Holyrood Road di Kota Edinburgh terkenal dengan Palace Of The Holyroodhouse, kediaman rasmi Ratu Elizabeth di Scotland. Ia terletak di penghujung ‘Royal Mile’ yang bermula dari Edinburgh Castle. Studio saya hanya dua ratus meter dari Istana Holyroodhouse itu, dan di antara studio saya dan istana itu, dipisahkan oleh Parlimen Scotland.

Pandangan ke Holyrood Road dari tebing Arthur's Seat

Pandangan ke Holyrood Road dari tebing Arthur’s Seat

Hampir genap lima tahun yang lalu pada bulan ini, saya pernah menginap 3 malam di lokap Balai Polis Dang Wangi. Sebuah ruang kecil dengan tandas yang tersumbat dan lubang cahaya ditutup, saya menginsafi kehidupan.

Semalam, lebih kurang jam dua pagi saya terjaga. Malam musim panas yang amat dingin dengan suhu 7 darjah celcius. Saya menghidupkan alat pemanas, dan bila suasana di bilik mula nyaman, saya cuba untuk kembali tidur. Pada waktu yang sama, hidung saya yang tersumbat kerana sejuk juga mulai lapang untuk bernafas, akibatnya saya tidak dapat tidur. Ini kerana beberapa inci dari kepala katil saya ialah sinki dapur. Mula-mula usaha saya untuk melelapkan mata diganggu oleh tinggalan bau cecair pencuci pinggan, kemudian diganggu oleh bau segala rempah ratus yang dibungkus oleh isteri saya sebagai bekalan, seterusnya oleh bau tumisan bawang putih pagi tadi yang terus kekal dibilik itu.

Lalu saya mengeluh dan mengeluh serta berfikir dan terus berfikir bagaimana hendak menyelesaikan semua masalah ini dalam suasana dimana, tingkap hanya satu dan tidak boleh dibuka kerana udara yang terlalu dingin di luar sana. Akhirnya saya tertanya, kenapa 5 tahun lalu ketika saya seorang diri di dalam lokap, tanpa baju, tanpa selimut dan hanya berseluar pendek berbaring di atas lantai kasar dan kotor itu saya tidak pernah mengeluh? Kenapa lima tahun dahulu saya juga tidak mengeluh bau najis yang tersumbat sedangkan jaraknya hanya satu meter setengah dari saya? Kenapa juga gangguan gigitan ratusan nyamuk dan bunyi-bunyi esakan tangisan dari sel sebelah pun tidak menjadi beban pada malam saya? Pelik juga. Adakah kerana bila kita berada di dalam serba kekurangan, kita redha dan menerima seadanya sebagai ketentuan dan takdir Illahi?

Jadi mengapa bila kita di dalam serba lengkap dan sempurna pula kita mula merungut? Apakah kerana kita merasakan kesempurnaan itu adalah hak kita? Jadi kita redha dengan kekurangan dan mengeluh dengan kesempurnaan?

Pada April 2009, saya buat keputusan untuk tidak meneruskan tugas saya di dalam Pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan kerana Kerajaan Pusat sudah tidak lagi dipimpin oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi. Masalah saya bukan dengan Dato’ Seri Najib tetapi dengan kepimpinan Abdullah dan pemimpin-pemimpin UMNO yang kaki ampu dan kaki bodek yang akan mempertahankan periuk nasi mereka dengan menjilat tapak kaki Abdullah. Bagi saya perjuangan pimpinan-pimpinan tersebut bukan lagi untuk agama, bangsa dan negara tetapi untuk Abdullah, kedudukan dan harta.

Terimakasih kepada Ariffahmi, laluan saya itu dipermudahkan, tetapi itu adalah kisah lain, untuk hari yang lain.

Apabila Dato’ Seri Najib mengangkat sumpah menerajui negara, dia memikul amanat yang amat berat, seperti juga sewaktu arwah ayahanda beliau menerima jawatan itu 4 dekad yang lalu. Malaysia memang mempunyai pelbagai masalah sama ada dari segi sosial, politik atau ekonomi tetapi selama kepimpinan Tun Dr. Mahathir, masalah itu dibendung dan kekurangan di tempat tertentu ditampung dengan kelebihan di sektor yang lain. Keseluruhannya, ia berjaya menggembirakan rakyat. Biar sebesar mana masalah di dalam UMNO dan negara, tetapi tiap kali pilihanraya, mandat besar akan terus diberi terutamanya dari masyarakat bukan Melayu.

