Update 14 Februari 2011, jam 8.10 am :

“Kita sudah dengar berita ini (sebelum ini) tetapi sekarang sudah keluar dalam surat khabar dan media online. Maka rakyat nak tahu ada atau tidak pelacuran dan perjudian, kita nak kerajaan negeri bertindak dengan segera.

“Kerajaan Pas Kelantan jangan dabik dada kata kita bersih segala-galanya. Kata ini negeri Serambi Mekah, walhal benda macam ini pun ada di Kelantan.

“Cakap tak serupa bikin. Cakap seolah-olah bersih belaka tetapi ada kemungkaran dan maksiat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Gelombang Merah peringkat Parlimen Kubang Kerian di sini, hari ini.

Beliau mengulas penjualan loteri big sweep dan empat nombor ekor secara berleluasa di negeri ini biarpun Kerajaan Pas Kelantan mengharamkan sebarang aktiviti berkaitan judi sejak parti itu memerintah negeri ini.

Pada masa sama, laman blog Kickdefella mendedahkan aktiviti pelacuran di Kampung Limau Manis, kira-kira 500 meter dari kompleks pentadbiran kerajaan, Kota Darulnaim.

Kickdefella mendakwa, adalah mustahil sekiranya Kerajaan Pas Kelantan tidak mengetahui aktiviti itu kerana lokasinya yang begitu hampir dengan kompleks pentadbiran yang turut menempatkan pejabat Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan barisan Exconya.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, sewajarnya Kerajaan Pas Kelantan memberi maklum balas secepat mungkin sebaik sahaja berita tersebut disiarkan kerana rakyat mahu mengetahui kebenarannya. Kerajaan PAS  Kelantan Tidak Bersih – Utusan Malaysia 14 Feb 2011

Update 13 Februari 2011, jam 3.30 ptg : MPKB Bandar Raya Islam di jangka akan keluarkan kenyataan rasmi hari ini kepada media berhubung isu pelacuran di Kelantan. MPKB dikatakan akan menunding kesalahan kepada Polis DiRaja Malaysia dan mengakui kes pelacuran berlaku di Kelantan dan fail mereka membuktikan ada tindakan sebelum mereka senyap sunyi seperti kebelakangan ini walaupun tahu aktiviti pelacuran masih berjalan. Sementara itu MPKB belum akan respons tentang perjudian di Kelantan. Saya menanti respons MPKB Bandar Raya Islam sebelum memajukan posting seterusnya.

Ejen Johnson meninggalkan sebuah kedai di Kota Bharu setelah membeli 3 keping tiket judi loteri.

“Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) sedang membuat persiapan bagi menganjurkan “Konvoi 10 ribu Rakyat, Didik dan Dakwah Tak Nak Judi” ke puncak Genting Highlands.

Menurut ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi, program tersebut dijadual pertengahan Syawal depan selepas umat Islam selesai menjalani ibadah puasa Ramadhan.

“Kita mahu capai objektif utama iaitu mahu menyemarakkan Kempen Tak Nak Judi dan mahu mengimarahkan puncak Genting dengan solat hajat dan kalimah Allah setelah sekian lama gersang,” katanya ketika dihubungi.

Antara lain, pada program julung kali diadakan itu juga akan mengedarkan risalah dakwah bagi menyedarkan orang ramai berkenaan bahana judi dan kesannya kepada masyarakat.

Walaubagaimanapun, program tersebut hanya akan diteruskan sekiranya mendapat sokongan dari rakyat dengan berjaya mengumpul 10 ribu penyertaan.

Sehubungan itu, DPPP katanya akan membuka pendaftaran kepada rakyat yang prihatin yang mahu menolak judi.

“Tak cukup 10 ribu, kami tak akan buat sebab kita takut tidak berkesan,” katanya.” HarakahDaily 5 Julai 2010.

Itu adalah berita lapuk sewaktu demam Piala Dunia 2010 yang lalu. Hari ini kita sudah segar dan tidur pun sudah mencukupi, baik kita baca berita hari ini seperti di bawah,

“Biar pun judi diharamkan di Kelantan sejajar konsep ‘Membangun Bersama Islam’ yang diamalkan oleh Kerajaan Pas negeri itu namun ia tetap berleluasa dan dijual secara terbuka terutama membabitkan loteri ‘Big Sweep’.

Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) seolah-olah menutup sebelah mata kerana tiket loteri tersebut boleh dibeli dengan mudah di beberapa kedai buku dan alat tulis di sekitar bandar ini.

