Kickdefella

No One Dies A Virgin, Life Screws Us All

Rasionallah Dalam Rasionalisasi

Posted on September 4, 2013

Rasionalisasi Subsidi, adalah alasan yang selalu muncul apabila kerajaan menaikkan harga minyak Ron 95 dan Diesel di Malaysia. Satu tindakan yang amat tidak populis disaat Kerajaan yang ada tidak begitu kuat selepas Pilihanraya Umum 13 yang lalu. Ia telah membuka ruang seluas luasnya untuk pihak pembangkang mengambil peluang ini untuk membangkitkan perasaan marah rakyat.

Rakyat kebanyakannya bukan semua tidak boleh menerima kenaikan harga ini, akan tetapi ia perlu disertakan dengan alasan yang kukuh dan senang difahami oleh rakyat. Bukan dengan alasan bahasa ekonomi yang tidak mampu difahami oleh sebahagian besar rakyat golongan berpendapatan rendah dan menengah.  Bukan juga dengan memberitahu rakyat bahawa harga minyak kita masih lebih rendah dari Negara Negara lain di Asia Tenggara. Rakyat kebanyakan tidak mahu tahu itu semua. Kerana kuasa memberi Undi dalam pilihanraya berada ditangan mereka.

Golongan peniaga akan segera menangkis beban kenaikan ini kepada pengguna, banyak barangan dan perkhidmatan akan turut mengalami kenaikan dan hanya itulah yang dirasai rakyat. Pujukan bebentuk kenaikan BRIM yang bakal diumumkan dalam pembentangan bajet akan datang juga tidak mampu meredakan kemarahan rakyat, Kerajaan rupanya tidak mahu belajar bahawa BRIM tidak boleh membawa keuntungan dalam bentuk sokongan kepada Barisan Nasional seperti mana yang dialami dalam PRU 13 lalu. BRIM hanya dinikmati oleh golongan yang dikelaskan berpendapatan rendah iaitu pendapatan isirumah sebanyak RM3000 tapi, apa nasib golongan berpendapatan sederhana yang semakin tertekan dan kebanyakan mereka tinggal dibandar Bandar besar di Malaysia, inilah yang sepatutnya difikirkan oleh pentadbiran Najib.

Jentera siber pembangkang dengan pantas mengeluarkan kenyataan kenyataan akhbar Dato Seri Najib yang menyatakan bahawa Petrol tidak akan naik selepas pilihanraya dan kenyataan itu didakwa berlaku empat bulan lepas, sedangkan keratan akhbar itu diambil pada 26 Febuari 2008, tapi ia berjaya mendiamkan penyokong penyokong kerajaan seketika dan menghasut rakyat membenci kerajaan.

Keratan Akhbar Pada 26 Febuari 2008

Keratan Akhbar Pada 26 Febuari 2008

Khabarnya hasil dari pengurangan subsidi ini akan dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM3.3 billion dan ia akan dipindahkan kedalam BRIM sebanyak RM3 billion, satu langkah yang tidak memberi apa apa makna kepada rakyat secara keseluruhan. Saya yakin, rakyat akan lebih gembira jika Kerajaan hapuskan BRIM dan pindahkanya kepada Subsidi minyak sehingga harga minyak menjadi RM 1.70 seliter dan ia pasti dapat mengembirakan lebih ramai rakyat, tak kira golongan.

Dalam kenyataan akhbar hari ini, keputusan Jawatankuasa Fiskal Negara telah mengambil keputusan drastik ini setelah mengkaji dalam berbagai aspek dan sudut ekonomi, tapi bila Kementerian Pertanian melalui Menterinya, dalam Buletin Utama TV3 malam ini mengumumkan baru mahu mewujudkan jawatankuasa mengkaji kesan keatas Nelayan berikutan kenaikan ini dan laporannya akan siap dalam tempoh sebulan, menggambarkan kepada rakyat bahawa kajian yang dibuat Jawatankuasa Fiskal Negara adalah tidak menyeluruh dan ini adalah sesuatu yang amat malang apabila sesuatu keputusan di umum tidak ada penyelarasan antara kementerian.

Cadangan memperkenalkan RON 92 juga baru timbul setelah melihat reaksi negatif rakyat, menambahkan lagi kekalutan dalam pemikiran rakyat yang terkial kial menunggu penjelasan yang tuntas. Dalam pada ada sesetengah pihak dahulu mengkritik kewujudan RON 95 yang dikatakan tidak sesuai bagi sesetengah kenderaan mahu pula diperkenalkan gred yang lebih rendah dari itu.

Saya amat faham ini semua dilakukan demi meningkatkan ekonomi Negara untuk kesejahteraan rakyat, tapi biarlah ia secara tersusun dan berhemah. Penyelarasan antara kementerian biarlah dilihat menyeluruh supaya apa sahaja keputusan diambil harus ada penjelasan yang jitu dari semua yang ada dalam kabinet.

Kelantan Makin Kalut Selepas 100 Hari

Posted on August 28, 2013

Rupa rupanya selepas 100 hari Kerajaan Baru PAS Kelantan memerintah Negeri suasana politik dalam negeri menjadi semakin kalut dan tidak menentu.

Episod bermula dari namanya tidak diperkenan dalam senarai nama nama exco yang dipohon untuk perkenan Tuanku Al- Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke V, sebaik sahaja PAS Kelantan sekali lagi mendapat mandat menerajui kerajaan Kelantan selepas PRU ke 13 pada 5 Mei 2013. Keadaan menjadi semakin kalut apabila Dato Husam Musa secara terbuka mempertikai kepimpinan baru kerajaan Negeri yang diketuai oleh Dato Ahmad Yaakob sebagai Menteri Besar dan Dato Nik Amar sebagai timbalanya dalam isu perlantikan yang dikatakan ada tangan ghaib yang mahu menjatuhkan kedudukan Dato Husam sebagai exco kanan.

Lalu pihak penyokong PAS yang pro kepada Nik Amar dan Pro Husam saling melondeh rahsia kepincangan kepimpinan yang dilakukan oleh kedua dua pihak, yang mana banyak sebelum ini telah diperkatakan dan dinafikan sekeras kerasnya sebelum PRU 13 lalu. Tuduhan mengenai kecekapan pentadbiran GLC, isu pengistiharan harta dan perlantikan kroni dalam beberapa badan bukan kerajaan yang bertindak sebagai ‘fundraiser’ kepada parti semuanya telah timbul kembali dan tidak dapat dipertahan sebaliknya tuduhan yang lain pula keluar dari pihak yang satu lagi.