Tetapi Abdullah mempunyai corak pentadbiran yang merisaukan. Dia seolah tidur lena diatas segala masalah dalam negara mengakibatkan masalah itu membawa kepada barah yang merbahaya. Mujurlah akhirnya sebahagian anggota Majlis Tertinggi UMNO terutamanya Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Dato’ Dr Awang Adek Hussin antaranya bertikam lidah menekan Abdullah untuk memberi laluan kepada Najib.

Tetapi Najib berdepan dengan laluan yang amat sukar. Tanpa mandat yang kukuh Najib terpaksa mewarisi barah yang semakin menular dalam negara. Saya tidak punyai perasaan lain selain dari rasa simpati kepadanya. Hari demi hari kita melihat Najib berusaha keras tetapi diluar dari kepompong politik tekanan amat besar. Segala tindakan yang hendak diambilnya menimbulkan pro dan kontra yang sama hebat. Kerapkali, ditelan mati mak, diluah mati bapak terutama dalam isu-isu melibatkan kaum-kaum di Malaysia.

Saya merasa amat-amat kecewa dengan perkembangan mutakhir ini. Najib Razak bukan maksum dan beliau boleh dan perlu dikritik diatas percaturannya yang kadang kala dilihat menimbulkan kontroversi. Bagaimanapun, menekan Najib dengan menyalakan api perkauman adalah sesuatu yang tidak wajar sama sekali.

Menjadi Melayu bukan satu hak yang mana kita boleh mengeluh dan merungut bila kita gagal mendapat habuan atau tender Kerajaan. Senjata kita ialah perjuangan dan bukan membebel dengan apa yang tidak kita perolehi. Tindakan menekan Dato’ Seri Najib oleh cendikiawan dan ahli-ahli perniagaan Melayu serta kumpulan-kumpulan pendesak adalah tidak wajar.

Mengapa sering dipertikaikan pemberian kerajaan kepada komuniti-komuniti yang mewakili masyarakat bukan Melayu sedangkan kita patut lihat di dalam diri kita sendiri dan bertanya, dengan apa yang kita perolehi, tender dan projek, pangkat dan jawatan selama ini, apakah sumbangan kita semula kepada negara?

Alangkah baiknya, profesor-prosefor Melayu bertungkus-lumus menggunakan akal fikiran bijaksana mereka untuk melahirkan teori dan formula yang dapat membantu menyelesaikan masalah negara supaya orang-orang Melayu terus ke hadapan. Begitu juga dengan tokoh-tokoh perniagaan Melayu, mereka harus bertanya kepada diri mereka mengapa setelah 40 tahun lebih bantuan tidak berbelah bahagi kerajaan kepada mereka, mereka masih ditakuk ini, mengeluh dan merungut?

Najib bukan Abdullah Ahmad Badawi tetapi Najib terpaksa mewarisi penyakit yang subur merebak semasa Abdullah. Jika kita sayangkan Malaysia, kita perlu bersatu dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Najib disamping turut terus menegur dan mengkritik mana-mana aspek yang pada pandangan kita adalah tidak betul.

Setiap sokongan, teguran dan kritikan adalah penting dan janganlah kita pula penyokong, penegur dan pengkritik berperang sesama sendiri.

Seringkali laluan buat Najib ternyata bengkang bengkok sehingga kita sendiri kekadang jadi keliru dengan kewajaran tindakannya. Fahamilah, Najib bukan sahaja berdepan dengan penentangan dari pembangkang, tetapi juga berdepan dengan pelbagai tuntutan dari kalangan pemimpin dalam parti-parti komponen Barisan Nasional sendiri. Dan dalam masa terdekat, Najib perlu pastikan survivalnya sendiri di dalam pemilihan pucuk pimpinan UMNO akan datang. Memastikan dirinya kekal sebagai presiden UMNO bukan tuntutan peribadinya tetapi adalah tanggungjawab beliau kepada rakyat yang telah memberi mandat kepadanya di dalam PRU yang baru lalu.

Tiba pilihanraya umum ke 14, terserahlah kepada kita untuk membuat keputusan yang baharu. Kekal BN atau pilih PR adalah hak kita masing-masing. Tetapi sehingga itu, kerajaan yang dipilih berhak mendapat sokongan padu kita. Hak kita bukan untuk mengeluh dan merungut, hak kita terbit dari usaha kita mencapainya.