Sewaktu awal kemelut politik Kelantan setelah saya ditamatkan kontrak, khabar-khabar angin mula kencang tentang YB. Dato’ Haji Husam Musa akan mengosongkan jawatan exco yang disandangnya. Ia bermula setelah pertemuan Husam dengan Tuan Guru MB yang berakhir dengan kedua-dua mereka menangis dan Husam mengambil cuti beberapa hari.

Antara mesej yang Husam sampaikan kepada saya waktu awal-awal kemelut itu ialah, “langit belum runtuh, kalau runtuh, ambo pun tertimpa sama tak sempat angkat bendera putih.”

Jawapan saya pada Husam, “Dato’ yakin matlamat boleh menghalalkan cara, tetapi bagi saya yang haram tetap haram, kalau nak buat, buatlah tetapi jangan cakap ia tak haram.”

Di situlah tergendalanya persahabatan kami yang dibina untuk dunia dan akhirat sehinggalah ke detik ini. Bertemu kami tidak tidak lagi selain berkali-kali di dalam mimpi saya sahaja.

Beberapa hari yang lalu, saya bertemu seorang exco yang saya sanjung tinggi dan dia berkata pada saya, “Sheih, pergilah jumpa Husam, dia menangis tiap kali orang sebut nama Sheih depan dia…”

“Saya pun menangis sama Dato’….” kata saya.

Benar, sehingga hari ini bila melintas dihadapan restoran Jepun, air mata saya akan menitis dengan sendiri. Saya elakkan ke Surya KLCC dan ke Bangsar. Belum masanya saya menjadi Kassim Selamat dalam Ibu Mertuaku.

Saya masih ingat ketika kami melangkah keluar dari pejabatnya satu petang sebulan selepas saya bekerja dengannya, Husam bertanya tentang keadaan ibu saya setelah saya pulang bekerja di Kelantan, kata saya, “Kalau dia jumpa Dato’, mesti dia peluk cium Dato’ sebagai tanda terima kasih.”

Benar, urusan Husam dan saya bukan sekadar urusan dunia, ia urusan akhirat juga.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, saya berjaya lepasi segala cabaran kewangan kerana bekerja dengan Husam bukan untuk dunia tetapi untuk akhirat.

Pada awal-awal dulu, banyak pihak menawarkan saya pelbagai ganjaran termasuk imbuhan RM5,000 sebulan dan saya jawab pada mereka, “Tanya Husam, kalau Husam benarkan saya ambil, baru saya akan ambil.” Mereka tidak pernah lagi kembali kepada saya dengan isu yang sama.

Satu malam saya gempur Husam dirumahnya, “Dato’…” kata saya sambil letakkan sepucuh surat permohonan balak yang seorang anggota parti bawa ke rumah saya dengan alasan minta Husam minitkan dan menjanjikan saya lebih RM100, 000.

“Kalau ini cara Dato’ mahu menguji saya, tak perlu… kalau Dato’ nak berikan saya wang, saya akan akan ambil dari Dato’ sendiri. Saya tidak akan ambil yang bukan hak saya…”

“Orang ini bawak surat ni ke rumah saya, dia kata Dato’ dah setuju dan suruh datang jumpa saya. Dia tanya saya nak berapa duit? Saya tak suka cara macam ni Dato’. Dato’ boleh jawab dan boleh tidak jawab pada saya…” ujar saya lagi.

Husam tepis surat itu tanpa menelitinya langsung dan berkata, “Serah balik pada tuannya…”

Saya dapati amat mudah menghormati Husam. Saya merasakan amat bertuah dapat berkhidmat dengannya. Dan sehingga hari ini, saya masih merasa amat mudah membasahi pipi saya dengan airmata bila mengenangnya.

Pada 22 November 2009, Husam menafikan bercadang meletakan jawatan exco dan menulis di blognya,

Mana perjuangan saya? Mana parti dan kerajaan yang saya membantu menjayakannya sekian lama? Di hujung jalan kami akan berpisah? Membuka ruang pada lawan menerobos masuk dalam detik yang kritikal ini?

