Anwar memegang dokumen yang dikatakan perjanjian APCO dengan Kerajaan Malaysia

YB. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat malam tadi diberi kesempatan untuk memberi ceramah politik di dalam kawasan Felda Tenang sempena kempen Pilihanraya Kecil DUN Tenang.

Anwar berucap selama hampir 40 minit di hadapan 500 orang penyokong dan pemerhati.

Antara isu yang dibawa oleh Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat ialah bagaimana UMNO telah memberi Bukit Tinggi dan Genting Highlands kepada orang Cina.

UMNO juga menurut Anwar telah memberi sebanyak RM19 billion kepada Vincent Tan, Francis Yeoh, Ananda Krishnan dan Syed Mokthar Al Bukhary bagi projek Pembekal Sumber Tenaga Bebas yang bagi Anwar adalah satu pembaziran.

Anwar turut berjanji sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih Kerajaan Pusat dan beliau menjadi Perdana Menteri harga minyak akan diturunkan dalam tempoh 24 jam. Selain itu beliau juga akan memastikan harga tol juga tidak akan naik.

Anwar berkata beliau mampu dan berkelayakan melakukan semua itu bersandarkan pengalamannya selama 8 tahun sebagai Menteri Kewangan Malaysia ketika di dalam UMNO. Sepanjang tempoh tersebut, menurut beliau di atas kebijaksanaannya, rakyat Malaysia tidak pernah berdepan dengan kenaikan harga minyak dan harga tol walaupun sekali. Sebaliknya, menurut Anwar selepas sebulan beliau dipecat, Kerajaan Malaysia telah terus menaikkan harga tol.

Anwar juga memberitahu semua yang hadir beliau bersedia untuk berdebat dengan Najib bukan sahaja dalam soal ekonomi tetapi di dalam isu peribadi.

“Kalau saya demam tak apa, saya makan panadol dan pergi berdebat juga,” kata Anwar merujuk kepada muka hadapan akhbar Utusan Malaysia pada 19 Januari 2011. Berita utama Utusan yang bertajuk “Jangan Cabar Saya” memetik antara lain Najib berpesan supaya tidak mencabarnya berdebat kerana dia boleh melondehkan orang yang mencabarnya itu dan ini akan membuat orang itu demam.

Anwar menegaskan agenda utama debat itu ialah soal ekonomi dan selepas berdebat soal ekonomi, mereka berdua boleh berdebat soal peribadi dan beliau bersedia untuk bertanya beberapa soalan peribadi kepada Perdana Menteri Malaysia apabila membiacarakan soal peribadi.

Di dalam ceramah itu juga Anwar yang turun untuk berkempen bagi Calon PAS dalam PRK DUN Tenang menunjukkan sebuah dokumen yang menurutnya adalah perjanjian APCO dengan Kerajaan Malaysia. Perjanjian itu menurut Anwar ditandatangani oleh Perdana Menteri dan disaksikan oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.

Namun Anwar tidak pula memaklumkan kepada yang hadir isi kandungan dan skop tugas APCO seperti yang termaktub di dalam dokumen tersebut.

Bagaimanapun Anwar mengaitkan APCO dengan pemilikan Israel dan mengaitkan slogan Satu Malaysia dengan APCO dan Ehud Barak, Perdana Menteri Israel.