Sekiranya pembaca budiman ingin meninggalkan komen dan memberi pandangan anda, saya amat-amat bermohon ianya tidak mengkeji atau mencaci maki sesiapa. Komen yang bersifat serangan peribadi tidak kira kepada sesiapa sekalipun dan komen yang tersasar dari konteks perbincangan yang rasional dan membina tidak akan disiarkan. Komen-komen di dalam dialek yang ejaannya sukar dibaca dan istilahnya  sukar difahami juga tidak akan dilepaskan. Harap maklum.

Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat adalah Pengerusi Jawatankuasa Balak Negeri Kelantan. Pendek kata segala urusan kelulusan Balak akan terpaksa melaluinya.

Selain daripada itu, setiap pihak yang memohon balak dan segala derma yang dijanjikannya akan dimaklumkan di dalam mesyuarat exco atau mesyuarat pre council. Ini termasuk modus operandi bagi permohonan tanah hutan untuk tujuan perladangan.

Contohnya, beberapa bulan yang lepas, YB Fatah Mahmood telah mempertahankan di dalam mesyuarat permohonan kelulusan tanah hutan simpan untuk tanaman perladangan. Kelulusan itu dipohon exco berkenaan di atas  nama salah sebuah syarikat milik Roshaimi Bin Razak. Alasan yang diberikan mengapa tanah tersebut perlu diluluskan adalah kerana Roshaimi telah bersetuju untuk menderma ‘sejumlah’ wang kepada salah sebuah NGO yang dipengerusikan oleh salah seorang ahli exco Kerajaan Negeri Kelantan. Modus operandi yang sama dibuat dalam permohonan kelulusan tanah hutan simpan di Dabong kepada lagi satu syarikat milik Roshaimi Bin Razak lebih kurang enam bulan sebelumnya. Permohonan enam bulan yang lalu juga kononnya kerana Roshaimi akan menderma kepada sebuah NGO bernama PERAKAN.

Bagaimana Nik Abdul Aziz tidak tahu menahu hal ‘derma’ ini bila di dalam insiden terakhir Nik Aziz terpaksa berdebat dengan salah seorang exco yang cuba menghalang tindakan tidak bermoral ini berterusan. Hingga akhirnya Nik Aziz terdiam bila exco berkenaan terpaksa membaca ayat Al Quran yang mengkehendaki kekayaan dibahagikan sama rata dan bukan kepada golongan tertentu sahaja.

Saya tidak berhasrat mendedahkan maklumat terperinci kerana ini berkisar kepada mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (Exco) dan saya tidak mahu ada ahli exco yang akan melenting dan mendakwa bahawa apa yang saya sebut melanggar Akta Rahsia Rasmi dan ada lagi gesaan supaya siasatan dibuat terhadap ahli exco yang membocorkan rahsia yang dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Tetapi saya suka menjawab segala kritikan yang dikemukakan di dalam posting saya terdahulu. Kebanyakan kritikan ke atas saya kononnya datang dari mereka yang begitu mencintai PAS dan Nik Aziz. Saya segaja lepaskan kesemua komen di dalam posting yang lalu walaupun kebanyakannya memualkan dan langsung tidak berkisar kepada perdebatan dan hujah yang memberi faedah kepada kita semua. Tidak kurang juga berpusat kepada serangan peribadi yang memalukan. Bermula dengan posting ini, hanya komen yang bertitik tolak kepada hujah dan tidak melibatkan serangan peribadi kepada mana-mana pihak akan saya lepaskan. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang baik dan bersih sahaja akan menghiasi ruangan komen ini bagi menggalakan perbincangan yang ilmiah dan berfaedah.

Seperti saya katakan, saya suka kritikan. Kritikan mendorong saya untuk lebih praktikal dan memberi lebih banyak bukti di dalam menegakkan tulisan saya. Hari ini saya akan menjawab ketidakpercayaan terhadap hujah saya terdahulu dengan mendedahkan beberapa maklumat daripada dokumen sulit POST-MORTEM PILIHANRAYA UMUM 2004 DI KELANTAN.

Pilihanraya Umum 2004 menyaksikan bagaimana PAS Kelantan mengalami kemenangan paling tipis  dan di akhir penggal tersebut, mereka hanya mempertahankan Kerajaan Negeri Kelantan dengan 1 kerusi yang dimenangi dengan kelebihan 2 undi sahaja.

Berdasarkan dokumen yang dilampirkan di bawah, antara punca yang dikenal pasti oleh PAS terhadap tindakbalas pengundi kepada mereka di dalam PRU 2004 ialah faktor-faktor kelemahan mereka sepanjang penggal 1999 hingga 2004, tempoh ini ialah setelah PAS menang besar di dalam PRU 1999.

