“Tanah ini Taman Rohani, Jasmani Ayah bersemadi, dan bunga berpuisi…” Taman Rohani, Iklim

Dua minggu lepas, kita telah mencecah hits ke enam juta. Kebetulan pula berdekatan dengan Musim World Cup. Kebetulan juga saya mula-mula blogging masa musim World Cup 2006. Empat tahun dan enam juta. Terima kasih kepada semua pengunjung.

Sekarang bulan Rejab. Bermula Isnin minggu yang lalu, ramai termasuk keluarga saya mula berpuasa Rejab. Ada yang akan berpuasa terus sehingga menjelang Syawal. Mengingatkan saya kepada arwah datuk saya, Syed Razak yang sekembalinya dari Mekah, berpuasa terus-terusan sehingga hampir tiga puluh tahun dan hanya berhenti pada hari-hari di haramkan berpuasa. Teringat Tok Imam Sallehuddin Masjid Paya Rambai pernah menegurnya di suatu majlis kenduri, kata Tok Imam Sallehuddin, “Tok Abiq weh, lama kan tak ada syurga nak letak Tok Abiq sebab puasa banyak sangat…” katanya nada berseloroh. Apa tidaknya, akibat berpuasa berterusan, hubungan sosialnya dengan masyarakat menjadi semakin terbatas. Tetapi saya dapati kerana berpuasa bukan sahaja dari lapar dan dahaga tetapi dari dalam banyak perkara lain juga, kesihatan menjadi begitu stabil sehingga ke akhir hayatnya.

Kebelakangan ini saya turut berpuasa dari memblog untuk beberapa ketika. Puasa protes kerana telah hampir 5 bulan memohon talian streamyx dimasukan ke kediaman saya tetapi terus mendapat respons yang pelik-pelik dari TM. Akhirnya berkat usaha seorang rakan yang tidak mahu melihat saya terus berpuasa, talian Streamyx disambungkan juga akhirnya. dan saya berazam untuk kembali blogging sekerap mungkin setiap kali saya berada di rumah.