Kini secara tidak langsung mereka sendiri mengakui kebanyakan perkara yang dipertikaikan oleh rakyat sebelumnya. Dalam keadaan yang terdesak lantaran sering ditohmah dengan berbagai tuduhan melulu maka mungkin ada dikalangan pihak yang Pro Nik Amar telah mendedahkan surat yang dipercayai telah diminitkan oleh Tuanku Al Sultan sendiri tentang pemilihan exco, bagi membuktikan nama Husam sememangnya ada dalam senarai tersebut tetapi telah ditandakan x dan ditandatangani oleh Tuanku sendiri. Tindakan itu dilihat oleh ramai pihak adalah untuk mendiamkan puak Pro Husam yang masih jelas tidak berpuas hati dengan isu Husam diketepikan.

surat-sultan-kelantan-husam

Ada pula pihak yang sengaja mengeluarkan video Ust Wan Ji dalam satu seisi penerangan sulit yang membicarakan tentang soal ‘roadmap’ penghapusan system monarki dan Sultan di Negara ini. Tidak dapat dipastikan bila video itu dirakamkan tapi didalamnya ada menyebut nama Aktivis Royalti yang disokong Husam–Aduka Taruna dan membicarakan soal pemilihan exco dengan kata kata yang kurang enak didengar dan kurang ajar di akhir video. Hanya Ust Wan Ji sahaja boleh menjelaskan kepada umum tentang niat dan maksud beliau adakah ia melibatkan isu perlantikan Husam sebagai exco.

Dalam perkembangan lain pula, untuk meredakan keadaan selepas berbagai desakan yang mahu melihat Husam kembali berperanan dalam pentadbiran kerajaan negeri. Menteri Besar, Dato Ahmad Yaakob telah menawarkan jawatan Pengerusi 2 entiti GLC yang diilhamkan oleh Dato Husam sendiri iaitu Tunjung Development Coporation (TDC) dan Kelantan Golden Trade (KGT) yang terlibat dalam dinar emas Kelantan.

husamlantik

Saya melihat perlantikan untuk kedua dua jawatan itu adalah untuk Dato Husam membuktikan kebolehan beliau kepada rakyat Kelantan dan penyokongnya bahawa apa yang beliau asaskan dahulu boleh berjaya, memandangkan TDC dilantik sebagai peneraju kepada projek ilham beliau sendiri iaitu Stadium dan Bandar Sukan Bukit Merbau. KGT pula dilihat seolah olah gagal mencapai matlamat untuk menjadi matawang alternatif bagi rakyat Kelantan kerana rata rata peniaga di Kelantan dan rakyat masih kurang atau hampir tiada yang menggunakan Dinar dan Dirham sebagai ganti matawang. Jadi , Jika Dato Husam boleh meneraju kembali TDC dan KGT dengan tersergamnya sebuah Stadium Bukit Merbau dan jualan dinar KGT kembali kepada matlamat asal , maka itulah ‘benchmark’ sebenar kebolehan Dato Husam, dan boleh lah berkira kira untuk perkara yang lebih besar lagi yang dijanjikan untuk rakyat sebelum PRU 13 lalu iaitu Lebuhraya Rakyat ‘LERAK’.

Tapi, pantas Dato Husam, menolak mentah mentah perlantikan tersebut sambil menempelak kerajaan negeri dengan kisah LOMBONG BIJIH BESI DAN EMAS di Gua Musang yang berkeluasan 3000 ekar. Dato Husam mendakwa lombong tersebut tersimpan reserve bijih besi dan emas bernilai RM2.5 billion, sesuatu yang tidak diketahui rakyat sebelum PRU 13, sehingga ramai bersimpati menderma untuk melihat LERAK direalisasikan walau sedar jumlah RM2.0 billion adalah satu jumlah yang sukar dicapai hanya melalui derma. Dato Husam mendakwa lombong tersebut telah ditukar status oleh pentadbiran baru untuk diberikan kepada beberapa individu. Siapakah individu tersebut, masih menjadi tanda tanya, tapi sudah ada ura ura yang tersebar bahawa tanah 3000 ekar itu telah diberi Status SULTANATE LAND. Adakah takrifan induvidu yang dimaksudkan oleh Dato Husam adalah ‘SULTAN’? Kalau ia benar diberi Status Sultanate Land adalah amat tidak wajar bagi Dato Husam mempertikaikanya. Sewajarnya pentadbiran Kerajaan Negeri harus meneliti secara serius apa yang dituturkan oleh Dato Husam mengenai hal ini supaya hubungan Istana dan Kerajaan Negeri berlangsung baik sepanjang 5 tahun akan datang untuk kesejahteraan rakyat. Satu lagi persolan yang timbul adalah dari mana yang Dato Husam mendapat angka nilai Bijih Besi dan Emas dikawasan seluas 3000 hektar bernilai RM2.5 billion, melebihi apa yang diperlukan untuk membina LERAK, adakah beliau memberitahu berdasarkan Geological Report  atau mana mana laporan bertulis setelah kajian dibuat ?. Adakah ini sekadar sekali lagi untuk menyedapkan hati penyokong penyokong dan rakyat Kelantan sekali lagi untuk terus bersimpati kepadanya?,setelah apa yang berlaku terhadap janji janji terdahulu,  tidak cukup dengan hanya menayangkan kepingan emas yang boleh diragui dari mana asalnya. Dato Husam perlu dedahkan laporan pengesahan terhadap nilai sumber itu kepada rakyat.

DERHAKA

Ekoran dari keluarnya surat yang dikatakan mempunyai tandatangan Tuanku Sultan Muhammad V, seorang Aktivis NGOR, Aduka Taruna yang kini bergerak atas nama Aktivis Kelantan 03 (AK03) mendakwa bahawa Dato Nik Amar telah melakukan kesalahan kerana mendakwa Tuanku Sultan Kelantan terlibat dalam isu perlantikan Exco ,dan ingin membuat laporan polis terhadap Timbalan Menteri Besar Kelantan itu. Bagaimanapun niat beliau terbantut , beliau sebaliknya bersama sama NGOR yang diketuai oleh Presiden NGOR ,Nazri Deraman untuk membuat kunjung hormat ke atas Dato Nik Amar untuk mendapatkan penjelasan TMB berkenaan dengan berbagai perkara berbangkit pada 26 Ogos 2013.

sgpicmbr26082013

Selepas pertemuan tersebut, maka salah seorang yang dipercayai menyertai rombongan NGOR itu dikenali sebagai Listen Basikal Tua, telah menulis di sebuah Group Facebook, mula menyalahkan raja (Tuanku Sultan) atas kemelut yang dihadapi oleh pentadbiran Kerajaan Kelantan sekarang. Dengan mengeluarkan beberapa ‘thread’ yang menghasut pembaca supaya mempertikaikan peranan Tuanku dengan menyatakan yang harus dilawan bukan Husam atau Nik Amar sebaliknya ‘Raja’ malah lebih mendukacitakan dia mempertikaikan tentang perbelanjaan Istana yang dakwanya untuk makan mencecah RM1 juta sebulan.