Tetapi desas-desus itu tidak berakhir sehinggalah Husam akhirnya mengutus surat saman kepada pihak media.

Namun setelah tragedi yang menimpa Tuan Haji Anual Bakhri, bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Husam buat pertama kalinya dalam sejarah politiknya telah mempertikaikan secara terbuka pendirian Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS.

Di dalam posting bertajuk Malaysia atau Diri yang dikarang jam tiga pagi, penghujung Disember 2009, Husam meluahkan persoalan yang menjadi kemelut menghantui dirinya,

“Konsep berkerajaan yang baik ialah pengasingan antara family matters dan state matters. Bukan sahaja legally, tetapi juga morally.”

Husam telah melanggar segala prinsip perjuangannya di dalam mempertahankan Tuan Guru Nik Aziz. Mungkin yang tinggal hanyalah kasih sayang dan rasa kasihan kepada seorang tua, ayah politiknya.

Husam menghantar beberapa mesej kepada mereka yang terdekat dengannya dalam arena politik Kelantan. Mesej itu berlegar-legar dan satu darinya masuk ke peti mesej Blogger Penarik Beca.

Penarik Beca kemudiannya mengeluh dan meluahkan bahawa Husam akan mengosongkan Kerusi Dewan Undangan Negeri Salor yang bererti akan terlucut juga segala jawatannya di dalam kerajaan.

Husam tidak menghantar surat saman kepada Penarik Beca tetapi Tok Guru mengecap Penarik Beca sebagai celaka.

“Celako semua sekali ni, blog celako, blog celaka!”, Itulah ayat manis yang keluar dari mulut orang tua itu.

Mengkaji reaksi Penarik Beca setelah  posting celakonya, Penarik Beca telah kembalikan semula ungkapan itu dengan sinis kepada Tok Guru Nik Aziz. Celako, Celako dan Celako tulis Penarik Beca.

Di dalam kenyataan di sidang medianya Husam antara lain berkata bahawa beliau tidak berhasrat melepaskan jawatannya kerana masih fokus menyelesaikan isu tuntutan royalti minyak Negeri Kelantan.

“Lainlah kalau dah dapat royalti besok tuan-tuan buat rumous macam tu,”, Husam dipetik oleh beberapa akhbar yang kali ini amat hati-hati memainkan isu ini.

Februari adalah antara tarikh yang disebut oleh sesetengah sahabat Husam.

10 Januari adalah antara tarikh yang dijolok kepada sahabat-sahabat dalam politik.

Husam sendiri terus senyap dan  fokus dengan misinya.

Husam memberi perhatian penuh kepada urusan tuntutan royalti minyak dan semalam rombongannya telah menemui Presiden dan CEO Petronas, Tan Sri Hassan Merican.

Husam amat gembira dengan pertemuan itu. Kerja keras Husam untuk Negeri Kelantan dan keadilan mendapatkan hak bagi yang berhak semakin sampai ke penghujung.

Pengiktirafan adalah penting. Dan walaupun isu ini tidak akan berakhir di dalam penggal Parlimen ini yang pasti berakhir dalam tempoh 18 ke 24 bulan lagi, tetapi Husam telah mendapat pengiktirafan bahawa perjuangannya di landasan yang betul.

Husam boleh meletakkan segala jawatan dan tinggalkan arena politik Malaysia untuk selamanya. Nama Husam akan terus dikenang oleh mereka yang pernah mengenalinya dan pernah membaca tentang perjuangannya akan terus mengkaguminya.

Tetapi kata orang, Husam akan selamanya jadi ‘putera yang tidak pernah menjadi raja’.

Ramai sahabat terdekat yang berada diluar arena politik mendesak Husam tinggalkan sahaja politik PAS Kelantan. Ia semakin cemar. Husam semakin tercemar oleh mereka yang cemar-cemar belaka. Apatah lagi, yang cemar itu datangya dari keluarga Tok Guru Nik Aziz sendiri.

