai – ialah membina sekolah sebagai tempat untuk mendidik kanak-kanak. Cuba kita bayangkan di manakah kita sekarang, jika kerajaan mengabaikan tanggungjawab ini?

Selain daripada itu, kerajaan juga memperuntukkan dana untuk menyediakan infrastruktur asas seperti membina jalan yang menghubungkan kampung, pekan dan bandar dengan kawasan sekitarnya, dan membolehkan aktiviti perdagangan berlaku antara kawasan-kawasan tersebut.

Kerajaan juga bertanggungjawab untuk membina kemudahan awam seperti pasar untuk memberi ruang kepada rakyat untuk berniaga dan menjalankan kegiatan ekonomi mereka.

Peniaga tempatan akan mendapat keuntungan apabila barangan import dikenakan cukai – ini kerana ia  akan menggalakkan pengguna untuk memilih barangan tempatan yang lebih murah. Ini adalah satu strategi perdagangan yang penting yang digunakan oleh negara-negara di seluruh dunia dalam menjaga kepentingan rakyat tempatan.

Satu lagi kebaikan cukai ialah cukai yang dikenakan ke atas barangan seperti minuman keras, rokok dan perjudian. Beban cukai ke atas barangan-barangan ini adalah untuk memastikan aktiviti tidak sihat seperti meminum minuman keras, merokok dan berjudi akan dapat dikawal dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat. Selain itu, cukai yang dikenakan ke atas barangan-barangan ini juga boleh digunakan kearah aktiviti pemulihan, alam sekitar dan pelbagai kempen untuk menggalakkan cara hidup sihat.

Berdasarkan prinsip yang sama, kerajaan Malaysia memberi pelepasan cukai ke atas pembelian buku untuk menanamkan sikap rajin membaca di kalangan rakyat. Dengan adanya sistem percukaian, kerajaan mampu untuk membentuk masyarakat dan memupuk aktiviti sihat di kalangan rakyat.

Di Negara kita, hampir 70% daripada Hasil Negara datangnya dari Hasil Cukai. Cukai ini boleh di kelaskan kepada Cukai Langsung dan Cukai Tak Langsung. Cukai Langsung merupakan Cukai yang kita sebagai Rakyat membayar terus atau langsung kepada pihak Kerajaan.  Contoh Cukai Langsung yang paling ketara adalah seperti Cukai Pendapatan dan urusan hal ehwal Cukai Pendapatan ini di tadbir oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia. Sekiranya kita layak di kenakan Cukai Pendapatan, Cukai Pendapatan merupakan Cukai yang dikenakan terhadap pendapatan yang kita perolehi. Lebih banyak pendapatan yang kita peroleh, lebih banyak lah Cukai Pendapatan yang kita kena bayar.

Cukai Tak Langsung pula adalah Cukai yang tidak di bayar terus atau langsung kepada Pihak Kerajaan. Cukai Tak Langsung ini kita bayar kepada sesebuah kedai atau entiti perniagaan dan entiti perniagaan ini kemudiannya akan membayar cukai ini kepada pihak Kerajaan. Contoh Cukai Tak Langsung adalah seperti Cukai Perkhidmatan dan juga Cukai Jualan. Urusan Cukai Perkhidmatan dan juga Cukai Jualan ini ditadbir oleh pihak Jabatan Kastam di Raja Malaysia.

Sebagai contoh, apabila kita menginap di sesebuah Hotel atau makan di kedai kedai tertentu dan apabila kita membuat bayaran dan memperoleh resit bayaran, akan tertera di atas resit bayaran tersebut perkataan cukai perkhidmatan 6%. Cukai ini kita bayar kepada Hotel tersebut dan Hotel tersebut kemudiannya akan membayar Cukai Perkhidmatan ini kepada pihak Kerajaan.

Cukai Jualan pula merupakan Cukai yang dikenakan keatas pengilang yang mengilang barangan dan juga keatas pegimport yang mengimport barangan. Kebanyakkan barangan yang di kenakan Cukai Jualan adalah pada kadar 10%. Contoh barangan yang di kenakan Cukai Jualan adalah perabot, peti ais, television, baju, kasut, beg tangan dan banyak lagi barangan. Kita sebagai pengguna tidak tahu yang barangan ini telah di kenakan Cukai Jualan sebab ia tidak dinyatakan kepada kita. Cuma elemen Cukai jualan ini telah diambil kira sebagai kos apabila para peniaga menetapkan harga jualan barangan tersebut. Kita perlu faham yang hampir kebanyakkan barangan yang kita beli sekarang telah pun di kenakan Cukai Jualan.

Sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang ada sekarang mempunyai banyak kelemahan dan Kerajaan kehilangan banyak hasil disebabkan oleh kelemahan ini. Sebagai satu langkah reformasi cukai dan bagi memastikan sistem percukaian yang lebih adil telus dan efisien pihak Kerajaan telah menyatakan hasrat untuk memansuhkan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang ada sekarang dan menggantikannya dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan atau dalam bahasa Inggerisnya ‘Goods and Services Tax’ (GST)

Cukai barang dan perkhidmatan telah diperkenalkan di lebih daripada 160 buah negara di seluruh dunia dan telah terbukti berkesan di dalam konteks ekonomi moden. Negara-negara seperti Singapura, United Kingdom, Australia dan Thailand telah lama memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan dan Malaysia juga  dijangka akan turut memperkenalkan cukai ini tidak lama lagi. Dengan pengenalan cukai barang dan perkhidmatan ini, Negara akan melangkah setapak lagi ke arah status Negara maju dan Rakyat akan berada dalam sistem percukaian yang lebih adil, telus dan efisien.