lbtkurg

Ramai yang terpinga pinga apakah yang ditaklimatkan oleh Dato Nik Amar dalam pertemuan itu sehingga pemilik akaun Facebook tersebut dengan beraninya bersikap kurang ajar kepada Tuanku Al Sultan yang dikasihi seluruh rakyat. Dato Nik Amar patut tampil untuk menjelaskan apa yang berlaku.

nazri2

Jika sebelum PRU13, NGOR dengan tanpa ada rasa malu menjaja nama Tuanku dengan membawa Slogan  ‘Tolak Penderhaka Sultan’ sebagai tanda menjunjung titah Tuanku kini ramai diantara aktivisnya sudah menunjukkan belang masing masing, adakah ianya satu manifestasi ketaksuban kepada Husam? Hingga sanggup berbuat demikian?. Atau ini sememangnya sebahagian gerakan ‘Roadmap’ yang di terangkan dalam video Ust. Wan Ji At-tajuddi menuju kepada penghapusan raja berpelembagaan menjelang 2030?.

Saya bukan mahu menyalahkan pergerakan NGOR secara keseluruhan dalam isu ini, tapi yang mengeluarkan kenyataan tersebut adalah Aktivis tegar mereka yang menjadi nadi mereka , maka tidak dapat tidak NGOR mesti bertanggungjawab memohon ampun kepada Tuanku Sultan dan seluruh rakyat Kelantan atas keterlanjuran dan kegagalan mereka menanamkan sikap menghormati Tuanku yang menjadi payung bagi keseluruhan rakyat Kelantan. Tidak perlulah menjaja keseluruh alam mengatakan mereka mempunyai hubungan baik dengan Pihak Istana , tapi dalam waktu yang sama aktivis mereka sendiri menghina Tuanku pun anda tak mampu nak kawal.(untuk rekod Listen Basikal Tua juga adalah ADMIN kepada Group Facebook Aktivis R bersama sama SU NGOR, Syam Ghaz dan beberapa individu lain)

Nik Amar Kena Jelaskan.

Nik Amar Kena Jelaskan.

Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru bilamana dari awal lagi semasa Tuanku Al Sultan Kelantan menerima secara terbuka kaedah penyelesaian isu ini melalui Jawatankuasa Bayaran Tunai yang dicadangkan oleh kerajaan pusat. Tapi mereka bertindak menentang pendekatan yang Tuanku sudah persetujui, dengan cara menghantar memorandum ke Pejabat Menteri Besar Kelantan sedikit masa dahulu, untuk membolehkan mereka terus berkempen menuduh pihak yang tidak bersama sama mereka adalah penderhaka Sultan. Sekarang anda telanlah semula kata kata anda yang memakan diri dan rakyat Kelantan melihat serta menilai kebodohan anda dalam bertindak.

Akhir sekali setelah melihat Kerajaan Baru PAS Kelantan melalui hari hari yang sukar sepanjang lebih dari 100 hari ini dengan berbagai kemelut timbul, saya berharap sangat janganlah sampai melibatkan Tuanku Sultan kekancah polemik perebutan jawatan. Rakyat Kelantan sudah memberikan PAS membawa mandat untuk 5 tahun akan datang kerana terpesona dengan apa yang anda janjikan semasa kempen PRU13, maka lakukanlah sebaik mungkin untuk rakyat. Bukan terus membuang masa Kerajaan Negeri untuk melayan kerenah kebudak budakan NGOR yang senantiasa merengek dahagakan perhatian. Ibarat Itik Yang Kehilangan Ibu.

PATIK DAN SEKELIAN RAKYAT SAYANG DAN MENYANJUNG TINGGI TUANKU AL SULTAN KELANTAN, SULTAN MUHAMMAD V, ALLAHHUAKHBAR!

‘Perjuangan’ atau Hanya Sekadar Fitrah

Posted on August 26, 2013

Dalam keghairahan menjelang musim pemilihan UMNO sekarang, ramai yang menawarkan diri untuk bertanding dan ramai penyandang yang mempertahankan jawatan sekarang melaungkan istilah ‘PERJUANGAN’. Boleh dikatakan semua yang terlibat mempertahankan atau menawarkan diri adalahuntuk meneruskan ‘perjuangan’ membela nasib bangsa, agama dan tanah air, sehinggakan pengertian kepada istilah tersebut sekarang menjadi semakin kabur dan terlalu ‘klise’.

Ramai pemerhati dan rakyat kini sudah terlalu faham definisi sebenar ‘PERJUANGAN’ kini adalah tidak lebih dari mendapatkan pengiktirafan dan habuan apabila melihat apa yang berlaku di dalam UMNO kini. Nasib bangsa sendiri kini diambang perpecahan, agama Islam semakin dipersendakan, dan Negara diperlekehkan disebabkan apa yang dibawa atas nama ‘PERJUANGAN’ ini. Ia berlaku kerana yang melaungkan diri mereka berjuang ini akan merasa kecewa bila diri tidak diiktiraf, akan merasa marah bila tidak mendapat habuan yang sepatutnya dari ‘perjuangan’ mereka.

Ramai yang mengumumkan diri untuk bertanding tidak menyatakan secara jelas apa visi dan misi mereka dalam menawarkan diri, hanya tahu duplikasi kenyataan dari mereka yang sebelumnya yang mahu meningkat naik dalam arena politik dan kesudahannya akan tetap sama seperti biasa.

Jarang yang menyatakan keputusan mereka menawarkan diri ini adalah hanyalah menjalankan FITRAH seorang Islam, anak Melayu dan Warganegara yang marah bila Islam dipersendakan, benci bila Bangsa di hina dan geram bila Negara diperlekehkan. Bagi saya jika mereka menganggap dan menanamkan dalam diri mereka apa yang mereka lakukan ini hanyalah sebagai FITRAH hidup, mereka tidak akan sekali kali kecewa bilamana tidak dapat apa apa pengiktirafan dan habuan. Mereka akan terus bekerja untuk menaikkan imej Agama, Bangsa dan Negara walau tiada apa apa jawatan diberikan kepada mereka. Mereka juga tidak akan melepaskan kekecewaan dengan mensabotaj parti kelak. Dengan kata lain mereka yang berkerja dengan niat dan fitrah sebegini akan lebih istiqamah dan mempunyai nilai jati diri yang amat tinggi hingga tidak boleh digangu gugat oleh perkara yang mengecewakan mereka.

Jadi dalam pemilihan UMNO kali ini harapnya Ahli UMNO yang rata rata sudah kenal mereka yang menawarkan diri dan yang mempertahankan jawatan, akan memilih setelah melihat  kepada FITRAH semula jadi calon dan penyandang adakah mereka ini konsisten dalam setiap tindakan mereka yang bangkit bila Agama Bangsa dan Negara digangu. Bukan memilih yang hanya memiliki FITRAH melawan bila kedudukan diri digangu dan habuan dari ‘PERJUANGAN’ tidak diperolehi. Resmi Harimau menerkam mangsa buruan adalah bukan kerana ia berjuang untuk hidup, tapi ia adalah FITRAH yang Allah tentukan sebagai sifatnya begitu.

