Hari ini Utusan Malaysia telah melaporkan,

KOTA BHARU, 22 Jan. – Penduduk di lima buah kampung di sini, hari ini mengadakan perhimpunan secara aman mendesak Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelesaikan masalah kerosakan jalan di kawasan itu.

Demonstrasi secara aman yang disertai 50 orang wakil penduduk kampung itu berlangsung kira-kira 20 minit di Kampung Pantai Sabak iaitu kawasan yang terletak dalam DUN berkenaan.

Dakwa penduduk, mereka kini tiada daya kerana masalah kerosakan jalan telah berlanjutan hampir tujuh tahun dengan pelbagai aduan telah dipanjangkan kepada pihak terbabit namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian.

“Setiap kali aduan dibuat kepada kerajaan negeri, mereka akan datang dan tabur pelbagai janji kemudian terus senyap… apa lagi yang boleh kami buat kerana kami hanya penduduk kampung yang mengharapkan kebajikan kami dibela,” kata Syukri Mokhtar, 50, seorang penduduk Kampung Pantai Sabak. – Bernama

Saya masih ingat duduk di bangku usang gerai laksam di Pasar Pengkalan Chepa bersama YB Dato’ Haji Husam dan beberapa orang pegawainya pada suatu hari di tahun  2007. Kami singgah di situ terus dari Dewan Undangan Negeri Kelantan dan berhenti makan laksam sementara menunggu masa untuk menyambut keberangkatan pulang Tuanku Ismail Petra dari ke Kelantan.

Bukan bangku itu sahaja yang usang. Keseluruhan pasar itu termasuklah jalan disekeliling pasar tersebut di dalam keadaan yang amat memalukan.

“Ni bawah DUN MB. Nik Abduh Ahli Majlis MPKB, tapi tengok pasar ni?” keluh Husam kesal. Dua puluh tahun Nik Aziz menjadi Menteri Besar, anaknya pula bertahun-tahun jadi ahli Majlis MPKB dan bukan itu sahaja, Mohd Amar Nik Abdullah, Yang DiPertua PAS Pengkalan Chepa adalah Exco Kerajaan Negeri Kelantan untuk dua penggal dan ahli Parlimen PAS adalah bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan sejak 1990 hingga 2004, tetapi adakah mereka peduli dengan keadaan peniaga pasar Pengkalan Chepa? Adakah mereka peduli dengan kebersihan sekitarnya?

Jawabnya tidak. Tiada unsur-unsur Islam langsung pada pasar tersebut melainkan sebuah surau yang dibina selepas PAS mengambil alih kuasa pada tahun 1990. Itu sahaja pembangunannya. Malangnya Islam bukan setakat sembahyang tunggang terbalik. Islam juga mengutamakan perhubungan sesama manusia, soal amanah dan soal kebersihan.

Dulu, semasa ibu saya dan saya tinggal di Pondok Tok Ayah Kedah dan saya menjadi dreber Arwah Nik Abdullah, ayah Mohd Amar, saya pernah mengadu soal ketiadaan bekalan air, jawapan arwah senang,

“Di Mekah pun takdok air!”

Kalau hari ini kita bertanya kepada Mohd Amar, saya berasa amat yakin beliau pula akan menjawab,

“M-Mekah pun cemar jugok”.

“Patut kalau tidak MB pun, Nik Abduh tolonglah buat sesuatu kat pasar ini. Jagalah imej Tok Guru…” antara kata-kata penyesalan yang terhambur di mulut Husam.

Pembangunan yang boleh dibanggakan di sekitar Parlimen Pengkalan Chepa hanyalah Ibu Pejabat PAS Pengkalan Chepa yang selepas siap di raikan dengan penuh meriah pada tahun akhir 2007 hasil kegigihan Mohd Amar mengutip derma.

Mungkin Mustapa Mohamed dan Timbalannya Dato’ Awang Adek boleh singgah sebentar ke Pasar Pengkalan Chepa bila-bila mereka hendak pergi atau tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail di Pengkalan Chepa. Laksam di situ memang sedap, laksamnya lembut dan kuahnya lemak manis. Tapi persekitarannya seperti ditengah kawasan pembuangan sampah.

Kawasan perumahan di sekitar lingkungan se kilometer dari pasar itu menempatkan antara rumah-rumah yang tercantik dan termahal di Negeri Kelantan.

Maka tidak hairanlah kalau nasib penduduk kampung Pantai Sabak di dalam DUN Chempaka tidak terbela. Tambahan pula kawasan Pantai Sabak itu sudah jadi tempat pelupusan sampah MPKB-BRI.

Pengkalan Chepa adalah kubur kuat PAS. Barisan Nasional hanya bermimpi di siang hari untuk merampas Parlimen Pengkalan Chepa dan DUN dibawahnya. Tetapi ini tidak bererti BN juga harus mengabaikan Pengkalan Chepa dan rakyat Kelantan yang tinggal di situ.

Jika BN prihatin dengan dengan kawasan-kawasan yang memang kubu kuat PAS, itulah bukti sebenar BN lebih ‘cakno’ dari PAS.

Mungkin Mustapa boleh ajak saya sama pekena Laksam di situ. Kalau Mustapa ada sama, tentu kapak tidak akan melayang ke arah kami. Lagipun, saya dah lama rindu laksam itu.

(Bacaan lanjut ulasan mengenai insiden yang dilaporkan Utusan, sila ke sini)