Isu Syria

Posted on September 17, 2013

Lari dari kisah dalam negara Malaysia sejenak untuk melihat isu Syria yang kelihatan sekarang semakin jelas semuanya yang terjadi adalah hasil dari perancangan CIA.
Kita lihat sewaktu awalnya terjadi krisis perang saudara di Syria pada 2011 segalanya bermula apabila Kartunis terkemuka Syria yang menentang rejim Bashar , Ali Farzat telah ditangkap dan diculik oleh sekempulan mereka yang tidak dikenali yang dipercayai adalah terdiri dari pihak perisikan rahsia kerajaan Syria pada 25 Ogos 2011 di Umayyad Square, Damascus. Ali Farzat telah dicederakan kedua belah tangannya sambil diberi amaran untuk tidak lagi melukis karikatur yang mencerca Bashar. Ali Farzat adalah seorang kartunis yang pernah suatu ketika di ancam bunuh oleh Allahyarham Saddam Hussein kerana mengkritik Saddam dan pemimpin arab lain yang didakwanya mementingkan kekuatan tentera dari memikirkan masalah rakyat yang kelaparan. Ia didakwa oleh Ali Farzat sebagai polisi yang mementingkan kedudukan kerusi Presiden masing masing. Ali Farzat, juga sebelum itu telah diiktiraf oleh majalah TIME sebagai antara 100 orang paling berpengaruh di dunia.

Ali Farzat Kartunis yang diiktiraf oleh Majalah TIME sebagai antara 100 orang paling berpengaruh di dunia

Ali Farzat Kartunis yang diiktiraf oleh Majalah TIME sebagai antara 100 orang paling berpengaruh di dunia

Berbalik kepada peristiwa penculikan Ali Farzat tersebar kepada masyarakat Syria dan selepas itu pihak pembangkang Syria mula mengambil kesempatan atas nama kebebasan bersuara dan hak asasi manusia, mula menghasut rakyat Syria dengan membuat bantahan di jalanan menuntut reformasi dalam politik Syria. Rakyat Syria mula bangkit menentang Bashar dan Bashar juga telah respon kepada penentangan tersebut dengan berjanji untuk memberikan lebih ruang bersuara dan demokrasi kepada rakyat tapi penunjuk perasaan mahu Bashar meletakkan jawatan dan penentangan berlaku berterusan sehingga menganggu ekonomi negara Syria itu sendiri. Pelbagai tuduhan mula timbul terhadap Bashar dan yang paling utama adalah tuduhan terhadap Bashar adalah seorang Penganut Syiah, tuduhan yang paling mudah untuk membangkitkan kemarahan rakyat Syria yang mempunyai 2/3 populasi Sunni.

bshar
Jika disorot kembali pendirian pendirian sebelum ini yang diambil oleh Bashar dalam isu antarabangsa , seperti membantu penentang Hamas menentang Yahudi Israel, menyokong kuat kepimpinan Saddam dan juga penyokong allahyarham Presiden Libya, Muammar Gadaafi, maka tidak hairanlah mengapa Bashar dijadikan sasaran seterusnya oleh CIA untuk sekali lagi menyelamatkan kepentingan Israel. Peristiwa penculikan Ali Farzat digunakan sebaik mungkin untuk menuduh Bashar tidak menjalankan demokrasi dan menyekat hak bersuara dikalangan rakyat Syria.
Bagaimana mungkin untuk menuduh Bashar seorang Syiah sedangkan semasa pemerintahan sebelum ini beliau mempunyai hubungan yang baik dengan ulama Sunni malah Isteri beliau Asma Assad juga adalah seorang yang lahir dan dibesarkan oleh keluarga Sunni, suatu keadaan dimana isu sunni dan syiah ini adalah isu yang amat sensitif di Syria.
Melihatkan senario senario mutakhir ini yang berlaku di Syria termasuklah serangan senjata kimia di Damascus yang didakwa dilakukan oleh rejim Bashar walau beliau sendiri menafikannya, Dengan keadaan di Damascus juga sudah dikuasai oleh tentera Kerajaan Bashar, tiada sebab bagi Bashar menggunakan senjata kimia di tempat kelahirannya sendiri untuk membunuh orang awam dan kemasukan pemeriksa senjata PBB yang tidak ubah seperti bagaimana nasib yang berlaku di Iraq dalam isu tuduhan memiliki Senjata Pemusnah Besar besaran (WMD), saya terus mempunyai ‘second thougts’ dalam isu ini, peristiwa penculikan Ali Farzat ada kemungkinan dilakukan mereka yang sudah membuat pakatan dengan CIA, Penentang Bashar juga yang lengkap bersenjata sudah tentu ada pihak luar dari Syria yang membantu dan akhir sekali serangan senjata kimia keatas rakyat Syria yang mengakibatkan ramai terbunuh termasuk kanak kanak dan wanita mungkin dilakukan oleh pihak ketiga yang mahu mempercepatkan serangan Amerika keatas Syria dan seterusnya mendirikan kerajaan boneka di Syria yang lebih pro kepada Israel. Semoga Allah memberi petunjuk yang jelas kepada kita semua dalam berpendirian.
Tuduhan Bashar seorang Syiah adalah sebenarnya hanya untuk dijadikan alasan oleh rakyat Syria bangkit menentang, dan saya amat bersetuju dengan kenyataan beberapa pemerhati politik antarabangsa bahawa perang saudara di Syria bukanlah berkenaan Sunni dan Syiah sebenarnya ia tidak lebih hanya dari percaturan CIA dan Yahudi Israel.
Kita renung kembali bagaimana peristiwa 911 WTC yang menimbulkan banyak keraguan untuk mewajarkan kemasukan tentera Amerika ke Afganistan, Isu hak asasi di Mesir hingga membawa kepada kejatuhan Hosni Mubarak dan apabila pengantinya Presiden Morsi juga dilihat mengancam Israel, beliau juga dijatuhkan.
Kita di Malaysia juga harus berhati hati dalam mengambil pendirian, kebanyakan malah hampir semua usaha CIA dalam menjatuhkan kerajaan yang menjadi ancaman kepada kepentingan Yahudi adalah beralaskan alasan hak asasi manusia dan kebebasan bersuara, suatu alasan klise dalam menghuru harakan rakyat sesebuah negara. Semoga Allah memberikan petujuk dan hidayah kepada pemimpin pemimpin politik di Malaysia supaya bersatu dan tidak melihat sesuatu isu hanya dari dalam tempurung, lihatlah dari mata burung.