Sama sama kita bermuhasabah diri….

PTPTN Yang Malang

Posted on August 21, 2013

Berikutan daripada isu pinjaman PTPTN yang hangat diperkatakan, Kerajaan memutuskan melalui mesyuarat Jemaah menteri hari ini untuk tidak meneruskan langkah menyenaraikan peminjam kedalam pengkalan data Bank Negara (CCRIS).  Satu keputusan yang dilihat diambil secara tergesa gesa dan manampakkan kerajaan tunduk kepada tekanan untuk bersikap populis apabila adanya Menteri Kabinet sendiri yang menentang perlaksanaannya. Persoalan yang bermain difikiran saya, apakah Menteri tersebut sengaja melakukannya untuk menaikkan popularity sendiri disaat Pemilihan Agung UMNO yang semakin hampir, tidakkah keputusan atau langkah untuk menyenaraikan nama mereka yang ingkar ini tidak dibawa kedalam mesyuarat cabinet sendiri untuk dibangkang oleh menteri terbabit, atau menteri itu hanya mahu membuat bantahan melalui medium yang boleh menaikkan popularitinya sebagai ketua. Sesuatu yang amat malang bagi kerajaan bilamana kesan daripada itu ramai dari kalangan penyokong pembangkang melihat ia tidak lebih dari sandiwara kerajaan, walaupun dipihak PTPTN sendiri bermati matian berfikir bagaimana meneruskan kelangsungan bantuan kepada generasi akan datang dengan semakin bertambahnya pembayar yang ingkar.
Selepas dari pengumuman awalnya oleh Dato Seri Idris Jusoh, saya diberitahu ramai dari kalangan peminjam yang sebelumnya tidak pernah dapat dihubungi sudah mula membuat panggilan kepejabat PTPTN untuk berunding tentang pinjaman mereka. Satu perkembangan baik yang diinginkan oleh  pihak PTPTN sendiri. Sebaliknya bila keadaan kerajaan menarik balik keputusan ini, mereka kini melihat Kerajaan sememangnya lemah dan mudah tunduk kepada desakan  politik pembangkang bilamana disambut oleh Menteri sendiri.
Di masa hadapan saya merasakan Menteri dalam Kabinet perlu membuat bantahan didalam mesyuarat cabinet untuk sesuatu keputusan supaya kegawatan yang akan ditertawakan oleh rakyat ini akan tidak berulang.  Kerajaan tidak pernah belajar betapa silapnya memansuhkan beberapa akta seperti ISA, Ordinan Darurat dan beberapa langkah untuk kesejahteraan rakyat hanya kerana desakan suara suara seperti ini.
Sudah tiba masanya Kerajaan memikirkan kaedah terbaik dalam menyelesaikan isu ini secara bijaksana. Saya tertarik untuk mencadangkan dengan mengambil model penyelesaian pinjaman pelajaran melalui kaedah yang telah dinamakan ‘Income Contigent Loan Recovery’ (ICLR). Kaedah ini telah di amalkan dan terbukti Berjaya dibeberapa Negara seperti New Zealand, Australia dan Canada dalam mendapatkan bayaran balik pinjaman pelajaran. Kaedah ini tidak akan menyenaraihitamkan mana mana peminjam malah dilihat lebih adil kepada rakyat secara keseluruhanya.
Melalui ICLR, peminjam yang tidak bekerja tidak perlu membayar pinjaman mereka kepada PTPTN, tapi pembayaran akan bermula sebaik sahaja mereka mula bekerja melalui potongan gaji dengan peratusan yang tidak membebankan mereka, jika sebelum ini PTPTN boleh menerima bayaran walau serendah RM50, jadi saya melihat tiada masalah bagi kerajaan mengimplimentasi kaedah ini.
Pembayaran balik sebaik sahaja peminjam bekerja hanya akan dilakukan oleh PTPTN jika Peminjam memperolehi tahap pendapatan tertentu (threshold )mengikut kesesuaian kos sara hidup di Malaysia. Sebagai contoh, Jika pendapatan yang diperolehi adalah dibawah RM2000, maka tiada potongan akan dibuat tetapi jika melepasi RM2000 ia dilakukan seperti mana pemotongan lain lain potongan KWSP dan Socso itupun dengan nilai yang minima, tidak perlu difikirkan berapa lama mereka boleh menghabiskan pinjaman kerana apa yang diamalkan di US, pembayaran dihadkan hanya selama 25 tahun, jika masih ada pinjaman berbaki selepas 25 tahun maka ia akan dilupuskan (forgiven). Kaedah ini telah meningkatkan kutipan semula sehingga 90% pinjaman pelajaran di New Zealand dalam masa yang amat singkat. Namun begitu mungkin keputusan di Malaysia bakal berbeza, tapi tidaklah seteruk sehingga 400 ribu peminjam yang ingkar dengan nilaian sehingga RM2.8 billion. Lebih menarik, ramai yang Berjaya menyelesaikannya dibawah tempoh 10 tahun.
Jadi, Kementerian , PTPTN dan berbagai agensi terlibat harus melihat dan menilai kaedah ini secara mendalam.
Kepada yang menentang, ingatlah pinjaman PTPTN, 70% darinya adalah untuk kegunaan makan pakai anda yang menjadi darah daging anda, jika anda fikirkan ia hak anda , fikirkan juga ia adalah hak generasi selepas anda yang boleh menggunakan wang itu untuk kegunaan mereka. Jika akad pada awalnya adalah hutang, maka sampai bila bila pun ia tetap hutang. Janganlah mudah terpesona dengan bayangan bandingan Negara luar seperti Norway yang memberikan pendidikan percuma, tapi mengenakan cukai dan kos sara hidup tidak disediakan sama sekali, mereka juga tetap perlu membuat pinjaman. Negara Cuba, walau dikatakan menghasilkan ramai pakar pakar perubatan, tapi jangan dilupa mereka juga ramai menghasilkan pakar pakar jenayah berat seperti dadah dan kongsi gelap. Mengambil contoh kursus perubatan di IPTA , kalau diikutkan kos sebenar ia mencecah sehingga RM166,000 tapi telah disubsidi oleh kerajaan sehingga lebih 90 % dan ia dapat dinikmati oleh rakyat dengan kadar hanya RM9,000 sahaja, dan kalau nilai itu masih tidak mampu dipenuhi tanpa apa apa cagaran PTPTN sedia membantu kerana itulah niat murni mereka.
Menguruskan Negara bukanlah mudah seperti berbicara di Kedai kopi, habis secawan kopi Negara sudah kaya hasil dari idea kita sebelum order kopi tadi.
Kerajaan janganlah terlalu menunjukkan kebodohan sendiri dari mereka mereka yang mencari popularity sementara, kerana diera Pak Lah, kerana terlalu inginkan popularitilah akhirnya menghuru harakan keutuhan Kerajaan.

