Mahfuz Omar kata, kalau orang Melayu pun calon BN (Mohd Azahar Ibrahim) tidak boleh tolong, apa lagi orang bukan Melayu. Kata-kata itu disambut oleh tepukan gemuruh oleh penyokong DAP yang berkumpul di hadapan Pejabat Operasi DAP untuk mendengar kempen pilihanraya kecil DUN Tenang.

Sebelum itu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena dan Naib Presiden PAS memukau semua yang hadir dengan fakta dan penceritaan yang menarik bagaimana seorang lelaki Melayu yang telah dilelong tanahnya merayu kepada calon BN supaya memberinya peluang membayar segala hutang tertunggaknya bagi mengelak tanahnya dari di lelong.

Cerita sedih itu berjaya mengutip simpati para pendengar kepada mangsa. Apatah lagi apabila Mahfuz membaca keputusan mahkamah yang mengikut Mahfuz telah mendapati tindakan calon BN itu salah.

Tetapi bukan cerita itu yang menarik perhatian saya. Saya masih lagi terkilan dengan ‘ketidakhadiran’ MCA di dalam menyemarakkan kempen pilihanraya kecil ini. Terutama sekali setelah Chua Soi Lek menyumbat kaki ke dalam mulutnya sendiri di dalam isu bersalam.

Sudah lima malam saya mengunjungi bilik operasi DAP dan sudah tiga minggu saya melintasi hadapan pejabat MCA Labis. Bermula pada 21 haribulan sehingga ke malam tadi, ternyata semakin hari semakin ramai yang datang mendengar ceramah di tepi jalan itu.

Sebaliknya dari hari pertama saya melintasi di hadapan pejabat MCA sehinggalah ke malam tadi, ianya seolah-olah tiada apa-apa aktiviti langsung melainkan pada hari penamaan calon. Itupun kerana penyokong-penyokong Barisan Nasional berkumpul di situ untuk berarak ke pusat penamaan calon.

Mendengar ucapan Mahfuz dan melihat respons masyarakat cina, saya bertanya kepada diri saya, mengapa tidak UMNO tinggalkan sahaja Barisan Nasional dan sertai Pakatan Rakyat? Bukan saya mengharapkan ia berlaku. Tetapi sekadar bertanya kepada diri saya.

Saya merasakan MCA, GERAKAN dan MIC sudah menjadi bebanan yang tidak terpikul oleh UMNO. Pelbagai tuntutan yang dibuat oleh MCA, GERAKAN dan MIC terpaksa UMNO tunaikan tetapi apakah sumbangan mereka semula kepada Barisan Nasional?

Lalu apabila Calon PAS Normala Sudirman mengambil alih pentas DAP daripada Mahfuz, saya merasakan apa yang saya lihat, seolah tidak mungkin dapat saya lihat lagi di dalam Barisan Nasional.

Para hadirin yang hadir begitu menyayangi calon PAS itu dan sebaik selesai memberi pidato ringkas, begitu ramai yang ingin mengambil kesempatan bergambar, berpelukan dan bersalaman dengannya.

Mampukah MCA membuat masyarakat Cina sayangkan calon UMNO sebagaimana DAP membuat penyokongnya menyayangi Cikgu Mala?

Saya tidak nampak kesungguhan Chua Soi Lek ke arah itu.