Kebanyakan dokumen yang telah saya siarkan di blog ini ialah berhubung kebobrokan yang berlaku sepanjang tempoh tersebut kerana setelah menang besar dalam PRU 2008, PAS Kelantan di bawah pentadbiran Nik Abdul Aziz sekali lagi mengulangi kebobrokan 1999-2004.

Antara punca yang terkandung di dalam dokumen tersebut adalah;

  • Sikap selesa – Yakin menang PAS Kelantan.
  • Sabotaj dan masalah dalaman PAS Kelantan.
  • Peribadi dan akhlak calon PAS Kelantan.
  • Prestasi Wakil Rakyat PAS Kelantan yang lemah.
  • Dasar Tanah Kerajaan.
  • Kewangan.

Izinkan saya mengulas sedikit 2 punca terakhir iaitu bermula dengan Dasar Tanah Kerajaan. Rakyat kelantan yang tinggal di Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang adalah antara yang marah dengan dasar Kerajaan Negeri. Salah satunya ialah pengambilan tanah untuk Ladang Rakyat yang menindas rakyat dan merampas hak rakyat yang telah membayar deposit dan menjadi peneroka berzaman dahulu. Tanah-tanah itu pula kebanyakannya diberikan kepada lantikan-lantikan politik Parti termasuk ahli Halaqat Negeri dibawah Skim Ladang Rakyat. Rakyat yang terjejas akibat skim ini pula tidak dibayar pampasan setimpal dan ada yang tidak menerima pampasan langsung.

Pampasan hanya diberikan selepas PRU 2004 bila PAS Kelantan tinggal nyawa-nyawa ikan. Malangnya setelah menang besar dalam PRU 2008, kejadian yang sama berulang kembali. Sehingga kini sudah ramai penduduk di jajahan Gua Musang mengadu hal berkenaan.

Berpindah kepada faktor Kewangan, adalah amat mendukacitakan bila Jentera PAS Negeri Kelantan mengadu tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup. Ini kerana tempoh 1999 hingga 2004, beratus ribu ekar tanah balak dan juga pengambilan pasir sungai telah diluluskan kepada pihak swasta dengan janji derma yang menjangkau puluhan juta ringgit. Adakah wang derma yang sepatutnya dihadiahkan kepada Jentera Parti yang berselindung disebalik nama NGO-NGO, Syarikat-syarikat ‘Non-Profit’ Berhad dan agensi-agensi dakwah telah disalah gunakan atau telah dikeluarkan untuk tujuan lain yang memberi faedah kepada beberapa individu dan bukan aktiviti parti? Ahli-ahli PAS sepatutnya bertanya kepada pimpinan parti mereka.

Selepas kekecewaan PRU 2004, Pihak Perhubungan PAS Kelantan terpaksa di dalam sulit mengakui dua perkara penting yang digambarkan di dalam analisa bedah siasat mereka iaitu;

  • Kelemahan pengurusan pentadbiran Nik Abdul Aziz
  • Tahap kesedaran Islam yang semakin rendah di kalangan kepimpinan, ahli dan petugas pilihanraya PAS.

Untuk bangkit dari kemelut tersebut, PAS Kelantan dikehendaki menjalankan gerak kerja penerangan dan dakwah yang berteraskan mendedahkan kejahatan lawan selain menerangkan kenikmatan Islam. Bukankah mendedahkan kejahatan lawan itu sama seperti mendedahkan ‘aib’ seseorang? Tepuk dada tanya selesa. Oleh itu berhentilah mengugut saya supaya tidak membuka ‘aib’ Parti PAS Kelantan di bawah pentadbiran Nik Aziz.

Bedah siasat juga mendapati Dasar Membangun Bersama Islam sebenarnya tidak ke mana kerana ianya sekadar retorik sehingga terpaksa dicadangkan perancangan dibuat mengikut empat perkara iaitu misi, objektif, strategi dan taktikal.

Kepada mereka yang mendakwa diri pembela Nik Aziz dan pendokong seruan PAS, berhentilah menepuk air di dulang. Sebaliknya tepuklah bahu pimpinan anda dan tegurlah mereka.

Sehingga itu adalah amat pelik apabila pihak media massa merungut bahawa Nik Abdul Aziz terus-terusan tidak mahu menjawab persoalan balak dan pembahagian kepada orang-orang tertentu seperti yang didedahkan di dalam blog ini. Mungkin Setiausaha Akhbar baru Menteri Besar Kelantan boleh tolong menjawabnya dan jangan sekadar mengadu di sana dan sini bahawa komen anda tidak diluluskan. Jangan menunding sebarangan kalau tidak mahu jari anda itu tersepit.