“MCA apa lan c**… dia tahu kasi duit saja… tapi dia curi lagi banyak duit… itu olang kasi jahanam ini negeri” kata-kata yang memeranjatkan itu terhambur daripada mulut seorang lelaki Cina yang berbual dengan saya sebaik sahaja YB Lim Kit Siang selesai ceramahnya di hadapan Bilik Operasi DAP DUN Tenang.

Setiap malam saya pasti akan singgah di situ dan setiap malam saya boleh saksikan pertambahan bilangan orang yang datang untuk mendengar ceramah politik daripada pimpinan DAP, PKR dan PAS.

Bezanya pada malam ini, saya dan rakan mengenakan baju Melayu dan memakai kopiah putih ketika hadir mendengar ceramah anjuran DAP itu. Segera kami dilayan mesra dan diajak berbual.

“Kita semua satu hati, Melayu, Cina, India…. tapi itu MCA… mana tahu ini semua….” kata lelaki yang berusia lewat lima puluhan itu.

“Kalau kasi itu MCA… kita jadi lagi miskin… sikalang kita sudah susah, lima puluh lebih tahun, apa dia ada bikin kasi tolong kita?” tambahnya.

Setiap hari juga saya lalu di hadapan Ibu Pejabat MCA Labis dan setiap hari juga saya tertanya-tanya, adakah MCA sedar ada pilihanraya kecil di Labis ini?

Seperti yang saya tulis sebelum ini, pertembungan antara UMNO dan PAS di DUN Tenang akan ditentukan oleh kekuatan MCA dan DAP. Malam ini saya merasakan MCA memerlukan lebih dari sebiji Viagra untuk memacunya ke hadapan.

Di dalam ceramahnya kepada masyarakat Cina di Labis, Lim Kit Siang sekali lagi berkata adalah mustahil untuk PAS menang di dalam pilihanraya kecil ini tetapi sekiranya majoriti BN dapat dikurangkan, itu sudah satu kejayaan.

Menurut rakan baru saya malam tadi, Lim Kit Siang meletakkan sasaran mengurangkan 500 undi majoriti BN dan itu adalah kejayaan bagi Pakatan Rakyat.

Melihat kepada gerak kerja yang tidak kelihatan dilakukan oleh MCA di Labis, saya merasakan tidak mustahil PAS akan mendapat pertambahan 500 undi daripada masyarakat cina.

“Kita suka sama ini Normala…” katanya meyakinkan saya jika MCA terus hambar, maka lebih mudah untuk PAS memperolehi 500 undi tambahan daripada masyarakat cina berbanding dengan peluang BN memenangi pilihanraya ini dengan undi majoriti lebih 5,000.