PTPTN dan CCRIS

Posted on August 20, 2013

Dengan angka RM2.8 billion dan seramai  418,094 pelajar yang masih ingkar membayar pinjaman PTPTN ( Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) maka adalah sesuatu yang tidak menghairankan jika kerajaan berusaha untuk mengambil langkah untuk mendapatkan kembali wang pinjaman itu untuk terus memberi kemudahan kepada generasi akan datang menyambung pelajaran tanpa ada masalah kewangan. Namun begitu , pengumuman Dato Seri Idris Jusoh untuk menyenaraikan pembayar pembayar ingkar kedalam CCRIS menyebabkan penyokong dan pemimpin pembangkang lantas bangkit menentang untuk terus popular dan menghidupkan isu.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997, iaitu semasa Anwar Ibrahim masih lagi menjadi Timbalan Perdana Menteri, malah ia diluluskan pada tarikh beliau memangku  jawatan Perdana Menteri ketika itu iaitu 1 Julai 1997. Dato Seri Najib Tun Razak pada ketika itu menjawat jawatan Menteri Pendidikan  bertanggungjawab membentangkan Rang Undang Undang tersebut di Parlimen Malaysia. Apa yang pasti disini ia telah dipersetujui secara sebulat suara oleh kabinet ketika itu tentang penubuhannya. Kenapa Anwar ketika itu tidak menghalang penubuhannya dan kini menentang hanya untuk mencari keuntungan politik.

Tujuan ia ditubuhkan adalah untuk memberi kemudahan kepada rakyat untuk melanjutkan pengajian  disaat perkembangan pesat sektor pendidikan dengan pertambahan universiti awam dan swasta bagi memenuhi keperluan anak Malaysia pada ketika itu ramai memperolehi keputusan yang cemerlang dan memberangsangkan. Disaat itu, untuk agensi seperti MARA  dan JPA tidak dapat memenuhi keperluan pembiayaan kepada semua pelajar pelajar yang layak ini samaada dalam bentuk biasiswa mahupun pinjaman pelajaran.

Saya masih teringat ketika sebelum diperkenalkan PTPTN , ramai ibubapa terpaksa meminjam dengan saudara mara dan rakan rakan semata mata untuk memenuhi tuntutan pengajian anak mereka demi melihat kejayaan mereka dimasa hadapan. Bagi yang cemerlang maka mereka yang bernasib baik boleh mendapat biasiswa.  Dan selebihnya terus tinggal dikampung dan telah masuk kealam pekerjaan sebaik saja menamatkan SPM, bukan kerana yuran tapi lebih memikirkan kos sara hidup dikampus yang jauh lebih tinggi dari yuran itu sendiri. Ada yang sedang dikampus pula menjalankan perniagaan dan pekerjaan sambilan bagi mendapatkan wang saku untuk sara hidup disana, yang mengakibatkan tumpuan terhadap pelajaran semakin berkurang, tak kurang juga yang belajar hanya separuh jalan.

Selepas PTPTN diperkenalkan, ramai yang gembira kerana seolah olah telah meringankan beban ibubapa dan ramai lepasan SPM dapat merebut lebih peluang melanjutkan pelajaran dengan wang bukan lagi satu masalah. Tapi selepas ia berjalan selama lebih 15 tahun  dengan melahirkan lebih ramai golongan yang berpendidikan tinggi, tiba tiba Pakatan Rakyat membawakan idea pendidikan percuma dan penghapusan PTPTN, kerana melihat peluang keuntungan politik apabila terdapat lambakan graduan yang tidak bekerja yang mencari cari alasan untuk tidak membayar PTPTN. Bagi mereka bila dapat memberikan harapan kepada seorang graduan maka mereka akan dapat membeli jiwa kedua ibubapanya. Satu kaedah mudah mendapatkan sokongan massa tanpa perlu memikirkan kesan yang bakal berlaku, apa nasib generasi akan datang.PR tidak pernah menjanjikan kepada rakyat bahawa mereka akan menanggung perbelanjaan wang saku pelajar di Universiti.

Berbalik kepada isu penyenaraian nama peminjam kedalam pengkalan data kredit Bank Negara atau CCRIS, Rafizi Ramli sekali lagi dengan lantang menentangnya lantas disambut oelh penyokong penyokong mereka dengan berbagai hujah. Antaranya mereka menyatakan, jika dimasukkan kedalam senarai CCRIS bagaimana nanti mereka mahu mendapatkan pembiayaan untuk membeli Kereta dan keupayaan untuk mendapatkan pinjaman semakin sukar.

Apa yang dilakukan oleh PTPTN ini adalah sebagai satu usaha untuk mendapatkan semula wang dari mereka yang langsung tidak pernah peduli atau respon kepada surat pembayaran balik dan penyenaraian nama di akhbar, alasan peminjam adalah  mudah mereka tiada sumber pendapatan kerana tidak bekerja dan tak mampu membayar semula walau bertahun tahun sudah menghabiskan pengajian. Satu alasan yang boleh diterima akal, tapi apakah bank akan menerima permohonan pinjaman dari mereka yang tiada sumber pendapatan, tidak perlu semak CCRIS pun, bank awal awal lagi dah tolak pinjaman mereka.

PTPTN seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini terbuka kepada sebarang perundingan dengan peminjam, dimana peminjam boleh melanjutkan ‘tempoh bertenang’ dari membuat bayaran malah ada ramai yang sekarang membayar serendah RM50 sebulan, asalkan mereka datang dan berbincang.  PTPTN KAN ADO!

Kelantan Yang Kelam

Posted on August 15, 2013

Melihatkan keadaan pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan ketika ini selepas 100 hari pemerintahan dibawah barisan kepimpinan baru, saya seperti dapat merasakan kerajaan Negeri yang ada pada hari ini adalah lebih tidak stabil dari penggal selepas PRU 11 dahulu, di mana ketika itu PAS berkelebihan hanya 1 Kerusi mengatasi Barisan Nasional Kelantan.

Keadaan ini dijangka akan berterusan bila melihatkan tindakan- tindakan yang diambil oleh pentadbiran baru sentiasa mencetuskan rasa tidak puas hati dikalangan golongan yang kecewa dalam PAS Kelantan sendiri. Ia jelas memperlihatkan pertembungan sebenar 2 puak yang tidak akan reda selagi keinginan tidak dipenuhi. Masing masing mempertikaikan tindak tanduk dalam segala keputusan dalam kerajaan Negeri. Yang sedang memegang kuasa seolah memberi isyarat pentadbiran dahulu banyak melakukan kerosakan sehingga tidak dapat membawa apa apa kebaikan kepada negeri, yang menuntut kuasa pula sentiasa mencari kesalahan dalam pentadbiran baru dengan menimbulkan persoalan persoalan yang membawa sangsi kepada rakyat tentang keupayaan mereka.

