Pertemuan pertama kami berlangsung di kaki lima lanjuran rumah kedai di Segambut SPPK pada awal 2007. Sewaktu itu saya masih mengajar di Universiti Tunku Abdul Rahman, sebuah pusat pengajian tinggi milik MCA. Beliau pula bekas lepasan Kolej Tunku Abdul Rahman, ‘feeder’ kepada UTAR.

Beliau tidak datang menunggang kuda perang sambil membawa pedang panjang bersamanya, tetapi dia hadir bersama honda SUVnya yang turut memuatkan blogger tersohor Penarik Beca. Saat itu, saya hanya blogger cabut, beliau pula Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Ruang permainan saya hanya sembunyi-sembunyi di alam siber tetapi ruang permainannya ialah jalan-jalan terbuka di sekitar kota yang selalu menjadi mangsa kepada bala tentera Saladin berdemonstrasi.

Ah, Salahuddin Bin Haji Ayub, versi saya kepada Saladin Al Ayubi.

Apabila ramai penyokong PAS bertanya, mengapa UMNO hanya membuka pintu perpaduan Melayu melibatkan PAS dan UMNO apabila UMNO sudah lemah dan tidak ketika UMNO masih kuat, Salahuddin boleh menyangkal tuduhan tersebut. Itu tidak benar! Saya yakin Salahuddin boleh berkata begitu.

Kerana Salahuddin sendiri sewaktu menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS telah beberapa kali merancang, merangka dan merundingkan agar UMNO dan PAS dapat bekerjasama di dalam isu-isu yang sudah tentu menanfaatkan anak-bangsa, Melayu Islam.

Salahuddin adalah antara pemimpin PAS di Malaysia pasca Mahathir yang cuba menyatukan PAS dan UMNO menerusi kerjasama dalam isu-isu bersama. Ia berlaku semenjak tahun 2006 lagi. Hasil usaha Salahuddin membawa kepada beberapa pertemuan sepanjang 2006 hinggalah 2008 dan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengikuti dengan serius perkembangan positif ini.

Di antara pertemuan-pertemuan yang diusahakan oleh Salahuddin turut melibatkan YB Mahfuz Omar, YB Dr. Hatta Ramli (kuat mempertahankan Anwar dan kritikal terhadap UMNO dalam siri pertemuan itu) dan Mohamad Bin Sabu. UMNO pula diwakili oleh Dato’ Badrudin Amiruddin, YBM Syed Razlan Ibni Syed Putra, Dr. Junaidi Wahad dan YB Dato’ Mohd Alwi  Che Ahmad. Kedua-dua pihak, UMNO dan PAS mendapat restu dari tahap pucuk pimpinan kepada pertemuan-pertemuan ini.

Siri pertemuan ini berterusan sehinggalah Pilihanraya Umum 2008.

Sebaik selepas PRU 12, pertemuan UMNO dan PAS menjadi lebih genting. Di dalam keadaan untuk menyelamatkan Kerajaan Negeri Perak supaya terus dikuasai oleh anak-bangsa kita, UMNO melalui beberapa siri rundingan telah bersetuju memberi jawatan Menteri Besar Perak kepada ADUN PAS Mohamad Nizar Jamaluddin. UMNO juga dilaporkan menawarkan kerusi Speaker Dewan Undangan Negeri Perak kepada Naib Presiden PAS ketika itu, Ahmad Awang yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perak.

Apa yang amat dikesali ialah, apabila persetujuan konsesi antara UMNO-PAS itu dibawa PAS kepada DAP sebagai bahan untuk tawar-menawar. DAP ketika itu menekankan mahu ADUN PKR, Jamaluddin Bin Mohd Radzi, bekas posmen dengan POS Malaysia sebagai Menteri Besar Perak.

Keikhlasan dan kesungguhan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria untuk menyelamatkan Perak dari diperintah oleh Kerajaan Boneka DAP akhirnya hanya menjadi bahan untuk perunding yang diamanahkan oleh pimpinan PAS mengugut DAP.