Musykilnya, sedarkah Tok Guru  segala masalah antara Husam dan Tok Guru bermula kerana Husam menghalang beberapa kerat di dalam keluarga Tok Guru dari melakukan kerja-kerja yang akan memburukkan nama baik Tok Guru sendiri.

Hari ini kemelut Ariffahmi telah mencemar teruk nama baik Tok Guru.

Ramai tidak tahu bagaimana bermulanya kemelut perbalahan Nik Abduh dengan Husam. Plotnya tidak jauh berbeza dengan kemelut hari ini. Segalanya bermula dengan keberanian Husam menghalang ketamakan dipihak sana. Husam masih menyimpan segala dokumen-dokumen itu yang dikumpul semula pada Mei 2009 yang lalu.

Pada ketika itu, demi membersihkan nama baik anak-anaknya, adik beradiknya, isterinya dan dirinya sendiri, Husam pernah bercadang menulis sebuah buku kecil dan menceritakan segalanya berlandaskan fakta ditangannya. Tetapi niat itu terpadam oleh rasa sayang pada Tuan Guru Nik Aziz.

Jikalau Husam membela dirinya dengan membuktikan Nik Abduh memang ada dendam kesumat terhadap Husam, yang buruk namanya kelak ialah Nik Aziz kerana berdasarkan fakta pada Husam, orang boleh berkata, “Nik Aziz sebagai pemimpin telah gagal memimpin anak jantannya sendiri!”

Bagaimana kita hendak harapkan Nik Aziz memimpin ‘anak jantan’ dan ‘anak betina’ kita?

Nasib baik kita yang jahil ini hidup dalam sebuah kerajaan yang ‘Membangun Bersama Islam’ kerana di dalam Al Quran dan di dalam kisah para Rasul dan Nabi kita telah diajar betapa kisah anak, isteri dan saudara mara para pesuruh Allah sendiri tidak patuh kepada suruhan yang dibawa oleh ayahanda mereka. Jadi bagi kita tiada apa yang peliknya.

Kita tidak perlu mengajar Nik Abduh dan Nik Amalina kisah keluarga Nabi Nuh dan Nabi Lut, bukankah mereka ini dari keluarga yang mulia seperti dibanggakan oleh Nik Amalina.

Bukankan juga Iblis itu adalah makhluk yang mulia? Benar, Iblis seperti Nik Amalina juga begitu berbangga dengan kemuliaannya sehinggalah bongkak dan takabur memberinya visa penghuni tetap neraka jahaman.

Husam masih sayangkan Nik Aziz. Nik Aziz tidak perlu sayangkan Husam tetapi Nik Aziz perlu buktikan sayangnya pada rakyat Kelantan yang sudah 20 tahun berada dibawah naungannya.

Segala kemewahan yang dirasai oleh beberapa kerat anggota keluarga Nik Aziz adalah kerana sudah 5 pilihanraya rakyat Kelantan mengundi PAS.

Sanggupkah Nik Aziz matikan karier politik Husam yang disanjung oleh sahabat dan lawan itu sebagai balasan kepada rakyat Kelantan.

Ada baiknya bukan DUN Salor yang dikosongkan, tetapi DUN Chempaka yang patut dikosongkan. Bolehlah Nik Abduh, Nik Amalina atau Ariffahmi diletak sebagai calon disitu. Bolehlah kita dapat Menteri Besar baru dari kalangan keluarga yang mulia.

Husam, demi para sahabatmu di dalam parti, demi inspirasi yang kau berikan kepada mereka yang menyanjungmu dan demi sebuah wadah perjuangan tanpa hipokrisimu, kamu tidak boleh kosongkan DUN Salor.

Dan yang patut berundur bukan kamu.

Di dalam rakyat Kelantan mula berdoa Nik Aziz berundur atau berehat, rakyat Kelantan harus pertahankan Husam. Inilah pilihan terbaik yang kita ada.