Barisan Pembangkang harus sedar, memainkan hati dan perasaan rakyat pasti membawa padah.

Abdullah Ahmad Badawi pernah berkata, “Saya Pantang DiCabar!”. Cuma pada waktu itu, Abdullah tidak sedar bahawa rakyat juga pantang dicabar. Abdullah Badawi apabila dicabar bertindak menyembur air berkimia dan memukul rakyat dengan belatan serta menghumban sesetengah daripada mereka ke dalam lokap kerana mencabarnya.

Nasib baik, rakyat lebih rasional dari Abdullah. Apabila rakyat dicabar, rakyat bertindak memberi undi mereka kepada sesiapa sahaja asalkan bukan Dacing.

Hari ini, nampaknya permainan yang sama telah dimainkan oleh DAP menerusi Ketua Menteri Pulau Pinang, menerusi Lim Kit Siang dan menerusi Teressa Kok. Saya cuma menanti untuk mendengar mereka berkata pula, Kami Pantang Di cabar!.

Sepanjang beberapa hari menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah melakukan apa sahaja untuk mencabar rakyat yang senyap dan inginkan keamanan. Lim Guan Eng mengambil tindakan membatalkan saman tertentu kepada rakyat. Tetapi saya ingin bertanya, rakyat mana yang mendapat habuan dari penghapusan saman itu? Rakyat yang baik, yang berdisiplin dan cintakan keamanan jarang sekali melanggar apa sahaja undang-undang. Rakyat itu walau disaman, mereka akan berusaha membayar saman kerana mereka sedar itu adalah hasil negeri. Saman yang mereka bayar itulah antara hasil yang akan digunakan pula untuk kebaikan mereka.

Mereka yang disaman di atas sebab tidak mematuhi undang-undang dengan segaja haruskah diberi insentif dengan membatalkan saman mereka?

Lim Guan Eng dengan berani mencabar sesetengah pihak dengan mengumumkan pendirian negatifnya terhadap Dasar Ekonomi Baru. Sedangkan rakyat umum terutamanya orang Melayu sendiri tidak ramai yang menikmati habuan Dasar Ekonomi Baru. Masalahnya bukan terhadap polisi atau dasar tersebut, masalahnya adalah bagaimana dasar itu dimanipulasikan oleh pihak tertentu untuk mengkayakan suku sakatnya sahaja. Siapakah antara yang menikmati habuan terbesar Dasar Ekonomi Baru? Apakah mungkin beberapa taukeh-taukeh cina sebenarnya yang menikmatinya. 

Lim Guan Eng bertindak membakar kelambu hanya kerana beberapa ekor nyamuk yang berjaya menghisap darah.

Nampaknya, hari demi hari, barisan Pembangkang semakin lari dari berdiri sebagai Barisan Rakyat sebaliknya kembali kepada ideologi mereka. Sehinggakan ada khabar angin bahawa ia memerlukan ugutan DiRaja untuk menghalau mereka keluar dari negeri dalam tempat 24 jam barulah mereka terngadah.

Sesetengah Pemimpin DAP nampaknya dengan jelas sudah tidak lagi releven dengan Perjuangan Rakyat. Berkali-kali mereka diingatkan oleh rakyat bahawa mereka meraih kemenangan dan kejayaan ini bukan sebab perjuangan mereka mahu menamatkan DEB atau perjuangan mereka menegakkan ideologi mereka. Mereka menang kerana ramai yang sebelum ini mengundi BN merasakan beberapa kerat pemimpin BN sudah terlalu angkuh dan tidak lagi berpijak dibumi nyata. Mereka ini bertindak mengalihkan undi mereka tetapi bukan kesetiaan mereka kepada pembangkang. Tindakan mereka ini hanyalah satu protes.

Mereka ini tidak mahu Pembangkang memerintah Malaysia. Mereka mahu mengurangkan majoriti BN dan kalau boleh tidak memberikan majoriti 2/3 lagi kepada BN. Mereka berharap tindakan ini akan menyedarkan BN dan apabila kesedaran ini wujud dikalangan pemimpin BN, maka pemimpin-pemimpin yang tidak disukai rakyat itu akan disingkirkan dan menjadikan BN kembali releven kepada perjuangan rakyat.

Kesedaran ini telah mula menimbulkan kesan. YB Mukhriz Mahathir semalam telah dengan berani mengutus surat kepada Abdullah Ahmad Badawi meminta Abdullah berundur. Samy Vellu dan Ong Ka Ting, serta Gerakan pula telah mengambil langkah segera menjernihkan semula keadaan. Nazri Aziz hari ini mengeluarkan kenyataan yang mengingatkan semula saya kepada Nazri Aziz yang pernah lantang memperjuangkan hak rakyat.

BN bergerak pantas cuba memulihkan keadaan sedangkan di dalam waktu yang sama, Barisan Pembangkang belum berani membuktikan mereka adalah Barisan Rakyat.

Rakyat senyap cintakan elemen romantisme dan bersikap sentimental. BN faham itu semua.

Nampaknya, tekanan sekarang semakin besar mencabar barisan pembangkang berbanding dengan tekanan yang mencabar BN. Di dalam perlumbaan ini, jika barisan pembangkang tergelincir lagi, BN pasti akan jauh ke hadapan. Apabila BN kembali jauh ke hadapan dan mula mengikuti kehendak rakyat, maka, barisan pembangkang akan mula menjadi tidak releven bagi rakyat dan hanya kekal releven kepada penyokong dan ahli-ahli mereka sahaja.

Kecenderungan saya bukan kepada Pembangkang. Kecenderungan saya adalah kepada sesiapa yang pada penilaian saya membawa kebaikan kepada Malaysia. Kalau anda boleh menerima saya menyepak Abdullah, maka, pembangkang yang mangakui diri mereka Barisan Rakyat juga harus menerima diri mereka disepak. Janganlah mengata dulang paku serpih. Mengata Abdullah, kita yang yang lebih.

Saya bersyukur, kerana sehingga kini, PAS bangkit dengan kematangan di dalam agenda pasca PRU12. Mungkin pengalaman 18 tahun di Kelantan serta pengalaman menang dan terlucut semula Terengganu menampakkan kematangan di dalam PAS. Pengalaman itu sudah tentu berharga kepada Rakyat Kedah yang kini ditadbir oleh Kerajaan Rakyat.

Tetapi kita harus juga ingat pengalaman Perikatan bangkit dari kekecewaan 1969 dan menjenamakan semula diri mereka sebagai BN. Segelintir dari kepimpinan waktu itu, masih ada di dalam UMNO. Mereka juga mempunyai pengalaman yang berharga.

Apa yang amat penting bagi rakyat Malaysia, ialah pengalaman yang ada pada UMNO dan yang ada pada PAS itu digunakan oleh kedua-dua parti ini untuk membawa kejayaan kepada Malaysia. Tiada yang lebih penting dari melihat Malaysia berjaya.

Malaysia berjaya bukan untuk Najib, Husam, Lim Guan Eng atau Anwar. Malaysia berjaya adalah untuk kita.