Menuruni Bukit Minden Ke Dataran George Square

Posted on September 13, 2013

Saya melangkah kaki untuk membuat ijazah pertama di Kampus Minden Universiti Sains Malaysia dikemuncak kejohanan Piala Dunia Itali 1990. Iaitu di saat Roger Milla mengganas dengan empat gol merobek gawang Romania dan Colombia. Pada ketika itu usia Roger Milla mencecah 40 tahun. Ini menyebabkan seorang ‘fresher’ veteran bernama Malon dari Sabah (atau Sarawak?) menjadi terkenal dengan panggilan ‘Roger Milla’. Malon berusia sekitar 40 an dan berkulit cerah dan berkepala botak, langsung tidak sama dengan Roger Milla, tetapi kerana dia adalah pelajar ijazah pertama yang sudah berusia, maka panggilan itu menjadi serasi dengannya.

Roger Milla selepas menjaringkan gol di Piala Dunia 1990

Dua hari lepas saya ke pesta persatuan-persatuan yang bernaung dibawah Edinburgh University Students’ Association (EUSA) dengan niat saya untuk mendaftar sebagai ahli kepada Edinburgh Malaysian Student’s Association (EMSA). Tidak saya menduga, apabila tiba di kaunter EMSA dan bertanya bagaimana untuk mendaftar sebagai ahli persatuan, pelajar cina dari Malaysia yang menjaga kaunter itu kelihatan geli hati dan berkata kepada saya, “Encik tidak kelihatan seperti seorang pelajar universiti…”

Saya tersenyum dan menjawab, “kalau saya boleh buktikan saya adalah seorang pelajar universiti, boleh kamu tolong bayarkan yuran keahlian saya…”. Saya tidak pasti jika saya boleh jadi Roger Milla di lapangan yang saya ceburi ini, tetapi saya pasti hari ini saya adalah ‘Malon’; botak, pendek dan berusia.

Kota lama Edinburgh adalah sesuai dikatakan sebuah kota di dalam kampus universiti walaupun hakikat sebenar bukan begitu. Tetapi kemana-mana kita melangkah, kita pasti akan bertemu dengan bangunan milik University of Edinburgh. Bahkan 1 per empat daripada lebih 400 ribu penduduk Edinburgh adalah pelajar.

Perpustakaan utama University of Edinburgh terletak di antara George Square dan The Meadows. The Meadows adalah sebuah padang rumput yang begitu luas sekali dan diberi anugerah taman millenia. Di katakan di The Meadows ini adalah tempat di mana ramai cendikiawan hebat dunia berjalan mencari ilham mereka. Disitulah saya duduk di pagi pertama saya sebagai pelajar universiti sambil merenung ke bangunan perpustakaan utama. Begitu ironi sekali kerana perpustakaan adalah punca mengapa saya mengambil kursus perfileman ketika saya di kampus Minden dahulu.

Pemandangan dari keluar dari jendela Perpustakaan Utama di George Square

Pemandangan dari keluar dari jendela Perpustakaan Utama di George Square

Pada tahun pertama saya di Universiti Sains Malaysia, Menteri Pelajaran ketika itu adalah Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Antara beberapa insiden yang menimbulkan kemarahan pelajar universiti selain daripada tindakan Anwar menaikkan yuran pengajian sebanyak lebih 20 peratus ialah tindakan kerajaan mengenakan kawalan lebih ketat ke atas kaedah berpakaian pelajar-pelajar di universiti awam. Antaranya ialah para pelajar tidak dibenarkan memakai kemeja t berkolar bulat dan mesti berambut pendek. Pihak keselamatan universiti diarahkan supaya memeriksa rambut pelajar di pintu masuk dan keluar perpustakaan.

Saya antara yang berambut panjang pada waktu itu. Sebagai protes terhadap arahan baru itu, saya memilih untuk protes dengan mendaftar kursus yang tidak memerlukan pelajar menghabiskan masa di dalam perpustakaan. Itulah puncanya saya mendaftar untuk membuat pengkhususan di dalam bidang perfileman kerana ia mempunyai studio filemnya sendiri lantaran tidak perlu ke perpustakaan.

