Pilihanraya Kecil kerusi Kelantan DUN N45 Galas menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon Barisan Nasional dan calon PAS. Pengumuman dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya yang secara rasminya juga menandakan tempoh berkempen telah bermula.

Calon Barisan Nasional Abdul Aziz Yusoff akan ditentang oleh calon PAS Dr. Zulkefli Mohamad setelah bantahan yang dibuat oleh pihak PAS terhadap calon BN ditolak.

Bagaimanapun, sehingga lewat malam tadi ketidakpastian tentang kesahihan Dr. Zulkefli kekal sebagai calon PAS wujud akibat penentangan oleh segelintir pihak dalam PAS. Penentangan itu dikatakan berpunca daripada Dewan Pemuda PAS Gua Musang yang mahukan Ketua Dewan Pemuda mereka, Abdullah Hussain dipilih sebagai calon.

Ketidakpastian itu berterusan walaupun Abdullah dikatakan telah memberitahu penyokong-penyokongnya supaya menerima keputusan pucuk pimpinan parti. Abdullah juga telah bersetuju menjadi pencadang kepada pencalonan Dr. Zulkefli.

Bagaimanapun, beberapa pihak dimaklumkan oleh pimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia lewat malam tadi bahawa mereka masih mengharapkan perubahan dibuat dan Abdullah dinamakan sebagai calon.

Tidak dapat dipastikan apakah punca sebenar penolakan Dr. Zulkefli tetapi pihak luar dari PAS Kelantan membuat spekulasi berkisar kepada sentimen bahawa Dr. Zulkefli adalah calon yang sentiasa kalah di Gua Musang dan bukan anak tempatan Galas. Dr. Zulkefli selepas diumumkan sebagai calon PAS telah menolak dakwaan sebuah blog UMNO bahawa beliau pernah ditangkap basah.

Pihak media juga kebingungan dengan status perkahwinan Dr. Zulkefli kerana menurut mereka yang hadir sewaktu pengumuman nama calon PAS minggu lepas, Dr. Zulkefli dikatakan sebagai seorang bujang. Tetapi di dalam sidang media menafikan beliau pernah ditangkap basah, Dr. Zulkefli dikatakan menyebut nama seorang perempuan sebagai isterinya.

Sementara itu, sehingga pengumuman yang dibuat oleh SPR tadi masih terdapat ketidakpastian berhubung kesahihan PAS akan meletakan calon kerana terdapat desas-desus bahawa satu perjanjian yang ditandatangani oleh Pesuruhjaya PAS Kelantan dan bersaksikan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan dengan pihak BN yang antara lain menyatakan persetujuan PAS untuk tidak meletakkan calon sekiranya BN menerima beberapa syarat yang ditetapkan. (Sini)

Bagaimanapun, dengan pengumuman SPR tadi, kedua-dua pihak yang bertanding sudah boleh menggerakkan sepenuhnya jentera kempen mereka dan pemilih berdaftar di DUN Galas akan membuang undi pada 4 November 2010.