Ada beberapa perkara yang menggusarkan saya di dalam penentangan Judi Bolasepak oleh pihak-pihak politik. Penentangan Judi Bolasepak ini datangnya dari segelintir di dalam UMNO dan komponen-komponen BN dan di juarai juga oleh Pakatan Rakyat.

Siapakah yang untung dari segi kewangan jika Judi Bolasepak tidak dibenarkan di Malaysia secara sah?

Sudah tentu yang untung ialah mereka yang mendapat manfaat dari ‘Dunia Gelap’.  Judi Bolasepak dibenar atau tidak, ianya akan terus berleluasa dan bertambah-tambah makmur di musim Piala Dunia. ‘Dunia Gelap’ akan melimpah-limpah keuntungannya.

Negara tidak akan mendapat apa-apa hasil. Rakyat Malaysia yang kaki judi akan terus bertaruh. Tidak kira Cina, India, Melayu atau lain-lain. Ya, judi yang sah atau tidak sah dari segi perundangan Malaysia tetap akan menjadi tumpuan umat Islam yang berminat untuk berjudi. Usah kita nafikan itu semua.

Saya gesa umat Islam dan pemimpin-pemimpin politik mengambil iktibar dari dasar Membangun Bersama Islam yang sudah 19 tahun ditegakkan di Kelantan.

Dibawah pentadbiran Islam di Kelantan, YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz terus membenarkan penjualan arak kepada bukan Islam dengan mengenakan cukai arak kepada premis-premis yang menjualkan arak itu.

“Bagi penjualan arak, ia hanya dibenar jual oleh orang bukan Islam kepada golongan itu sahaja, kerana jika ia diharamkan sudah tentu menyulitkan orang bukan Islam untuk menikmatinya,” kata Nik Aziz pada 19 November 1992.

Selang dua tahun kemudian pada 26 November 1994, apabila pihak-pihak yang tidak faham dengan dasar Membangun Bersama Islam mengkritik penjualan arak di Kelantan, Nik Aziz berkata,

“Kelantan menggunakan hasil cukai arak, lesen anjing dan sebagainya bagi menampung kos membuat jalan dan lain-lain projek pembangunan. Arak itu sendiri boleh diminum oleh bukan Islam, jadi bila minum oleh mereka, maka untuk menjaga keselamatan, kerajaan mengambil duit dari mana?”

Bahkan di Kelantan walaupun judi nombor ekor tidak dibenarkan, tetapi judi didalam bentuk loteri Big Sweeps di benarkan. Kedai-kedai yang menjadi ejen Big Sweeps terus dibenarkan menjual tiket-tiket loteri di premis mereka di bawah dasar Membangun Bersama Islam.

Jadi kenapakah parti PAS dan parti-parti politik pembangkang ikut bersama segelintir anggota parti komponen BN menentang pemberian lesen Judi Pertaruhan Bolasepak?

Apakah kerana pemberian lesen itu akan menggugat pendapat beberapa orang penting di dalam ‘Dunia Gelap’.

Dan sekiranya pendapatan beberapa orang penting di dalam ‘Dunia Gelap’ ini tergugat maka akan ada beberapa parti politik yang tergugat ‘derma’ yang mereka terima dari hasil mahsul ‘Dunia Gelap’?

Kalau kita ambik iktibar dari Membangun Bersama Islam dan Nik Aziz, sudah tentu tidak salah bagi seorang pemimpin Islam memberi lesen untuk membenarkan aktiviti ‘dosa’ asalkan ia tidak dibenarkan kepada orang-orang Islam. Jika masalah sosial juga menjadi alasan, arak juga adalah satu punca yang sering membawa kepada maksiat dan jenayah yang besar.

Di dalam soal ini saya sependapat dengan Nik Aziz.