Ketika saya berjalan masuk ke perpustakaan utama di George Square, saya ketawa melihat refleksi saya di cermin dan saya gelihati melihat kepala botak saya. Jikalau rambut saya 23 tahun dahulu seperti sekarang, sudah tentu saya tidak akan buat kursus perfileman tetapi saya akan meneruskan niat saya seperti tertanam sebelum masuk ke USM iaitu untuk membuat pengkhususan kewartawanan dan sains politik.

Sebaliknya, asas saya membuat pilihan sama seperti kebanyakan pelajar bumiputera di universiti ketika itu. Tiada apa sangat yang hendak dirisaukan. Kita tidak perlu mendapat keputusan terbaik dalam STPM untuk bersaing mendapat tempat untuk ijazah pertama di Universiti. Kita tidak perlu risau mencari wang sara diri kerana semua pelajar bumiputera yang berada di universiti akan diberi pinjaman boleh ubah oleh kerajaan pusat atau yayasan-yayasan milik negeri. Akhirnya, kita tidak perlu belajar bersungguh-sungguh pun, sebab cukup dapat ijazah kepujian sudah kira membanggakan sebagai anak tempatan.

Bagaimanapun budaya di sini amat berbeza dengan budaya di universiti tempatan. Setiap program ‘induction’ yang saya hadiri, penceramah akan mengingatkan para pelajar untuk memberi masa untuk berhibur, bersiar-siar dan bergembira. Berbeza dengan di Malaysia, setiap ceramah mengingatkan para pelajar tanggungjawab mereka sebagai pelajar dan tanggungjawab mereka kepada penaja mereka.

EUSA sendiri begitu menekankan aspek hiburan dengan pertubuhan pelajar itu sendiri memiliki lebih 4 pub dan lounge dengan live band dan majlis tari menari. Tidak perlu pun mereka menganjurkan program seperti kem bina semangat atau program bina negara. Cuba bayangkan ini semua dibudayakan di Malaysia?

Bagaimanakah hilangnya budaya tanggungjawab di kalangan bumiputera terutamanya orang-orang Melayu? Saya bertanya ‘bagaimana’ dan bukan ‘dimana’ kerana saya yakin, setiap rasa tanggungjawab telah terdidik dengan sendirinya didalam hampir setiap keluarga semenjak anak-anak kecil lagi. Dan jika rasa tanggungjawab itu tidak hilang, saya sendiri tidak akan mempertaruhkan rambut saya untuk masa depan sendiri.

Lantaran dilemma Melayu ini tidak berakhir setakat universiti sebaliknya terus menghantui negara di segenap peringkat. Saya telah menghadiri sessi tertutup berhubung Trans-Pacific Partneship (TPP) atau Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik sehari sebelum saya bertolak ke Edinburgh. Saya kagum dengan hujah dan pembentangan fakta oleh wakil-wakil pelabur, perniaga dan profesional bukan Melayu. Ternyata penekanan mereka lebih tertumpu kepada permasalahan-permasalahan meluas yang bakal memberi kesan kepada negara dan rakyat. Sebaliknya, wakil kelompok-kelompok Melayu pula hanya berselindung disebalik kalimah kedaulatan negara tetapi hakikatnya mereka risau kemampuan diri untuk bersaing.

UMNO sebagai parti teras di dalam kerajaan sejak pilihanraya pertama 1955 dahulu perlu menerima sedikit sebanyak tanggungjawab terhadap aspek negatif dalam diri orang-orang Melayu ini. UMNO tidak boleh menggunakan kebergantungan orang-orang Melayu kepada UMNO sebagai cara untuk terus kekal berkuasa. Kesedaran dan penolakan terhadap strategi UMNO ini telah membawa kesan kepada prestasi Barisan Nasional di dalam dua pilihanraya yang lepas. Dengan semakin membesarnya kelompok pertengahan di dalam Malaysia, semakin ramai yang sedar akan realiti ini. Lantaran ada yang mendakwa UMNO telah secara halus mengakibatkan orang-orang Melayu terus lemah dengan nikmat berbergantungan ini supaya mereka akan terus bergantung kepada UMNO untuk membela mereka. Saya sendiri merasakan dakwaan itu tidak sepenuhnya betul. Bagaimanapun, saya melihat banyak pihak terutamanya ahli-ahli UMNO dan juga usahawan-usahawan Melayu yang begitu mendesak supaya kebergantungan ini bukan sahaja diteruskan tetapi diperluaskan.

Pemandangan dari dataran di dalam Old College, South Bridge Edinburgh

Pemandangan dari dataran di dalam Old College, South Bridge Edinburgh

Jika Melayu itu ibarat seekor harimau, jangan kebergantungan itu menjadikan mereka seekor kucing domestik. Hendak makan minta. Cuma liar bila nak mengawan dan berebut wilayah sahaja.

Saya amat gembira berada di dalam perpustakaan utama di George Square. Ia melahirkan perasaan yang tenang dan mewah. Ia sebuah gedung yang kaya dengan segala ilmu. Jikalau 23 tahun dulu saya tidak mementingkan rambut yang panjang, mungkin saya juga akan merasai hakikat yang sama di perpustakaan di Bukit Minden. Saya dilahirkan pada tahun 1970. Generasi Dasar Ekonomi Baru (DEB). Apakah generasi DEB adalah kucing domestik? Harapnya tidak, sebab saya lebih suka jadi Roger Milla.

Pertahankan Kalimah Allah!