Banyak perkara yang dulu dipersoalkan rakyat sebelum PRU13, yang pantas dinafikan sekeras kerasnya oleh kepimpinan terdahulu kini semakin terdedah dengan sendirinya, dan pendedahan dibuat oleh Penyokong PAS yang dulunya bermati matian mempertahankannya. Sebagai contoh dalam isu pemberian pajakan tanah hutan kepada syarikat bukan bumiputra, seperti Liziz Plantation Sdn. Bhd. Dikhabarkan oleh mereka telah menerima pajakan tanah seluas 5000 ekar bukan melalui tender terbuka dengan nilai pajakan RM300,seekar/tahun, sejauh mana kebenaranya hanya mereka yang terlibat mengetahuinya dan wajarlah pentadbiran negeri segera menjawab isu ini kalau tiada apa yang hendak disembunyikan. Isu ini saya lihat seakan membenarkan segala apa yang rakyat persoalkan dahulu tentang penawaran pajakan tanah Yayasan Islam Kelantan (YIK) seluas lebih 10,000 ekar kepada Upayapadu Sdn. Bhd pada harga RM150 seekar/tahun. Apa yang jelas yang lama dengan yang baru sama sahaja gayanya. Seolah 2 kumpulan tikus yang berebut rebut untuk membaiki labu. Tertanya saya kenapa soal isu Liziz Plantation ini dihebohkan sekarang sedangkan Liziz ini sudah lama mendapat tempat dalam hati pentadbiran sebelum ini, dengan banyak tanah-tanah milik negeri telah dipajakkan kepada mereka. Dulu atau sekarang, yang pasti rakyat Kelantan hanya mampu melihat beribu ekar lagi tanah rakyat Kelantan dipajak.

Dipihak Kerajaan Baru pula secara berlapik dan sedikit demi sedikit mendedahkan kepada rakyat tentang kepincangan pentadbiran lama. Jika dulu Gerakan TUKAR berdemo mengantar memorandum mempersoalkan logik Lebuhraya Rakyat (LERAK), pihak Pentadbiran Kerajaan Negeri  ketika itu pantas mencerca dengan menganggap itu satu penghinaan, tetapi apa yang dilakukan ketika itu adalah meminta penjelasan dari pihak Kerajaan Negeri tentang kaedah pembinaan Lebuhraya Rakyat yang dibentang kepada rakyat yang jauh dari logik akal. Dan sekarang pentadbiran baru yang diketuai oleh Dato Ahmad Yaakob secara tidak langsung mengakui bahawa LERAK yang dikemukakan oleh pentadbiran dahulu adalah satu perancangan tangkap muat dan IKUT TERLINTAS (IT), selepas memaklumkan kepada rakyat ia masih diperingkat penilaian oleh perunding baru.

Pertembungan sebenar adalah dilihat kepada pertembungan pro Nik Amar dan pro Husam, yang saling berbalas serangan dari awal pentadbiran baru mengangkat sumpah sehingga sekarang. Jadi dari senario begini maka akan berterusanlah rakyat Kelantan berada dalam keadaan kelam sekurang kurangnya untuk tempoh 5 tahun mendatang.

Jika dalam menghadapi PRU ke 13 Husam melancarkan LEBUHRAYA RAKYAT (LERAK) sambil menyalahkan kerajaan pusat, maka tidak mustahil Nik Amar dalam menghadapi PRU ke 14 nanti akan pula melancarkan LINGKARAN PENYURAIAN ALIRAN TRAFIK (LIPAT) juga untuk menyalahkkan kerajaan pusat . Akhirnya rakyat Kelantan jugalah di ‘LERAK’ dulu, dan bakal di ‘LIPAT’ dimasa akan datang.

100 Hari Kerajaan Baru PAS Kelantan, Semakin Panas

Posted on August 11, 2013

Pada posting yang lepas pada 5 Ogos 2013, saya membicarakan tentang kepulangan perantau ke negeri tanah tumpah kelahiran, Kelantan untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri yang berkebetulan dengan hampir genapnya 100 hari pemerintahan berwajah baru Kerajaan PAS Kelantan.  Kepulangan mereka bersama seribu satu persoalan mengenai apa yang telah dijanjikan kepada rakyat Kelantan sebelum PRU 13 lalu. Ada beberapa group Facebook yang pro-PAS mula melancarkan serangan terhadap kredibiliti Kerajaan Negeri berkenaan hal tersebut dan bagaimana ‘sejuknya’ Kerajaan dibawah pimpinan baru ini. Mereka juga memalitkan kesalahan kesukaran melaksanakan projek projek itu adalah disebabkan Kerajaan Negeri tidak menyenaraikan bekas Exco Kanan, Dato Husam Musa sebagai punca kepada kegagalan itu, dengan kata lain MENGKAMBING JAMNAPARIKAN Kerajaan Bawah Pimpinan baru ini.

Sebelum ini tiada respon dari Kerajaan Negeri, mungkin kerana blog ini disifatkan oleh  mereka hanya suara kecil yang tidak perlu dihiraukan, dan boleh diletak tepi. Sehinggalah teguran secara terbuka Professor Agus Yusoff di Wall Facebooknya pada Jumaat, 9 Ogos 2013 ,yang secara jelas memberikan teguran ‘berhemah’ tentang betapa tiadanya keghairahan baru di Kelantan, setelah 100 hari mendapat mandat baru dari rakyat Kelantan. Keghairahan yang dimaksudkan Prof Agus adalah berkenaan tiadanya dasar dasar baru yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Dato Ahmad Yaakob dan Timbalannya Dato Nik Amar, ia juga mengenai status 2 projek ikonik Lebuhraya Rakyat (LERAK) dan Bandar Sukan Bukit Merbau yang menjadi tanda tanya penyokong  PAS sendiri. Mereka perlu tahu status dua projek ini kerana mereka bermati matian sebelum ini, mengatakan ia akan menjadi kenyataan dan bukan omongan kosong semata-mata, malah mereka mendabik dada dengan kehebatan Kerajaan PAS yang mereka pertahankan , mampu melancarkan perletakan BATU ASAS walau dipersoalkan dengan berbagai persoalan yang dibawa oleh suara suara yang menentang mereka.

