Dua bulan lepas, saya dijemput untuk menonton previu Psiko Pencuri Hati bersama penerbit dan tenaga kerjanya di The Curve. Ternyata, selepas menonton filem tersebut, saya rasa bersyukur kerana dijemput.

Jarang saya merasa terpegun menonton filem tempatan terutamanya bila melihat dari aspek teknikal dan pengarahan, tetapi karya sulong Nam Ron ini memang berjaya mencuri hati saya. Sebelum ini Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan mencipta nama sebagai seorang pelakon dan pengarah teater sebelum memikul banyak watak-watak ‘berkarektor’ di dalam filem-filem tempatan. Bagaimanapun, Nam Ron memang mempunyai bakat seni semulajadi dan Psiko Pencuri Hati adalah sebuah filem yang menayangkan semua bakat seni yang ada di dada individu bernama Nam Ron ini.

Nam Ron berjaya menjadikan Psiko Pencuri Hati sebagai sebuah filem suspens yang padat dengan shot-shot yang berkesan, lakunan yang bermutu dan penceritaan yang menguji ketajaman minda penonton.

Sebelum ini telah ramai anak tempatan cuba bermain dengan genre ini tetapi ia gagal kerana ketiadaan gabungan 3 elemen di atas.

Seperti saya sebut, Nam Ron adalah pelakon yang hebat dan tidak mustahil dia memilih untuk bekerja dengan barisan pelakon-pelakon yang berwibawa dan bukan cari makan dengan gossip, glamour dan rupa lawa. Pilihan pelakon seperti Bront Palarae, Sharifah Amani dan Syed Hussein untuk membawa cerita ini sebabak ke sebabak ke hadapan amat tepat. Apatah lagi watak yang dibawa oleh Sharifah Amani jika jatuh kepada pelakon yang salah sudah tentu akan memuak dan membosankan.

Bagaimanapun disebalik kekuatan yang ada di dalam filem Psiko Pencuri Hati, ada juga tersebit sedikit kelemahan dari segi skripnya. Ada ketikanya, kemungkinan pengarah dan penulis skrip risaukan ketajaman minda penonton memahami jalan cerita menyebabkan mereka terperangkap dengan terjerumus ke jalan mudah. Tetapi itu soal teknikal. Berapa kerat penonton yang ke pawagam untuk mengkaji dari aspek teknikal.

Seringkali kita ke pawagam untuk bersuka-suka bersama rakan-rakan dan keluarga. Kita tidak ke pawagam untuk melihat orang kencing diatas bendera atau melihat kontroversi fiksyen yang keterlaluan. Kita juga tidak ke pawagam untuk berpolitik dan menjadi mangsa propaganda yang tiada lain selain menghasut satu kelompok masyarakat ke atas kelompok lain. Untuk itu, tidak hairan mengapa rakyat Malaysia yang semakin bijak menolak Tanda Putra di pawagam.

Sebaliknya, jika anda mahu ke pawagam untuk relaks dan melupakan segala politik yang tidak berkesudahan di negara kita ini, atau untuk melupakan rasionalisasi yang tidak masuk akal oleh wakil-wakil kerajaan mengenai kenaikan terbaharu harga Ron 95, mana cadangan saya, pilihlah karya Nam Ron ini. Ia sebuah filem yang sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat.

Jika anda seorang Melayu, bawalah rakan Cina dan India anda dan sudah tentu anda akan keluar tersenyum dan gembira dan merasakan semangat Merdeka yang lebih membara. Sesuatu yang anda tidak akan dapat dengan menonton Tanda Putra.

Filem ini juga bukanlah genre filem seni yang meleret-leret dan memeningkan. Psiko  Pencuri Hati penuh dengan elemen suspen, komikal dan tragedi.

Filem yang hebat tidak memerlukan pembelaan atau tidak perlu diangkat berlebih-lebihan. Ia hanya perlu ditonton. Bahkan satu faktor yang amat unik ialah selepas anda menonton Psiko Pencuri Hati, cuba risik-risik berapa kos keseluruhan pembikinan filem ini.

Psiko Pencuri Hati disiapkan dengan bajet hanya RM1.07 juta tetapi kualitinya dari segenap aspek termasuklah kesan grafiknya jauh lebih baik dari filem yang dibikin dengan RM4.8 juta dana kerajaan. Betullah kata-kata pensyarah saya sewaktu di universiti dahulu, “karya seni perlu lahir dari keikhlasan karyawannya”, dan di dalam Psiko Pencuri Hati, anda tidak akan melihat selain keikhlasan beberapa kelompok anak-anak Malaysia mahu melahirkan karya mereka secara bersungguh-sungguh. Sebab itu, selepas menonton filem ini anda akan mengalami satu pengalaman estetika.

Saya mengalami pengalaman estetika menonton filem ini. Terima kasih kepada semua yang terlibat membikin filem ini. Ini adalah filem untuk rakyat Malaysia. Ia akan menemui penonton dilebih 60 pawagam seluruh negara mulai 5 September 2013.