Di dalam keadaan sekarang, perlukah kita bertanya apakah sumbangan kerajaan pimpinan Dato’ Seri Najib Razak kepada kita orang-orang Melayu?

Sedarkah kita orang-orang Melayu bahawa Kerajaan Persekutuan pimpinan Najib Razak akan tumbang sebelum akhir tahun? Tahukah sekiranya Najib Razak gagal mendapat restu Yang Di Pertuan Agung untuk membubarkan parlimen pada waktu itu, teraju pentadbiran Kerajaan Malaysia akan di ambil alih oleh gabungan yang terdiri daripada,

  • 29 orang Ahli Dewan Rakyat DAP
  • 24 orang ADR PKR
  • 23 orang ADR PAS
  • 15 orang ADR MCA
  • 6 orang ADR PRS
  • 5 orang ADR SUPP
  • 4 orang ADR UPKO
  • 4 orang ADR MIC
  • 4 orang ADR SPDP
  • 3 orang ADR PBS
  • 2 orang ADR GERAKAN
  • 1 orang ADR PBRS
  • 1 orang ADR LDP
  • 1 orang ADR PSM
  • 2 orang ADR BEBAS

Sebuah Kerajaan yang ditubuhkan atas sifat gabungan sementara ini akan terdiri daripada 124 orang Ahli Parlimen yang terdiri daripada komposisi 40% bukan Melayu dan hanya 19% Melayu.

Bagaimanapun di atas dasar menghormati dan menjaga sensitiviti orang-orang Melayu, maka parti-parti bukan Melayu di dalam gabungan sementara ini bersetuju untuk mengusulkan nama Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Haji Hadi Awang kepada Yang Di Pertuan Agung untuk diperkenankan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 7.

Barisan Pembangkang akan datang pula terdiri daripada 98 orang ADR yang komposisinya datang dari,

  • 78 orang ADR UMNO
  • 14 orang ADR PBB
  • 5 orang ADR KONSENSUS BEBAS
  • 1 orang ADR BEBAS

Daripada jumlah ini hampir 40% ADR dari keturunan Melayu dan Bumiputera Islam akan menjadi Pembangkang. Apa yang menyedihkan ialah 66% daripadanya datang dari bumi yang satu ketika dahulu di panggil sebagai Tanah Melayu.

Adakah senario di atas sesuatu yang karut? Adakah ia tidak mungkin berlaku?

Fikir baik-baik sebelum menepis ketepi senario itu.

Bagaimana Ia Boleh Terjadi dan Akan Terjadi

Presiden MCA, MIC, GERAKAN dan UPKO dari Sabah telah bersuara. Suara mereka mewakili 24 kerusi Dewan Rakyat milik Barisan Nasional. Mereka bersuara menuntut supaya peruntukan lebih besar di berikan kepada kaum keturunan mereka. Mereka bersuara menuntut secara terbuka apa-apa yang selama ini hanya mereka lakukan di meja rundingan Barisan Nasional.

Mereka membuat tuntutan sekarang.

Mengapa?

Mengapa sekarang.

Ini kerana Kerajaan pimpinan Najib Razak akan terpaksa membentangkan Belajawan 2011 di Dewan Rakyat dalam tempoh dua bulan yang akan datang.

Tuntutan ini adalah satu ugutan. Seperti meletak pisau ke leher YAB Perdana Menteri Malaysia yang sedar jika tuntutan ini tidak dipertimbangkan sebaik-baiknya, Belanjawan 2011 tidak akan dapat diluluskan di Dewan Rakyat.

Belanjawan 2011 tidak akan dapat diluluskan kerana tindakan Ahli-Ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional dari keturunan Bumiputera Bukan Islam dan keturunan Bukan Melayu akan memilih untuk ‘memboikot’ pengundian rang-rang undang-undang tersebut di Dewan Rakyat. Alasan mereka ialah kerana tuntutan mereka tidak diterima. Bagi tidak kehilangan kerusi mereka di dalam PRU akan datang, mereka berpendirian bahawa mereka hendaklah dilihat sebagai jaguh perang.

Ingatkah kita betapa runcingnya saat Belanjawan 2010 hendak diluluskan tahun lepas.

Dan kali ini, jika tuntutan-tuntutan berbau ugutan itu tidak ditunaikan oleh Kerajaan, mimpi ngeri malam 2009 yang lalu kali ini bukan lagi mimpi tetapi satu realiti.

Apabila ini terjadi, YAB Perdana Menteri dan Kabinetnya hendaklah secara terhormat memilih untuk mengosongkan kedudukan mereka. Sebelum itu, YAB Perdana Menteri mempunyai peluang terakhir untuk menasihatkan YDP Agung untuk membubarkan Parlimen Malaysia ke 12 dan memanggil satu Pilihanraya Umum.

Bagaimanapun, YDP Agung berkemungkinan pada waktu itu terpaksa mempertimbangkan satu pilihan lain iaitu untuk melantik Perdana Menteri yang baru yang mendapat sokongan daripada majoriti dari Dewan Rakyat.

Dua nama yang akan dicadangkan adalah seperti yang saya sebutkan di atas dan mereka mendapat sokongan hampir 100% ADR yang terdiri daripada Bumiputera Bukan Islam dan kaum-kaum lain. Sedangkan kedua-dua nama ini hanya mewakili 19% ADR yang terdiri daripada orang-orang beragama Islam dan berketurunan Melayu.

Inilah kemuncak perpecahan Melayu yang akhirnya akan membawa kepada tamatnya riwayat Barisan Nasional dan munculnya order baru politik Malaysia yang ditentukan oleh orang-orang Bukan Melayu.