Teguran Prof. Agus terhadap Kerajaan Negeri Kelantan

Teguran Prof. Agus terhadap Kerajaan Negeri Kelantan

Baca seterusnya di sini

Pada 10 Ogos 2013, selepas jamuan Hari Raya Rasmi Kerajaan Negeri Kelantan  berlangsung di Dewan Jubli Perak MPKB, yang dikatakan berlangsung hambar , Dato Nik Amar sudah mengeluarkan kenyataan bagi menjawab ISU 100 HARI ini dengan menempelak, Prof Agus Yusoff dengan kenyataan sinikal “Dalam 100 hari nak bina bangunan pun takkan boleh siap”-Dato Nik Amar. Satu statement yang bagi saya tidak memahami apa yang dipersoalkan dan tidak patut keluar dari mulut seorang Timbalan Menteri Besar. Sambil membawakan contoh, Kerajaan Negeri  melalui Menteri Besar telah mengumumkan akan melaksanakan rumah mampu milik pada bulan Mei lalu. Kalau tak silap saya polisi ini telah berjalan semasa pemerintahan Menteri Besar terdahulu, dan jika ditanya kepada rakyat Kelantan masih ramai yang tidak dapat maklumat tentang pemilikan rumah ini yang bilangannya masih jauh lebih sedikit dibandingkan dengan pembinaan komersial usahasama Kerajaan Negeri dan Swasta, mungkin kerana kelemahan jentera penerangan Kerajaan Negeri. Tapi, yang lebih menghairankan ramai rakyat Kelantan tahu mengenai pembinaan ratusan unit Pangsapuri Mewah di Tunjung, Seri Cemerlang, Jalan Hamzah dan dibeberapa tempat strategik yang ada diantaranya dibina secara usahasama dengan GLC Negeri dan Swasta. Walau mereka tidak mampu memilikinya tapi ia boleh jugalah dibanggakan sebagai ‘penanda aras’ pembangunan bagi mereka , dari tiada langsung yang boleh dibuat modal bercakap.

nikamar

Bercakap tentang Lebuhraya Rakyat(atau ringkasan tepatnya LERAK) pula. TMB mungkin menyifatkan mereka yang mempersoalkannya telah terlepas ‘Keretapi’, berikutan dari pengumuman yang menyatakan ia telah dalam proses memperhalusi projek tersebut. Dalam kenyataan beliau ia sedang diteliti dari segi teknikalnya kerana Kerajaan Pusat mengistiharkan akan menyertainya. Jadi, jika diamati jelaslah sekarang apa yang diumumkan semasa perletakan batu asas/pecah tanah/sembahyang hajat dibuat ditapak perasmian di Felcra Berangan Mek Nab berasaskan kepada sesuatu yang belum diperhalusi oleh pentadbiran terdahulu walau mereka bermati matian mengatakan ia sudah diperingkat perlaksanaan, malah pembinaan sudahpun dimulakan di Kg Bukit Bakar, beserta dengan bukti video tentang perkembangannya yang disiarkan di laman YOUTUBE. Rakyat tertanya tanya dengan wang siapakah yang dibelanjakan oleh pentadbiran terdahulu untuk melakukan ‘site clearing’ keatas sebuah projek yang belum dimuktamadkan?. Malah kini telah balik semula kedalam proses ‘memperhalusi’, satu proses awal yang perlu dan wajib dibuat sebelum perlaksanaan sesuatu projek, bukan selepas projek mula baru nak perhalusi.  Suatu ‘seni’ yang hanya ada dalam Kerajaan PAS Kelantan.

Ia juga dikatakan, Kerajaan Negeri dalam proses menunggu kertas cadangan oleh sebuah syarikat Abu Dhabi yang akan melaksanakan projek LERAK, setelah Kontraktor terdahulu menarik diri dari meneruskan projek tersebut. Perlu dijelaskan kepada rakyat Kelantan apakah situasi sebenar yang akan berlaku jika menerima cadangan Syarikat tersebut, apa cagaran yang akan diberikan kepada syarikat itu?, adakah pemajakan tanah? Atau pemilikan hasil galian Kelantan? Kalau benar ,untuk berapa puluh tahun ia akan dipajakkan?, semua ini perlu dijelaskan kepada rakyat Kelantan. Jangan kerana terdesak ingin memenuhi janji semata mata, Kerajaan Kelantan kehilangan hasil beribu ribu lagi ekar tanah yang bernilai lebih tinggi dari itu untuk tempoh yang lama.

Jika benarlah ia akan dilaksanakan bersama bantuan Kerajaan Pusat, maka diucapkan tahniah kerana dalam keadaan dituduh zalim bersekali dengan doa kehancuran oleh pemimpin dan penyokong PAS, Kerajaan Pusat masih seperti biasa sentiasa membuka pintu kepada sebarang kerjasama, seperti sebelum ini dengan berbagai projek prasarana yang telah pun dibuat di Kelantan, walau tidak dihargai sedikitpun oleh penyokong PAS, tapi atas dasar tanggungjawab Kerajaan Pusat ia dilakukan juga.

Terkejut juga saya dengan jawapan mengenai dasar baru yang telah dilancarkan oleh Kerajaan Baru PAS Kelantan apa bila beliau menyatakan  iaitu DASAR MESRA KELUARGA untuk menempatkan kakitangan dan pegawai berkhidmat dekat dengan ahli Keluarga mereka. Suka juga saya ingin bertanya adakah bermaksud seorang kakitangan  Kerajaan Negeri yang tinggal di Tumpat bertugas di Kota Bharu dan mengambil masa lebih kurang 30 minit melalui jambatan Kedua Sultan Yahya untuk sampai ke pejabat keakan ditukarkan Ke Tumpat supaya lebih dekat dengan rumah. Kalau itulah dasarnya maka bolehlah kerajaan negeri umumkan berapa ramai sudah terlibat dengan pertukaran ini?. Mungkin boleh diumumkan sekali Dasar Belia barangkali mengajak anak muda Kelantan supaya ramai ramai panjat GUNUNG STONG.

Janganlah memperlekehkan suara rakyat Kelantan, ada baiknya dalam menerima tekanan dari dalam dan luar Parti sendiri, pentadbiran Kerajaan Baru PAS Kelantan harus mula berterus terang tentang apa yang telah berlaku dalam perancangan terdahulu sehingga keputusan sebegini rupa diambil yang lebih menimbulkan persoalan yang lebih banyak dari rakyat.

Penyokong PAS yang kecewa dengan penyingkiran Dato Husam Musa akan terus menekan mereka dari dalam, Pentadbiran baru ini harus mengambil jalan terbaik dari dipandang serong oleh mereka tiada guna terus berlapik berkias dengan rakyat, kalau perlu dedahkanlah segala perancangan Pentadbiran terdahulu yang tidak mencapai matlamat asal kepada rakyat supaya rakyat boleh berlapang dada dengan setiap keputusan yang Kerajaan Negeri ambil di masa hadapan. Sepertimana pendedahan mereka tentang persoalan kenapa Dato Husam Musa tidak disenaraikan dalam Barisan Exco.

