Saya melangkah kaki untuk membuat ijazah pertama di Kampus Minden Universiti Sains Malaysia dikemuncak kejohanan Piala Dunia Itali 1990. Iaitu di saat Roger Milla mengganas dengan empat gol merobek gawang Romania dan Colombia. Pada ketika itu usia Roger Milla mencecah 40 tahun. Ini menyebabkan seorang ‘fresher’ veteran bernama Malon dari Sabah (atau Sarawak?) menjadi terkenal dengan panggilan ‘Roger Milla’. Malon berusia sekitar 40 an dan berkulit cerah dan berkepala botak, langsung tidak sama dengan Roger Milla, tetapi kerana dia adalah pelajar ijazah pertama yang sudah berusia, maka panggilan itu menjadi serasi dengannya.

Roger Milla selepas menjaringkan gol di Piala Dunia 1990

Dua hari lepas saya ke pesta persatuan-persatuan yang bernaung dibawah Edinburgh University Students’ Association (EUSA) dengan niat saya untuk mendaftar sebagai ahli kepada Edinburgh Malaysian Student’s Association (EMSA). Tidak saya menduga, apabila tiba di kaunter EMSA dan bertanya bagaimana untuk mendaftar sebagai ahli persatuan, pelajar cina dari Malaysia yang menjaga kaunter itu kelihatan geli hati dan berkata kepada saya, “Encik tidak kelihatan seperti seorang pelajar universiti…”

Saya tersenyum dan menjawab, “kalau saya boleh buktikan saya adalah seorang pelajar universiti, boleh kamu tolong bayarkan yuran keahlian saya…”. Saya tidak pasti jika saya boleh jadi Roger Milla di lapangan yang saya ceburi ini, tetapi saya pasti hari ini saya adalah ‘Malon’; botak, pendek dan berusia.

Kota lama Edinburgh adalah sesuai dikatakan sebuah kota di dalam kampus universiti walaupun hakikat sebenar bukan begitu. Tetapi kemana-mana kita melangkah, kita pasti akan bertemu dengan bangunan milik University of Edinburgh. Bahkan 1 per empat daripada lebih 400 ribu penduduk Edinburgh adalah pelajar.

Perpustakaan utama University of Edinburgh terletak di antara George Square dan The Meadows. The Meadows adalah sebuah padang rumput yang begitu luas sekali dan diberi anugerah taman millenia. Di katakan di The Meadows ini adalah tempat di mana ramai cendikiawan hebat dunia berjalan mencari ilham mereka. Disitulah saya duduk di pagi pertama saya sebagai pelajar universiti sambil merenung ke bangunan perpustakaan utama. Begitu ironi sekali kerana perpustakaan adalah punca mengapa saya mengambil kursus perfileman ketika saya di kampus Minden dahulu.

Pemandangan dari keluar dari jendela Perpustakaan Utama di George Square

Pemandangan dari keluar dari jendela Perpustakaan Utama di George Square

Pada tahun pertama saya di Universiti Sains Malaysia, Menteri Pelajaran ketika itu adalah Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Antara beberapa insiden yang menimbulkan kemarahan pelajar universiti selain daripada tindakan Anwar menaikkan yuran pengajian sebanyak lebih 20 peratus ialah tindakan kerajaan mengenakan kawalan lebih ketat ke atas kaedah berpakaian pelajar-pelajar di universiti awam. Antaranya ialah para pelajar tidak dibenarkan memakai kemeja t berkolar bulat dan mesti berambut pendek. Pihak keselamatan universiti diarahkan supaya memeriksa rambut pelajar di pintu masuk dan keluar perpustakaan.

Saya antara yang berambut panjang pada waktu itu. Sebagai protes terhadap arahan baru itu, saya memilih untuk protes dengan mendaftar kursus yang tidak memerlukan pelajar menghabiskan masa di dalam perpustakaan. Itulah puncanya saya mendaftar untuk membuat pengkhususan di dalam bidang perfileman kerana ia mempunyai studio filemnya sendiri lantaran tidak perlu ke perpustakaan.

Ketika saya berjalan masuk ke perpustakaan utama di George Square, saya ketawa melihat refleksi saya di cermin dan saya gelihati melihat kepala botak saya. Jikalau rambut saya 23 tahun dahulu seperti sekarang, sudah tentu saya tidak akan buat kursus perfileman tetapi saya akan meneruskan niat saya seperti tertanam sebelum masuk ke USM iaitu untuk membuat pengkhususan kewartawanan dan sains politik.