Bersediakah Kita

Terdapat anak-anak Melayu yang saya tidak dapat pastikan peratusan jumlahnya yang berfikir bahawa sudah tiba masanya untuk ditamatkan politik berteraskan ras di Malaysia. Lantaran mereka tidak risau soal kekuatan perwakilan Melayu di dalam kerajaan yang hendak ditubuhkan.

Tetapi apakah mereka benar-benar yakin bahawa kaum-kaum lain telah menolak politik berteraskan ras? Atau ia hanya satu perangkap untuk mengumpan kepada kehilangan kedaulatan orang-orang Melayu di bumi tumpah darah kita.

Komposisi Dewan Rakyat Hari Ini

Pilihanraya Umum 2008 menyaksikan rekod di mana buat pertama kalinya sejak pilihanraya 1986, peratusan ADR Melayu dan Bumiputera Islam di Parlimen meningkat ke tahap tertinggi iaitu 60%.

Pada PRU 2004, sewaktu BN dan UMNO mencatat kemenangan paling besar dalam sejarah pilihanraya di Malaysia, peratusan perwakilan Melayu dan Bumiputera Islam hanyalah 57% sahaja. Dari jumlah itu, 54% ADR Melayu dan Bumiputera Islam berada di dalam Kerajaan dan hanya sejumlah 4% sahaja berada di dalam Barisan Pembangkang.

Di dalam erti kata lain, seperti juga dengan komposisi Dewan Rakyat 1986 dan 1995, Kerajaan Persekutuan boleh meluluskan apa-apa usul di Parlimen dengan hanya bergantung kepada ADR Melayu di dalam Kerajaan yang sentiasa melebihi 50% ahli Dewan. Oleh yang demikian, kepentingan orang-orang Melayu dan Bumiputera Islam sentiasa terjamin.

Bagaimanapun, PRU 2008 menimbulkan suasana yang amat berbeza. Walaupun peratusan ADR Melayu di dalam Kerajaan pada tahun-tahun perpecahan UMNO iaitu pada tahun 1990 dan 1999 menyaksikan ADR Melayu kurang 50% berada di dalam Kerajaan, tetapi parti-parti komponen BN yang mewakili lain-lain kaum sentiasa mendapat keputusan cemerlang seterusnya mengurangkan tekanan kepada mereka untuk bersaing menjadi jaguh kaum mereka secara ektrems.

PRU 2008 menyaksikan BN hanya menguasai 63% Dewan Rakyat. Daripada jumlah itu BN hanya diwakili 41% ADR Melayu dan Bumiputera Islam serta 22% ADR Bumiputera Bukan Islam dan lain-lain kaum.

Jumlah ADR daripada Bumiputera Bukan Islam dan lain-lain kaum hampir sama di dalam dan di luar Kerajaan. Ini memberi tekanan yang amat besar kepada mereka untuk bertindak ektrems di dalam memperjuangkan tuntutan-tuntutan mereka supaya kewujudan mereka tidak terhapus di dalam PRU akan datang.

Di dalam pada itu, memandangkan Kerajaan hanya ditubuhkan dengan komposisi 41% ADR Melayu, maka Kerajaan tidak akan lagi dapat meluluskan mana-mana rang undang-undang tanpa sokongan kaum lain. Justeru itu, berakhirlah penguasaan Melayu di dalam Kerajaan Malaysia.

Kerajaan juga tidak boleh mengharap sokongan ADR Pembangkang dari keturunan Melayu yang berjumlah 19% dari keseluruhan Ahli Dewan kerana 19% ini terikat dengan Pakatan Rakyat yang turut mempunyai peratusan ADR Bukan Melayu yang hampir sama. Bahkan, disebabkan cita-cita mahu menguasai Kerajaan Persekutuan di dalam PRU akan datang, 19% ADR Keturunan Melayu dan Bumiputera Islam dalam Pembangkang ini lebih memilih pendekatan populis terhadap lain-lain kaum di dalam approach mereka.

Melayu Tiada Lagi

Akibat daripada perpecahan Melayu, kekuatan Melayu di dalam Kerajaan sudah tiada. Walaupun terdapat tekanan yang semakin lantang menuntut Kerajaan memperkasakan hak-hak keistimewaan Melayu oleh pertubuhan-pertubuhan pro Melayu tetapi sebenar-benarnya, tangan dan kaki Perdana Menteri Najib Razak telah terikat.

Setiap kali Najib Razak cuba mengambil langkah memartabatkan bangsa dan Agamanya, dan setiap kali Najib Razak cuba menangani permasalah anak-bangsa dan mendaulatkan Islam berdasarkan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan, dia sentiasa terikat kepada hakikat, kerajaannya akan tumbang bila-bila masa sahaja tanpa sokongan ADR Bukan Islam dan lain-lain Kaum.

Bersatulah Melayu

Kepada pertubuhan-pertubuhan Melayu, sekarang bukanlah masanya untuk bangkit dengan pelbagai tuntutan sebaliknya, mereka perlu mengumpul segala sumber dan tenaga ke arah mengukuhkan kepada kedudukan Melayu di dalam Kerajaan Malaysia.

Dengan hanya pengukuhan semula penguasaan Melayu di dalam Kerajaan sahajah, baru tuntutan-tuntutan kita dapat ditunaikan.

Menekan Perdana Menteri Najib Razak dengan tuntutan Pro Melayu di saat ini hanya akan mencurah petrol ke atas bara yang sedang merah membara. Kita, baik Islam, Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum hanya akan terbakar dan melecur akibatnya.