SELAMAT KEMBALI MERANTAU PADA PERANTAUAN, TERIMA KASIH KERANA ANDA LEBIH MENGETAHUI DARI KAMI YANG MERASAI. SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.

Selamat Pulang Perantau, Selamat Menyambut 100 Hari Pemerintahan Baru PAS Kelantan.

Posted on August 5, 2013

IMG_8263

Selamat pulang kepada perantau anak Kelantan yang berduyun duyun mula pulang ke kampong halaman masing masing. Ramai antaranya, kali terakhir pulang adalah lebih kurang 100 hari yang lalu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang rakyat dan mereka kekal memilih PAS untuk meneruskan legasi 23 pemerintahan yang penuh ‘gemilang’, katanya.

Ketika pulang hampir 100 hari yang lepas, mereka pulang dengan semangat untuk mengekalkan Kerajaan PAS Kelantan setelah dijanjikan oleh Husam Musa dan barisan kepimpinan ketika itu tentang bahawa Kelantan bakal memiliki lebuhraya Rakyat (LARAT) menghubungkan Kuala Krai dan Kota Bharu sepanjang 73 kilometer, atau mungkin tercapainya hasrat melihat sebuah Stadium Bermasjid pertama di dunia di Bukit Merbau, yang sudah dijanjikan sebelum pilihanraya lalu. Semua tak dapat menafikan bahawa itulah faktor amat besar yang menyebabkan mereka memilih PAS di Kelantan.

Tapi semua itu hanyalah dapat dilihat di dalam imaginasi masing masing yang terlalu obses dengan janji pentadbiran ketika itu yang galak membuat penerangan kepada mereka tentang betapa mudahnya semua itu akan diperolehi hanya dengan syarat sekali lagi memilih PAS untuk kekal sebagai Kerajaan Negeri Kelantan walau sebelum ini sudah berpuluh tahun PAS memerintah negeri ,dengan hampir kesemua pembangunan yang telah ada disini dilakukan oleh Kerajaan Pusat.

Central Spine Road

Central Spine Road (CSR)

Yang tinggal dan apa yang benar benar dapat dirasai adalah Lebuhraya Lingkaran Tengah (Central Spine Road) di perjalanan pulang semasa memasuki Bentong hingga ke Raub  yang walau belum sepenuhnya siap kerja kerja sedang giat dijalankan, fasa terakhir diberitakan akan disambung hingga ke Gua Musang. Hampir kebanyakan perantau pulang ke Kelantan akan menggunakanya sebagai jalan utama. Bila sampai ke Pasir Hor akan kelihatan persimpangan bertingkat Pasir Hor-Kubang Kerian, Tiba pula di kawasan Wakaf Siku kelihatan jejambat menuju ke Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra yang sudah mula boleh digunakan walau tidak sepenuhnya. Kesemua itu adalah untuk penyuraian trafik di kawasan bandar Kota Bharu yang benar benar semakin sesak untuk menampung anda semua.

Iyalah, sudah menjadi tanggungjawab sebagai kerajaan pusat untuk lakukan itu semua, tanpa mempersoalkan langsung apa pula tanggungjawab kerajaan negeri yang kononnya kaya dengan hasil balak, Kelapa Sawit yang dikatakan mencatat untung berpuluh juta setahun dan bijih besi yang boleh dijadikan kontra untuk janji janji PRU 13 lalu.

Pada Ogos ini, bersekali dengan Hari Raya Aidil Fitri maka hampir genaplah 100 hari pemerintahan PAS di Kelantan dengan mandat baru dan barisan Kepimpinan yang baru dengan penyerahan Kerusi Menteri Besar kepada Dato Ahmad Yaakob dan Timbalannya yang baru Dato Nik Amar, serentak dengan itu juga Dato Husam Musa juga telah tiada dalam senarai exco negeri. Biasanya tempoh 100 hari pemerintahan ini adalah masa untuk rakyat sudah boleh melihat kemana hala tuju atau dasar dasar kerajaan yang pastinya perlu lebih baik dari kepimpinan dahulu disamping mengatasi masalah masalah rakyat yang ditimbulkan sebelum PRU 13 yang lalu.

Tapi, setelah diamati Kepimpinan Kerajaan Negeri sekarang masih terkial kial mencari halatuju dan melunaskan janji janji yang dibuat sebelumnya, dengan masalah air masih menghantui rakyat Kelantan di banyak tempat tanpa penerangan yang jelas apa yang Kerajaan Negeri sedang lakukan untuk mengatasinya. Lebuhraya Rakyat atau LARAT semakin dilihat tidak larat dipikul oleh Kepimpinan baru ,dengan perkhabaran terbaru ia masih diperingkat kajian perunding yang baru untuk diteruskan, persoalanya adakah pengumuman yang dibuat oleh Exco terdahulu belum dikaji sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri, hanya tahu umum dan buat Majlis Pecah Tanah untuk mendapat keuntungan politik semata mata?.

Di pihak penyokong yang tidak bersetuju dengan kepimpinan sekarang, ada yang sudah mula cuba memalitkan kesalahan atas kegagalan meneruskan perancangan terdahulu. Tekanan dari sebilangan penyokong PAS dilihat begitu kuat mula mempersoalkan kebolehan kepimpinan baru untuk meneruskannya. Begitu juga keadaan nya dengan Bandar Sukan Bukit Merbau dengan stadium ikoniknya, yang kini hanya tinggal batu asas yang kesunyian ditemani kambing-kambing sekitar padang ragut kawasan itu. Papan tanda ‘BILLBOARD’ yang mahal mengenai LARAT sudah mula satu persatu digantikan dengan gambar lain. Barangkali untuk rakyat Kelantan lupa tentang janji tersebut.

Sempena 100 hari mandat kepada PAS Kelantan dengan Kepimpinan baru dan mengambil Aidilfitri sebagai hari untuk bermaaf maafan,  maka ada baiknya Kepimpinan Kerajaan Negeri menjelaskan kepada rakyat apa sebenarnya yang berlaku dengan pengumuman kepimpinan terdahulu dan dimana silapnya, kalau ada salah dan silap buat lah permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat yang pulang mengundi mereka, saya pasti anak Kelantan di perantauan akan menerima permohonan maaf ini kerana walau apa berlaku di Kelantan, mereka sudah selesa hidup dan bekerja di negeri negeri bawah pimpinan Kerajaan Barisan Nasional.

Jangan risau, pilihanraya umum akan datang mereka yang telah memilih PAS akan pulang semula untuk memilih PAS asalkan ada janji janji baru yang boleh mereka pegang sebagai alasan, tertunai atau tidak itu bukan masalah mereka.

SELAMAT MEYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN.

<span>%d</span> bloggers like this: