PAS Bukan PARIA!

Pinggan tak letak, nasi tak dingin. Kit Siang tak hendak, rakyat tak ingin!. 

Usaha memPARIAkan PAS adalah usaha memPARIAkan rakyat. Jika Lim Kit Siang gagal mengawal emosinya jangan ingat rakyat pun tidak akan gagal mengawal emosi mereka.

Rakyat Malaysia sudah buktikan bahawa mereka menyanjung usaha meMalaysiakan politik Malaysia tetapi, Lim Kit Siang anak beranak jelas gagal memperjuangkan semangat Malaysia. Jelas, Lim Kit Siang masih melihat Barisan Rakyat masih Cina, Melayu, Cina, India, Cina, lain-lain, Cina, Islam.

Usaha mencemari bumi Maharajalela dan mengkhianati perjuangan Pasir Salak jelas sekali mencabar rakyat Malaysia. 

Di dalam pemilihan Menteri Besar dibumi tumpahnya darah J.W.W Birch, Sultan Perak berhak membuat pilihan dengan memilih yang Baginda fikirkan terbaik. Dalam hal ini, Tuanku telah memilih seorang Jurutera bertauliah berbanding dengan seorang Bekas Posmen. Baginda tentu mahukan yang terbaik untuk negeri baginda dan rakyat di bawah naungannya. Apakah pembatalan upacara angkat sumpah ini sebagai petanda baginda sudah murka di atas ketiadaan muafakat dikalangan tiga parti yang berlagak mahu bersatu menubuhkan kerajaan.

Di dalam hal ini, jelas sekali, apapun terjadi, nampaknya kemenangan 8 Mac 2008 kepada rakyat kini tidak lain sekadar menang sorak, kampung tergadai. Terima kasih kepada Lim Kit Siang anak beranak.

PAS harus berundur dari terlibat menubuhkan kerajaan di negeri Perak. PAS telah banyak berkorban. PAS telah terlalu banyak berkorban. PAS telah mengambil langkah-langkah yang membawa risiko yang amat tinggi dengan melakukan pelbagai pengorbanan ini. Pengorbanan ini akan menghantui PAS di masa depan. Jika Lim Kit Siang anak beranak tidak mau berkorban, maka usahlah PAS memPARIAkan dirinya lagi.

PAS telah buktikan bahawa PAS adalah parti untuk semua. PAS for ALL. PAS tidak perlu membuktikan apa-apa lagi. PAS harus fokus kepada pentadbiran Kelantan dan Kedah dan biarkan rakyat tidak menyesal mengundi PAS seterusnya berbangga pula dengan pilihan mereka. Kedah sudah di atas landasan yang betul. Kedah tidak mengambil model pemerintahan PAS di Kelantan. Ini bukti bahawa PAS sebuah Parti Politik Moden yang bukan ortodoks.

Tetapi dalam usaha menjadi sebuah Parti Politik Moden, janganlah PAS di PARIAkan!

Pengorbanan PAS dengan membenarkan ADUN nya di angkat sebagai Menteri Besar Perak demi penyatuan Barisan Rakyat, nampaknya memalit seribu dusta kepada PAS. Penglibatan PAS dalam kemelut di negeri Perak bukan lagi positif. PAS dengan DAP tidak ada pemuafakatan dan DAP jelas menolak PAS. Mengapa PAS harus korbankan segala-galanya untuk DAP yang tidak sanggup berkorban untuk PAS walau sedetik pun.

PAS seharusnya mengambil langkah neutral. PAS tidak perlu menyelamatkan DAP jika Kit Siang anak beranak tidak mahu. PAS tidak perlu gadaikan maruah ADUN nya dengan merelakan dia menjadi ketua tanpa pengaruh dalam Barisan Exconya.

Tanggungjawab PAS sekarang ialah membuat rakyat di Kedah yang berketurunan Cina, India dan Siam bangga menggelarkan diri mereka rakyat Malaysia. Bangga tanpa penindasan dan bangga dengan kebebasan mengamalkan adab budaya dan ajaran agama mereka. Bangga kerana pemerintah melindungi mereka seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia dan perlembagaan Negeri.

Sementara itu, Lim Guan Eng perlu bangkit dan sedar, bukan semua yang mengundi DAP di Penang bersetuju dengan ideologi DAP. Sebaliknya mereka mengundi untuk tidak memilih BN, bukan mengundi untuk memilih DAP. Jadi, waspadalah. Waspadalah.

Kepada Lim Kit Siang dan anaknya, ingatlah, Rakyat Tidak Perlu Takut Kepada Pemerintah, Tetapi Pemerintah Perlu Takut Kepada Rakyat. BN sudah mempelajarinya. Akan tiba masanya Kamu pula akan diajar.

Rakyat Tidak Perlu Taat Kepada Pemerintah, Pemerintah Hanya Hamba Kepada Rakyat!

Rakyat hanya perlu taat kepada Penciptanya. Tentu sekali Pencipta itu bukanlah Lim Kit Siang!