Posted on September 11, 2013

Semalam, 10 September 2013, Isu Kalimah Allah sekali lagi bergema apabila pendengaran terhadap rayuan Kerajaan Persekutuan untuk mengenepikan keputusan terdahulu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan, pada 31 Disember 2009 yang mana membenarkan Kalimah Allah digunakan dalam penerbitan Majalah “Herald – The Catholic Weekly” sekaligus membatalkan keputusan larangan penggunaan Kalimah Allah dalam penerbitan itu oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia bertarikh 7 Januari 2009.

Antara alasan penghakiman yang digunakan oleh Hakim Datuk Lau Bee Lan pada ketika itu adalah pada Perlembagaan artikel 3(1) yang mana ia adalah hak kepada agama selain Islam, hendaklah diamalkan dalam suasana aman dan harmoni di mana mana bahagian Persekutuan.  Selain dari menggunakan artikel 10, 11 dan 12 sebagai alasan untuk membenarkannya. Dari segi situasi yang berlaku sekarang,  jelas disini kebenaran terhadap penggunaan kalimah Allah dalam majalah tersebut mengugat suasana aman dan keharmonian dalam Negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan didiami oleh majoriti penduduk Islam maka sewajarnya larangan untuk The Herald- The Chatolic Weekly menggunakan kalimah Allah haruslah dikenakan.

Tetapi dalam pada Kerajaan Malaysia dan rakyat berjuang untuk mempertahankan Kalimah Allah dari terus digunakan oleh Pihak Gereja Kristian di semenanjung Malaysia, ada pula golongan yang terlalu memikirkan keuntungan politik terus terusan mencari salah Kerajaan dengan meletakkan punca kepada kegawatan isu ini adalah dari Kerajaan, sehingga ada yang mempersoalkan perlantikan Hakim yang mengendalikan isu ini pada awalnya adalah bukan Islam, sedangkan mereka yang arif dalam soal perundangan amat faham dan mengetahui Kerajaan tiada kuasa sama sekali dalam soal menentukan hakim, termasuklah dalam melepaskan Anwar dari tuduhan liwat kerana kekhilafan teknikal. Perlantikan hakim adalah mengikut sistem giliran mengikut kes yang difailkan dan tiada siapa boleh memilih dengan hakim mana boleh mengadili kes kes yang difailkan. Tapi akibat doktrin oleh pihak pembangkang soal pemilihan hakim pun nak disalahkan Kerajaan.

Tidak cukup dengan itu, pihak pembangkang juga membantu mencipta seribu satu alasan untuk memberi gambaran kepada rakyat bahawa dalam isu ini Kerajaan telah meluluskan penggunaan Kalimah Allah di Sabah dan Sarawak, membuatkan rakyat melihat isu ini tidak boleh diselamatkan lagi, sedangkan mereka tidak pernah kembali kepada sejarah terbentuknya Negara Malaysia pada 16 September 1963 ketika Sabah dan Sarawak yang mempunyai populasi Kristian sebagai majoriti disana ketika itu dibawa masuk bersama sama “Perjanjian 20 Perkara”.  Dalam perjanjian yang dibentuk melalui Suruhanjaya Cobbold itu dalam perkara pertama ia telah menetapkan bahawa mereka (Borneo Utara) bersetuju dengan Agama Islam adalah Agama persekutuan tetapi apa apa berkaitan dengan perundangan Islam yang diamalkan dalam Perlembagaan tidak wajib di di amalkan di Sabah dan Sarawak, itu adalah sebahagian syarat yang menyebabkan Borneo Utara bersetuju menyertai Malaysia. Dan pembangkang juga tidak memperlihatkan kepada rakyat bahawa daripada penerimaan Kerajaan Persekutuan dengan Perjanjian 20 itu, maka Islam di Sabah dan Sarawak dapat dikembangkan dan  kini terdapat beratus ratus masjid yang dibina oleh Kerajaan untuk memenuhi keperluan ibadah umat Islam di sana, yang kini mencecah sehingga kepada lebih 30% populasi penduduk.

Dan demi kepentingan politik pembangkang untuk meraih sokongan bukan melayu dan bukan Islam lah maka Presiden PAS, Haji Hadi Awang sendiri membuat ketetapan bersejarah membenarkan kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam tanpa paksaan UMNO , malah ia dibuat untuk bukan Islam melihat mereka lebih LIBERAL dari UMNO demi memenuhi tuntutan slogan ‘PAS FOR ALL’ dalam kerjasama DAP dan PKR. Ternyata mereka berjaya meraih sokongan politik bilamana calon mereka menang dengan bergaya hasil dari bantuan sokongan bukan Islam dibeberapa kawasan. Perkara ini walau menimbulkan sedikit kekalutan dalam PAS tapi mereka tetap lebih suka berkerjasama dengan DAP dan PKR walau kesucian kalimah Allah ini dijadikan pertaruhan dan ini terbukti apabila tiada wakil dari PAS datang bersama sama dalam memberikan sokongan kepada permohonan rayuan Kerajaan ini.

PAS FOR ALL kini lebih suka kepada isu isu yang memberikan keuntungan politik keduniaan kepada mereka seperti isu kenaikan harga, royalti minyak dan hak asasi untuk menuntut ini semua mereka sanggup bergadai nyawa menganjurkan berbagai flashmob dan himpunan. Saya tidak pernah PAS menganjurkan tunjuk perasaan atau solidarity untuk isu yang mereka sendiri perjuangkan iaitu HUDUD, kerana seperti mana biasa jika alasan tidak boleh melaksanakan Hudud adalah ekoran dari halangan Kerajaan maka sewajarnya PAS dan pengikutnya meletakkan kepentingan untuk berdemonstrasi  atas isu ini lebih utama dari menerjah pasukan Polis untuk membawa isu yang dikepalai Ambiga.