Begitu juga dengan empat nombor ekor, kaki judi boleh membelinya dengan mudah di kedai-kedai kopi dan ia sudah menjadi rahsia umum sejak 20 tahun lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di sebuah kedai buku di sini baru-baru ini mendapati pemiliknya yang hanya dikenali sebagai Gan tidak banyak bersoal-jawab ketika ditanya mengenai tiket loteri tersebut.

Gan berkata, dia telah menjual tiket loteri tersebut sejak puluhan tahun lalu dan tidak pernah dikenakan sebarang tindakan oleh pihak berkuasa walaupun mengetahui ia melanggar peraturan.

“Jangan bimbang, tidak kena tangkap di sini, saya sudah lama jual loteri. MPKB-BRI tidak pernah datang sini buat pemeriksaan, nama saja undang-undang tapi tidak ada apa-apa.

“Ramai orang datang beli sini, Melayu pun ada, tidak jadi masalah kalau nak beli tiket loteri di sini,” katanya kepada wartawan yang berlagak seolah-olah mahu membeli loteri berkenaan. Sementara itu, tinjauan di sebuah kedai kopi mendapati kaki judi hanya menulis nombor di atas secebis kertas dan diberikan kepada peniaga atau pelayan bersama wang untuk membeli tiket judi empat nombor ekor.

Bagaimanapun, transaksi judi empat nombor ekor di kedai kopi itu agak sukar dikesan kerana ia hanya ditulis di atas cebisan kertas dan berasaskan prinsip saling mempercayai antara kaki judi dan pengendalinya.” Utusan Malaysia 11 Februari 2011.

Pada 3 Julai 2010 Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Takiyuddin Hassan telah menjelaskan berhubung penjualan judi di Kelantan setelah saya mendakwa tiket judi loteri terus di jual di Kota Bharu.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri tidak pernah meluluskan lesen judi walaupun untuk bukan Islam sebagai mana lesen arak,” ujarnya. Lesen judi dan arak adalah perkara yang berbeza. Katanya, lesen arak mengikut majlis daerah masing-masing di seluruh jajahan di negeri ini yang hanya diluluskan di restoran bukan Islam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dakwaan kerajaan negeri meluluskan lesen arak dan judi. Kerajaan negeri hanya memberi kelonggaran kepada golongan terbabit untuk tujuan itu, bagaimanapun hanya di restoran terpilih sahaja.

Tambahnya, namun kerajaan negeri tidak pernah meluluskan sebarang bentuk lesen judi sejak hampir 20 tahun PAS mentadbir negeri ini. Bagaimanapun, sekiranya kegiatan itu masih berlaku di negeri ini, ianya beroperasi secara haram.

“Kalau didapati ada yang terlibat dengan kegiatan ini, orang ramai boleh membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI). Pihak MPKB-BRI secara bersepadu dengan beberapa jabatan lain lagi akan mengambil tindakan ke atas mereka yang menjalankan kegiatan terbabit,” ujarnya.

Saya percaya seratus peratus kenyataan Takiyuddin kerana saya tiada bukti beliau pernah berbohong di atas kapasitinya sebagai Exco, bukan seperti Husam Musa dan Nik Aziz.

Tetapi saya percaya, ada pihak di MPKB Bandar raya Islam telah tutup sebelah mata di dalam isu ini. Dalam hal judi, saya yakin Dato’ Takiyuddin boleh selesaikan hal ini dengan segera.

Kerajaan Negeri menerusi PBT mesti ada kuasa menarik balik semua lesen premis perniagaan yang melanggar syaratnya. Judi haram di Kelantan. Jadi MPKB Bandar Raya Islam, sila buka kedua-dua belah mata.

Nik Abduh sudah bukan Ahli Majlis MPKB. Tidak perlu hipokrasi itu.

Pada 28 Mei 2010, saya menulis di blog ini,

Bahkan di Kelantan walaupun judi nombor ekor tidak dibenarkan, tetapi judi didalam bentuk loteri Big Sweeps di benarkan. Kedai-kedai yang menjadi ejen Big Sweeps terus dibenarkan menjual tiket-tiket loteri di premis mereka di bawah dasar Membangun Bersama Islam.

Jadi kenapakah parti PAS dan parti-parti politik pembangkang ikut bersama segelintir anggota parti komponen BN menentang pemberian lesen Judi Pertaruhan Bolasepak?

Apakah kerana pemberian lesen itu akan menggugat pendapat beberapa orang penting di dalam ‘Dunia Gelap’.

Apakah penjualan Big Sweeps di Kelantan dipelopori oleh dewa dunia gelap juga?