Pada pandangan saya kelemahan Kerajaan di dalam menangani krisis #MH370 berkisar kepada kegagalan komunikasi. Implikasinya menunjukkan seolah wakil Badan Penyiasat dan Penerbangan Malaysia di dalam taklimat media tidak mengetahui maklumat yang tepat bila memberi maklumat. Dato’ Sri Hishamuddin berjaya mengawal keadaan tetapi akibat kegagalan sebelumnya, telah timbul krisis keyakinan yang serius. Suasana bertambah ‘chaotic’ bila PM Najib membuat kenyataan pada 24 Mac 2014. Pandangan saya berdasarkan fakta di bawah,

(i) PM dlm sidang media ke tiganya memaklumkan penerbangan berakhir di Selatan Lautan Hindi, tetapi fakta sebenarnya ialah data satelit (dan belum ada bukti penerbangan itu) yang terakhir ialah di Selatan Lautan Hindi. Pembentangan PM di parlimen dan sms MAS kepada keluarga mangsa menambah kekeliruan seolah pesawat itu telah terhempas di Selatan Lautan Hindi. Sehingga kini tiada pengesahan visual apalagi bukti yang menunjukkan pesawat itu berada di Selatan Lautan Hindi. Setakat ini, yang jelas dan terbukti ialah data satelit (handshake dengan pesawat) yang berakhir di situ.

(ii) MAS pada 8 Mac mengumumkan komunikasi terakhir MH370 ialah 2.41 AM.Tetapi kemudiannya DCA mengeluarkan fakta Komunikasi verbal terakhir sebenarnya 1.19 AM dan komunikasi terakhir dengan secondary radar ialah 1.21 AM.

(iii) PM di dalam sidang media ke 2 (15 Mac) mendakwa “human intervention in the cockpit”. Ini berdasarkan susunan bagaimana ACARS tidak lagi aktif sebelum komunikasi verbal terakhir, diikuti oleh Transponder juga tidak lagi aktif, dan kemudiannya pesawat membuat ‘air turnback’ lalu mengikut waypoint tertentu hingga hilang dari primary radar. Tapi MAS kemudiannya memberi maklumat yang membuka ruang kritikan bila menjelaskan bahawa transmisi ACARS dalam keadaan ‘cruising’ ialah setiap 30 minit, Jadi adalah tidak sahih dakwaan bahawa ACARS dimatikan sebelum komunikasi terakhir 1.19 AM. ACARS menurut MAS berkemungkinan dimatikan diantara 1.07 hingga 1.37 minit. Jadi ada kemungkinan selepas komunikasi verbal terakhir barulah masalah MH370 bermula. ACARS dan transponder pesawat menjadi tidak aktif, satu persatu atau mungkin secara serentak.

(iv) Di dalam taklimat media 9 Mac, di maklumkan kemungkinan ‘air turnback’ tetapi sehingga hari ini tiada penjelasan apa yang berlaku diantara radar awam di pihak Malaysia dengan TUDM dari 1.19 AM 8 Mac sehinggalah taklimat kepada PM pada petang 8 Mac yang turut dihadiri Panglima Tentera Udara (PTU). Tetapi Ketua Turus Angkatan Tentera menjelaskan dalam taklimat media yang sama bahawa air turnback itu tidak dikenalpasti secara realtime (sewaktu kejadian). Maksudnya ‘air turnback’ itu dikenalpasti setelah merujuk semula kepada rakaman data radar primary. Kekeliruan bertambah bila PTU mendakwa dalam taklimat media yang sama juga bahawa TUDM tidak bertindak kerana ‘blip’ menunjukkan ia pesawat komersil. Ini menunjukan ada pihak di TUDM menyedarinya secara realtime. Timbalan Menteri Pertahanan kemudian mendakwa di Parlimen bahawa TUDM menyangka pesawat itu membuat ‘air turnback’ atas arahan pihak tertentu. beliau kemudian menarik balik kenyataannya dan berkata ia hanya ‘assumption’.

(v) IGP mengesahkan mengenalpasti identiti pengguna passport curi pada 10 Mac 2014. Menteri KDN dakwa anggota Imigresen tidak buat kerja dengan betul kerana bagaimana etnik Asia boleh pegang passport Itali. Pengarah DCA sebaliknya memberi contoh Mario Balotelli seorang berkulit hitam tetapi memegang pasport Italy. Polis pada 11 Mac kemudiannya menunjukan dua keping gambar yang di cetak warna pada kertas A4 menunjukkan dua lelaki berkulit cerah keturunan Iran. Gambar itu mengelirukan kerana sekeping kertas telah koyak sebahagiannya dan bertulisan tangan dengan dakwat marker pen di atasnya. Satu persembahan yang tidak profesional di dalam kes tumpuan dunia.

(vi) All right goodnight. Pengarah DCA menyebut kalimah ini dalam taklimat media, CEO MAS pula berkata kemungkinan kalimah ini di lafazkan oleh Co Pilot MH370. Akhirnya semalam terbukti tiada kalimah itu dilafazkan oleh sesiapa di dalam pesawat MH370 yang berkomunikasi dengan mana-mana pihak di darat.

Ini adalah antara rentetan benda-benda kecil yang akhirnya menimbulkan persepsi bagaimana tidak terurusnya pihak Kerajaan mengendalikan krisis. Saya bagaimanapun berpendapat, ia tidak membuktikan kegagalan menangani krisis tetapi ia jelas adalah kegagalan menangani komunikasi yang berkesan. Ini adalah masalah yang menghantui kerajaan PM Najib sejak sekian lama. Masalah ini jugalah yang menghantui isu Lynas, kenaikan harga barang dan GST. Kalau kita ingat isu kangkung, ini isu yang sama. Bukan isu kegagalan menjalankan tanggungjawab, tetapi seakan ambil remeh bila memberi penjelasan.

Setelah mengulas panjang lebar, suka saya kata, tidak ada siasatan dalam apa tragedi sekalipun yang tidak mendapat kritikan. Baru-baru ini ketika banjir di Britain, pihak Kerajaan British dikecam dengan teruk sekali. Ketika 9/11, pihak perisikan Amerika mendapat kritikan yang amat dahsyat. Insiden ini adalah satu pelajaran yang tidak ternilai buat kerajaan Malaysia. Kita berharap ia memberi peluang untuk kerajaan menilai semula strategi komunikasi di dalam menangani krisis.