Golongan muda Islam dalam Pakatan Rakyat pula kini termakan dengan hasutan sejarah yang mahu mengangkat kembali bendera ‘Sang Saka Malaya’ yang datang bersama ‘Perlembagaan Rakyat ‘ pada 1947 oleh PUTERA-AMCJA yang antaranya menuntut kesamarataan kaum bukan kesaksamaan kaum di satu satunya bumi Melayu ini seperti idea yang berlaku di Indonesia, menuntut kepada penghapusan sistem Monarki Beraja yang menjadi tonggak Melayu Islam di Negara ini. Dan mereka telah gagal mengambil tauladan yang mana jika itu berlaku dahulu maka Malaysia sekarang tidak ubah seperti nasib Indonesia yang masih teraba raba dalam mencari identiti Islam sehinggakan perkahwinan antara Islam dan Kristian dibenarkan disana serta Kalimah Allah diajarkan kepada anak anak Islam di sekolah oleh tenaga pengajar Kristian dengan konsep yang menyeleweng dari ajaran Islam itu sendiri.

Jelaslah sekarang selagi PAS bersama sama dalam Pakatan Rakyat maka segala isu tentang Islam yang berlaku dalam Negara ini haruslah mengambil kira sensitiviti rakan sekutu mereka DAP kerana mereka pun sedar kerusi yang mereka miliki kini adalah yang paling rendah dalam Pakatan Rakyat jika nak dibandingkan dengan Kerusi yang dimiliki oleh PKR dan DAP , maka atas pertimbangan kepentingan politiklah mereka tak mungkin bersama sama atas isu yang akan membuatkan sokongan terhadap mereka hilang. Mereka juga sedar jika Pakatan Rakyat yang memerintah Malaysia mereka harus menjadi ‘yes man’ kepada rakan sekutu mereka demi menjaga jawatan jawatan yang akan diberikan kepada mereka , apa yang lebih penting kepada mereka adalah ASAL BUKAN UMNO(ABU) bukannya untuk ISLAM.

Saya dan jutaan rakyat Malaysia yang beragama Islam yang lain mengharapkan dan berdoa supaya keputusan mahkamah rayuan yang bakal diumumkan pada Oktober depan akan memihak kepada Kerajaan. Pertahankan Kalimah Allah!

Dari Dang Wangi Ke Holyrood Road

Posted on September 10, 2013

Holyrood Road di Kota Edinburgh terkenal dengan Palace Of The Holyroodhouse, kediaman rasmi Ratu Elizabeth di Scotland. Ia terletak di penghujung ‘Royal Mile’ yang bermula dari Edinburgh Castle. Studio saya hanya dua ratus meter dari Istana Holyroodhouse itu, dan di antara studio saya dan istana itu, dipisahkan oleh Parlimen Scotland.

Pandangan ke Holyrood Road dari tebing Arthur's Seat

Pandangan ke Holyrood Road dari tebing Arthur’s Seat

Hampir genap lima tahun yang lalu pada bulan ini, saya pernah menginap 3 malam di lokap Balai Polis Dang Wangi. Sebuah ruang kecil dengan tandas yang tersumbat dan lubang cahaya ditutup, saya menginsafi kehidupan.

Semalam, lebih kurang jam dua pagi saya terjaga. Malam musim panas yang amat dingin dengan suhu 7 darjah celcius. Saya menghidupkan alat pemanas, dan bila suasana di bilik mula nyaman, saya cuba untuk kembali tidur. Pada waktu yang sama, hidung saya yang tersumbat kerana sejuk juga mulai lapang untuk bernafas, akibatnya saya tidak dapat tidur. Ini kerana beberapa inci dari kepala katil saya ialah sinki dapur. Mula-mula usaha saya untuk melelapkan mata diganggu oleh tinggalan bau cecair pencuci pinggan, kemudian diganggu oleh bau segala rempah ratus yang dibungkus oleh isteri saya sebagai bekalan, seterusnya oleh bau tumisan bawang putih pagi tadi yang terus kekal dibilik itu.

Lalu saya mengeluh dan mengeluh serta berfikir dan terus berfikir bagaimana hendak menyelesaikan semua masalah ini dalam suasana dimana, tingkap hanya satu dan tidak boleh dibuka kerana udara yang terlalu dingin di luar sana. Akhirnya saya tertanya, kenapa 5 tahun lalu ketika saya seorang diri di dalam lokap, tanpa baju, tanpa selimut dan hanya berseluar pendek berbaring di atas lantai kasar dan kotor itu saya tidak pernah mengeluh? Kenapa lima tahun dahulu saya juga tidak mengeluh bau najis yang tersumbat sedangkan jaraknya hanya satu meter setengah dari saya? Kenapa juga gangguan gigitan ratusan nyamuk dan bunyi-bunyi esakan tangisan dari sel sebelah pun tidak menjadi beban pada malam saya? Pelik juga. Adakah kerana bila kita berada di dalam serba kekurangan, kita redha dan menerima seadanya sebagai ketentuan dan takdir Illahi?

Jadi mengapa bila kita di dalam serba lengkap dan sempurna pula kita mula merungut? Apakah kerana kita merasakan kesempurnaan itu adalah hak kita? Jadi kita redha dengan kekurangan dan mengeluh dengan kesempurnaan?