Saya dapat merasakan kegelisahan yang mungkin melanda Salahuddin Ayub ketika drama itu terus terungkai. Apa tidaknya, Salahuddin sendiri pernah beberapa kali sebelum PRU 12 menyatakan kekesalannya terhadap Ahli-Ahli Parlimen DAP yang begitu ‘anti Melayu’ dalam perbahasan di Parlimen.

Malang bagi Melayu, malang bagi anak bangsa, apabila ada Perunding PAS ketika itu tidak kisah sikap ‘anti Melayu’ Teresa Kok, sebaliknya, lebih gembira bersalam dan menggenggam tangan Teressa Kok lama-lama.

Walaupun telah dipermainkan dalam insiden Perak, Presiden UMNO ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi terus membuka pintu rundingan dengan PAS dan Salahuddin terus memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya.

Pertemuan terakhir berlaku pada awal 2009 apabila Salahuddin Haji Ayub menghubungi salah seorang Setiausaha Politik Perdana Menteri ketika itu meminta pertemuan di antara Tuan Guru Haji Hadi Awang, Presiden PAS dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa dengan Abdullah.

Pertemuan itu berlangsung di Seri Perdana agendanya ialah cadangan PAS menubuhkan Kerajaan Perpaduan. Sebuah Kerajaan yang disokong oleh ahli-ahli Parlimen PAS dan dengan menggunakan mandat di Parlimen, mengekalkan Abdullah sebagai Perdana Menteri Malaysia, walaupun beliau bukan lagi Presiden UMNO.

Bagi berlaku adil kepada Abdullah, eloklah untuk rekod saya tuliskan di sini bahawa, Abdullah dilaporkan secara peribadi menolak cadangan tersebut dan berkata bahawa keputusannya untuk turun dari teraju kepimpinan negara sudah muktamad. Abdullah juga meminta dua pimpinan tertinggi PAS menerima kepimpinan Najib Razak.

Dan di saat-saat itu, Abdullah meletakkan dirinya di tahap seorang negarawan dan bukan lagi sebagai ahli politik yang licik yang sering terselamat dari menjadi mangsa segala krisis politik yang berlegar disekelilingnya sepanjang kariernya.

Dan Abdullah juga bertanya kepada Presiden PAS, apakah jika PAS teruskan langkah perpaduan itu, ia akan terus melangkah tanpa perpecahan. Jawapan Tuan Guru Haji Hadi ialah 30% akan menentang. Abdullah kemudian bertanya mengenai Tuan Guru Nik Aziz. Dengan penuh kasih sayang, Tuan Guru Haji Hadi dilaporkan menyatakan pendirian Nik Aziz kepada Abdullah.

Abdullah menyatakan pendiriannya bahawa dia tidak mahu melihat perpecahan berlaku di dalam PAS dan demikianlah berakhirnya episod penyatuan Melayu.

Saya merasa kesal dengan kata-kata yang tidak manis terhadap Mufti Perak oleh Salahuddin dan Mahfuz. Lebih kesal apabila Salahuddin, seorang yang sejak 2006 menentang arus untuk mencari titik-titik yang boleh melihat tidak ada perpecahan politik di kalangan anak-bangsa tiba-tiba seolah beralih arah.

Saya cuba memahaminya. Mungkinkah dirinya sebagai anak dagang, menumpang di kerusi Parlimen Kubang Kerian, yang mana Dato’ Husam Musa adalah Yang DiPertua PAS sedikit sebanyak mengikat kehebatan libasan penyatuan Salahuddin? Ataukah kerana dia tidak mahu di lontarkan dengan kalimah ‘sampah yang menyusahkan pergi masuk UMNO’ oleh Nik Aziz, Pesuruhjaya PAS Kelantan? Mungkin.

Atau mungkin tidak. Mungkin Salahuddin sedang mencari jalan diplomasi. Apapun saya harap Salahuddin tidak akan mengenggam erat jari jemari Teresa Kok sehingga beberapa minit lamanya dan menentang perpaduan Melayu demi memperkasakan Islam bersama DAP.