Sebaliknya, asas saya membuat pilihan sama seperti kebanyakan pelajar bumiputera di universiti ketika itu. Tiada apa sangat yang hendak dirisaukan. Kita tidak perlu mendapat keputusan terbaik dalam STPM untuk bersaing mendapat tempat untuk ijazah pertama di Universiti. Kita tidak perlu risau mencari wang sara diri kerana semua pelajar bumiputera yang berada di universiti akan diberi pinjaman boleh ubah oleh kerajaan pusat atau yayasan-yayasan milik negeri. Akhirnya, kita tidak perlu belajar bersungguh-sungguh pun, sebab cukup dapat ijazah kepujian sudah kira membanggakan sebagai anak tempatan.

Bagaimanapun budaya di sini amat berbeza dengan budaya di universiti tempatan. Setiap program ‘induction’ yang saya hadiri, penceramah akan mengingatkan para pelajar untuk memberi masa untuk berhibur, bersiar-siar dan bergembira. Berbeza dengan di Malaysia, setiap ceramah mengingatkan para pelajar tanggungjawab mereka sebagai pelajar dan tanggungjawab mereka kepada penaja mereka.

EUSA sendiri begitu menekankan aspek hiburan dengan pertubuhan pelajar itu sendiri memiliki lebih 4 pub dan lounge dengan live band dan majlis tari menari. Tidak perlu pun mereka menganjurkan program seperti kem bina semangat atau program bina negara. Cuba bayangkan ini semua dibudayakan di Malaysia?

Bagaimanakah hilangnya budaya tanggungjawab di kalangan bumiputera terutamanya orang-orang Melayu? Saya bertanya ‘bagaimana’ dan bukan ‘dimana’ kerana saya yakin, setiap rasa tanggungjawab telah terdidik dengan sendirinya didalam hampir setiap keluarga semenjak anak-anak kecil lagi. Dan jika rasa tanggungjawab itu tidak hilang, saya sendiri tidak akan mempertaruhkan rambut saya untuk masa depan sendiri.

Lantaran dilemma Melayu ini tidak berakhir setakat universiti sebaliknya terus menghantui negara di segenap peringkat. Saya telah menghadiri sessi tertutup berhubung Trans-Pacific Partneship (TPP) atau Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik sehari sebelum saya bertolak ke Edinburgh. Saya kagum dengan hujah dan pembentangan fakta oleh wakil-wakil pelabur, perniaga dan profesional bukan Melayu. Ternyata penekanan mereka lebih tertumpu kepada permasalahan-permasalahan meluas yang bakal memberi kesan kepada negara dan rakyat. Sebaliknya, wakil kelompok-kelompok Melayu pula hanya berselindung disebalik kalimah kedaulatan negara tetapi hakikatnya mereka risau kemampuan diri untuk bersaing.

UMNO sebagai parti teras di dalam kerajaan sejak pilihanraya pertama 1955 dahulu perlu menerima sedikit sebanyak tanggungjawab terhadap aspek negatif dalam diri orang-orang Melayu ini. UMNO tidak boleh menggunakan kebergantungan orang-orang Melayu kepada UMNO sebagai cara untuk terus kekal berkuasa. Kesedaran dan penolakan terhadap strategi UMNO ini telah membawa kesan kepada prestasi Barisan Nasional di dalam dua pilihanraya yang lepas. Dengan semakin membesarnya kelompok pertengahan di dalam Malaysia, semakin ramai yang sedar akan realiti ini. Lantaran ada yang mendakwa UMNO telah secara halus mengakibatkan orang-orang Melayu terus lemah dengan nikmat berbergantungan ini supaya mereka akan terus bergantung kepada UMNO untuk membela mereka. Saya sendiri merasakan dakwaan itu tidak sepenuhnya betul. Bagaimanapun, saya melihat banyak pihak terutamanya ahli-ahli UMNO dan juga usahawan-usahawan Melayu yang begitu mendesak supaya kebergantungan ini bukan sahaja diteruskan tetapi diperluaskan.

Pemandangan dari dataran di dalam Old College, South Bridge Edinburgh

Pemandangan dari dataran di dalam Old College, South Bridge Edinburgh

Jika Melayu itu ibarat seekor harimau, jangan kebergantungan itu menjadikan mereka seekor kucing domestik. Hendak makan minta. Cuma liar bila nak mengawan dan berebut wilayah sahaja.

Saya amat gembira berada di dalam perpustakaan utama di George Square. Ia melahirkan perasaan yang tenang dan mewah. Ia sebuah gedung yang kaya dengan segala ilmu. Jikalau 23 tahun dulu saya tidak mementingkan rambut yang panjang, mungkin saya juga akan merasai hakikat yang sama di perpustakaan di Bukit Minden. Saya dilahirkan pada tahun 1970. Generasi Dasar Ekonomi Baru (DEB). Apakah generasi DEB adalah kucing domestik? Harapnya tidak, sebab saya lebih suka jadi Roger Milla.