Semalam blog ini mendedahkan pertemuan di Sutera Inn antara ADUN PAS Perupok, YB Dato’ Haji Omar Bin Mohammed dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed. Hari ini blog ini akan dapat memberi serba sedikit topik perbincangan antara Veteran PAS dan Menteri UMNO itu.

Di dalam pertemuan tersebut, dilaporkan bahawa Haji Omar meminta jasa baik Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan supaya membantu membangunkan kemudahan infrastruktur di dalam DUN Perupok dan jajahan Bachok yang diwakili tokoh PAS tersebut. Di antaranya ialah agar kemudahan jalan kampung dan prasarana lain dapat diadakan.

Syabas kepada Haji Omar kerana sedar bahawa didalam soal-soal pembangunan, bahkan di dalam soal-soal kemudahan asas sekalipun ianya hanya akan diperolehi menerusi usaha wakil-wakil Barisan Nasional di dalam Kerajaan Pusat.

Saya yakin sebelum ini Haji Omar sudah tentu berkali-kali menemui Exco Kerajaan PAS Kelantan untuk Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar. Lantaran sudah tentu Exco PAS itu sendiri tidak berupaya melayan permintaan Haji Omar walaupun setiap tahun Kerajaan Barisan Nasional di Peringkat Persekutuan memberi terus kepada potfolia Exco itu Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri.

Di antara 2006 hingga 2010 Kerajaan Barisan Nasional di peringkat persekutuan telah memberikan terus kepada Kerajaan Kelantan sejumlah RM327 juta untuk mengurus, menaiktaraf dan menyelenggara jalan-jalan negeri.

Begitu juga dengan Majlis Daerah Bachok yang sepertimana Majlis-Majlis Daerah lain yang menerima geran persekutuan dalam bentuk,

  • Geran Tahunan Berasaskan Kaedah Keseimbangan (PBT)
  • Bantuan Bayaran Bil Lampu Jalan & Lampu Isyarat PBT

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kelantan menerima sejumlah lebih RM100 juta sepanjang lima tahun yang lalu daripada Kerajaan Barisan Nasional di peringkat persekutuan.

Disebalik peruntukan-peruntukan yang besar yang disalur terus oleh Kerajaan Barisan Nasional kepada Kerajaan PAS Kelantan, nampaknya veteran PAS Dato’ Haji Omar masih terpaksa menjatuhkan air mukanya dan bertemu dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan untuk membangunkan DUN dan jajahannya.

Maka sudah tentulah Haji Omar sendiri tidak percaya Mustapa Mohamed menyekat Kerajaan Pusat daripada membangunkan Kelantan. Kalau benar Mustapa Mohamed begitu, sudah tentu dia tidak akan meminta jasa baik Menteri MITI itu.

Saya suka melihat lebih ramai ADUN PAS Kelantan bertemu dengan Mustapa Mohamed. Atau mungkin Mustapa Mohamed boleh melapangkan masa untuk mengadakan sessi dialog dengan ADUN-ADUN PAS Kelantan untuk mendengar tuntutan pembangunan yang mereka inginkan untuk DUN-DUN mereka.