Calon BN, tengah di apit oleh Ku Li dan Chor Chee Heung, Naib Presiden MCA

Saudara Abdul Aziz Bin Yusoff, 47 tahun dipilih bagi membawa panji harapan Barisan Nasional bagi Pilihanraya Kecil DUN N45 Galas. Beliau juga yang merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang menjadi pilihan BN setelah dipersetujui oleh Perdana Menteri yang merupakan Pengerusi BN dan Presiden UMNO.

Pengumuman dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bilik Gerakan BN di Bukit Cekati Gua Musang lebih kurang jam 3.30 petang tadi.

Saudara Abdul Aziz Bin Yusoff dikatakan sebagai orang kepercayaan Tengku Razaleigh Hamzah, Pengarah Jentera Pilihanraya BN dan juga Ketua Bahagian UMNO Gua Musang.

Sebelum itu Tengku Razaleigh di dalam ucapannya berharap, pemilih di Galas akan memberi kejayaan besar kepada BN. Perubahan di Galas menurut Ku Li, akan membawa kepada perubahan di Kelantan dan perubahan di Kelantan dapat membantu perubahan di Malaysia.

Sementara itu di dalam sidang media sejurus selepas majlis pengumuman calon selesai, Tan Sri Muhyiddin di tanya berhubung dengan latar belakang pendidikan calon BN tersebut yang merupakan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia sahaja.

Tan Sri Muhyiddin bagaimanapun cuba untuk tidak menjadikan latar belakang Aziz sebagai isu walaupun diingatkan oleh pihak media bahawa semasa pilihanraya di Manek Urai, ketika PAS meletakkan seorang peraih ikan sebagai calonnya, beberapa pihak di dalam BN telah menjadikan ia isu besar. Kali ini PAS bagaimanapun mengumumkan seorang pakar perubatan lulusan Universiti Malaya sebagai calonnya.

Isu taraf pendidikan Aziz sudah pasti akan dieksploitasi oleh PAS yang pada saat-saat akhir menjangkakan BN akan meletakan calon anak tempatan yang merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Gua Musang.

Penamaan Calon akan berlangsung pada 26 Oktober 2010 dan sekiranya terdapat pertandingan, hari pengundian akan diadakan pada 4 November 2010.

Kedua-dua calon, dari BN dan PAS merupakan orang luar dari DUN Galas.

Pimpinan UMNO mendoakan keberkatan

Pelajar-Pelajar Sekolah yang dikerah pihak tidak bertanggungjawab ke kancah politik

Sementara itu adalah diharapkan Barisan Nasional lebih berhati-hati di dalam menggunakan pelajar-pelajar sekolah untuk aktivitinya. Sewaktu di dalam perjalanan ke Bukit Cekati tengahari tadi, saya telah terlihat sekumpulan pelajar-pelajar sekolah bermotosikal menukar pakaian sekolah di tepi jalan. Mereka kemudiannya memakai pakaian bertulis “Ambo Nok Parti Ku Li” dan menunggang motorsikal beramai-ramai ke Bilik Gerakan Barisan Nasional.

Tindakan menggunakan pelajar-pelajar sekolah yang dicurigai kesemuanya memiliki lesen memandu motorsikal yang sah mungkin di dalangi oleh Pemuda UMNO. Ini merupakan sesuatu yang tidak cermat untuk melibatkan pelajar sekolah dengan parti politik apatah lagi ketika Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan merupakan tetamu terhormat di majlis tersebut.

Ia juga sudah pasti bukan transformasi yang ingin dibawa Ku Li di dalam PRK ini selaku Pegarah Jentera Pilihanraya dan sudah tentu sekali tidak juga dikongsi oleh Presiden UMNO.

Jelas, masih terdapat pihak-pihak di dalam barisan muda UMNO yang tidak mendapat manfaat dan keinsafan daripada ucapan penggulungan Presiden UMNO semalam.

Adalah diharapkan perkara ini tidak akan berulang lagi pada hari penamaan calon nanti.