Pada April 2009, saya buat keputusan untuk tidak meneruskan tugas saya di dalam Pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan kerana Kerajaan Pusat sudah tidak lagi dipimpin oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi. Masalah saya bukan dengan Dato’ Seri Najib tetapi dengan kepimpinan Abdullah dan pemimpin-pemimpin UMNO yang kaki ampu dan kaki bodek yang akan mempertahankan periuk nasi mereka dengan menjilat tapak kaki Abdullah. Bagi saya perjuangan pimpinan-pimpinan tersebut bukan lagi untuk agama, bangsa dan negara tetapi untuk Abdullah, kedudukan dan harta.

Terimakasih kepada Ariffahmi, laluan saya itu dipermudahkan, tetapi itu adalah kisah lain, untuk hari yang lain.

Apabila Dato’ Seri Najib mengangkat sumpah menerajui negara, dia memikul amanat yang amat berat, seperti juga sewaktu arwah ayahanda beliau menerima jawatan itu 4 dekad yang lalu. Malaysia memang mempunyai pelbagai masalah sama ada dari segi sosial, politik atau ekonomi tetapi selama kepimpinan Tun Dr. Mahathir, masalah itu dibendung dan kekurangan di tempat tertentu ditampung dengan kelebihan di sektor yang lain. Keseluruhannya, ia berjaya menggembirakan rakyat. Biar sebesar mana masalah di dalam UMNO dan negara, tetapi tiap kali pilihanraya, mandat besar akan terus diberi terutamanya dari masyarakat bukan Melayu.

Tetapi Abdullah mempunyai corak pentadbiran yang merisaukan. Dia seolah tidur lena diatas segala masalah dalam negara mengakibatkan masalah itu membawa kepada barah yang merbahaya. Mujurlah akhirnya sebahagian anggota Majlis Tertinggi UMNO terutamanya Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Dato’ Dr Awang Adek Hussin antaranya bertikam lidah menekan Abdullah untuk memberi laluan kepada Najib.

Tetapi Najib berdepan dengan laluan yang amat sukar. Tanpa mandat yang kukuh Najib terpaksa mewarisi barah yang semakin menular dalam negara. Saya tidak punyai perasaan lain selain dari rasa simpati kepadanya. Hari demi hari kita melihat Najib berusaha keras tetapi diluar dari kepompong politik tekanan amat besar. Segala tindakan yang hendak diambilnya menimbulkan pro dan kontra yang sama hebat. Kerapkali, ditelan mati mak, diluah mati bapak terutama dalam isu-isu melibatkan kaum-kaum di Malaysia.

Saya merasa amat-amat kecewa dengan perkembangan mutakhir ini. Najib Razak bukan maksum dan beliau boleh dan perlu dikritik diatas percaturannya yang kadang kala dilihat menimbulkan kontroversi. Bagaimanapun, menekan Najib dengan menyalakan api perkauman adalah sesuatu yang tidak wajar sama sekali.

Menjadi Melayu bukan satu hak yang mana kita boleh mengeluh dan merungut bila kita gagal mendapat habuan atau tender Kerajaan. Senjata kita ialah perjuangan dan bukan membebel dengan apa yang tidak kita perolehi. Tindakan menekan Dato’ Seri Najib oleh cendikiawan dan ahli-ahli perniagaan Melayu serta kumpulan-kumpulan pendesak adalah tidak wajar.

Mengapa sering dipertikaikan pemberian kerajaan kepada komuniti-komuniti yang mewakili masyarakat bukan Melayu sedangkan kita patut lihat di dalam diri kita sendiri dan bertanya, dengan apa yang kita perolehi, tender dan projek, pangkat dan jawatan selama ini, apakah sumbangan kita semula kepada negara?

Alangkah baiknya, profesor-prosefor Melayu bertungkus-lumus menggunakan akal fikiran bijaksana mereka untuk melahirkan teori dan formula yang dapat membantu menyelesaikan masalah negara supaya orang-orang Melayu terus ke hadapan. Begitu juga dengan tokoh-tokoh perniagaan Melayu, mereka harus bertanya kepada diri mereka mengapa setelah 40 tahun lebih bantuan tidak berbelah bahagi kerajaan kepada mereka, mereka masih ditakuk ini, mengeluh dan merungut?

Najib bukan Abdullah Ahmad Badawi tetapi Najib terpaksa mewarisi penyakit yang subur merebak semasa Abdullah. Jika kita sayangkan Malaysia, kita perlu bersatu dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Najib disamping turut terus menegur dan mengkritik mana-mana aspek yang pada pandangan kita adalah tidak betul.

Setiap sokongan, teguran dan kritikan adalah penting dan janganlah kita pula penyokong, penegur dan pengkritik berperang sesama sendiri.

Seringkali laluan buat Najib ternyata bengkang bengkok sehingga kita sendiri kekadang jadi keliru dengan kewajaran tindakannya. Fahamilah, Najib bukan sahaja berdepan dengan penentangan dari pembangkang, tetapi juga berdepan dengan pelbagai tuntutan dari kalangan pemimpin dalam parti-parti komponen Barisan Nasional sendiri. Dan dalam masa terdekat, Najib perlu pastikan survivalnya sendiri di dalam pemilihan pucuk pimpinan UMNO akan datang. Memastikan dirinya kekal sebagai presiden UMNO bukan tuntutan peribadinya tetapi adalah tanggungjawab beliau kepada rakyat yang telah memberi mandat kepadanya di dalam PRU yang baru lalu.

Tiba pilihanraya umum ke 14, terserahlah kepada kita untuk membuat keputusan yang baharu. Kekal BN atau pilih PR adalah hak kita masing-masing. Tetapi sehingga itu, kerajaan yang dipilih berhak mendapat sokongan padu kita. Hak kita bukan untuk mengeluh dan merungut, hak kita terbit dari usaha kita mencapainya.

Ketepi Tanda Putra, Masa Untuk Nam Ron & Psiko Pencuri Hati

Posted on September 4, 2013

Dua bulan lepas, saya dijemput untuk menonton previu Psiko Pencuri Hati bersama penerbit dan tenaga kerjanya di The Curve. Ternyata, selepas menonton filem tersebut, saya rasa bersyukur kerana dijemput.

Jarang saya merasa terpegun menonton filem tempatan terutamanya bila melihat dari aspek teknikal dan pengarahan, tetapi karya sulong Nam Ron ini memang berjaya mencuri hati saya. Sebelum ini Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan mencipta nama sebagai seorang pelakon dan pengarah teater sebelum memikul banyak watak-watak ‘berkarektor’ di dalam filem-filem tempatan. Bagaimanapun, Nam Ron memang mempunyai bakat seni semulajadi dan Psiko Pencuri Hati adalah sebuah filem yang menayangkan semua bakat seni yang ada di dada individu bernama Nam Ron ini.

Nam Ron berjaya menjadikan Psiko Pencuri Hati sebagai sebuah filem suspens yang padat dengan shot-shot yang berkesan, lakunan yang bermutu dan penceritaan yang menguji ketajaman minda penonton.

Sebelum ini telah ramai anak tempatan cuba bermain dengan genre ini tetapi ia gagal kerana ketiadaan gabungan 3 elemen di atas.

Seperti saya sebut, Nam Ron adalah pelakon yang hebat dan tidak mustahil dia memilih untuk bekerja dengan barisan pelakon-pelakon yang berwibawa dan bukan cari makan dengan gossip, glamour dan rupa lawa. Pilihan pelakon seperti Bront Palarae, Sharifah Amani dan Syed Hussein untuk membawa cerita ini sebabak ke sebabak ke hadapan amat tepat. Apatah lagi watak yang dibawa oleh Sharifah Amani jika jatuh kepada pelakon yang salah sudah tentu akan memuak dan membosankan.

Bagaimanapun disebalik kekuatan yang ada di dalam filem Psiko Pencuri Hati, ada juga tersebit sedikit kelemahan dari segi skripnya. Ada ketikanya, kemungkinan pengarah dan penulis skrip risaukan ketajaman minda penonton memahami jalan cerita menyebabkan mereka terperangkap dengan terjerumus ke jalan mudah. Tetapi itu soal teknikal. Berapa kerat penonton yang ke pawagam untuk mengkaji dari aspek teknikal.

Seringkali kita ke pawagam untuk bersuka-suka bersama rakan-rakan dan keluarga. Kita tidak ke pawagam untuk melihat orang kencing diatas bendera atau melihat kontroversi fiksyen yang keterlaluan. Kita juga tidak ke pawagam untuk berpolitik dan menjadi mangsa propaganda yang tiada lain selain menghasut satu kelompok masyarakat ke atas kelompok lain. Untuk itu, tidak hairan mengapa rakyat Malaysia yang semakin bijak menolak Tanda Putra di pawagam.

Sebaliknya, jika anda mahu ke pawagam untuk relaks dan melupakan segala politik yang tidak berkesudahan di negara kita ini, atau untuk melupakan rasionalisasi yang tidak masuk akal oleh wakil-wakil kerajaan mengenai kenaikan terbaharu harga Ron 95, mana cadangan saya, pilihlah karya Nam Ron ini. Ia sebuah filem yang sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat.

Jika anda seorang Melayu, bawalah rakan Cina dan India anda dan sudah tentu anda akan keluar tersenyum dan gembira dan merasakan semangat Merdeka yang lebih membara. Sesuatu yang anda tidak akan dapat dengan menonton Tanda Putra.

Filem ini juga bukanlah genre filem seni yang meleret-leret dan memeningkan. Psiko  Pencuri Hati penuh dengan elemen suspen, komikal dan tragedi.

Filem yang hebat tidak memerlukan pembelaan atau tidak perlu diangkat berlebih-lebihan. Ia hanya perlu ditonton. Bahkan satu faktor yang amat unik ialah selepas anda menonton Psiko Pencuri Hati, cuba risik-risik berapa kos keseluruhan pembikinan filem ini.

Psiko Pencuri Hati disiapkan dengan bajet hanya RM1.07 juta tetapi kualitinya dari segenap aspek termasuklah kesan grafiknya jauh lebih baik dari filem yang dibikin dengan RM4.8 juta dana kerajaan. Betullah kata-kata pensyarah saya sewaktu di universiti dahulu, “karya seni perlu lahir dari keikhlasan karyawannya”, dan di dalam Psiko Pencuri Hati, anda tidak akan melihat selain keikhlasan beberapa kelompok anak-anak Malaysia mahu melahirkan karya mereka secara bersungguh-sungguh. Sebab itu, selepas menonton filem ini anda akan mengalami satu pengalaman estetika.

Saya mengalami pengalaman estetika menonton filem ini. Terima kasih kepada semua yang terlibat membikin filem ini. Ini adalah filem untuk rakyat Malaysia. Ia akan menemui penonton dilebih 60 pawagam seluruh negara mulai 5 September 2013.