Siapakah gerangan pasangan Sehati Berdansa dari Kelantan? Kalau dalam ruang siber bergelek bukan main tetapi bila berdepan mata ke mata kejam celik sikit terus tiada. Macam biskut chipsmore pun ada.

Dua Minggu Yang Lalu

Di dalam satu temubual ekslusif yang diantara Malaysiakini dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, YAB Menteri Besar Kelantan itu telah antara lain didalam usaha mengagungkan Almenantunya telah memberi persepsi buruk terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif PMBK.

Ini menyebabkan bekas ahli pengurusan kanan PROTON itu mengambil tindakan untuk menyaman malu Menteri Besar Kelantan. Ini mengakibatkan Tok Guru resah dan mengambil keputusan untuk memohon maaf. Tuan Haji Anual Bakhri Haron yang ketika itu masih menyandang jawatan Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan telah diarahkan menjadi orang tengah.

Akhirnya di atas kehendak Tok Guru sendiri, Haji Anual dan Tok Guru mengunjungi kediaman bekas CEO PMBK itu. Di dalam pertemuan tersebut Tok Guru menyampaikan sendiri surat mohon maafnya kepada bekas CEO PMBK itu yang amat dimusuhi oleh Ariffahmi.

Beberapa hari kemudian di dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri, Tok Guru memaklumkan bahawa dia telah memohon maaf diatas ketelanjurannya.

Kejadian itu seharusnya berakhir disitu dengan umum yang mengetahui tentang kejadian itu merasa hormat diatas sikap mulia Tuan Guru Nik Aziz. Seorang Menteri Besar dan seorang ulama besar sanggup mengunjungi rumah rakyat biasa untuk memohon maaf diatas ketelanjurannya. Begitulah bertuahnya rakyat Kelantan.

Satu Minggu Yang Lepas

Di dalam satu pertemuan tertutup antara pihak Muslimat dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Nik Amalina, anak kepada Menteri Besar Kelantan dengan lantang menyelar Haji Anual Bakhri dan menuduh Anual Bakhri telah menjatuhkan maruah Menteri Besar Kelantan dengan memujuk MB ke rumah bekas CEO PMBK untuk memohon maaf.

Sebulan Yang Lalu

Almenatunya Abdul Ariffahmi Abd Rahman telah memusing Malaysia untuk menjelaskan kepada pimpinan parti dan Dewan Pemuda PAS berhubung polemik yang melandanya.

Di dalam pertemuan demi pertemuan itu Ariffahmi telah mendakwa dia adalah mangsa kepada kerakusan Dato’ Haji Husam Musa.

Antara tuduhan yang dibuat oleh Almenantunya terhadap Husam adalah seperti berikut :

  • Husam mempengaruhi Bapa Mertuanya menggunakan blogger Kickdefella dalam usaha jahat Husam menjatuhkannya sebagai CEO PMBK. (Saya amat berharap Ariffahmi berani untuk mengulangi tuduhan ini dikhayalak umum atau kepada pihak media)
  • Tindakan Husam itu dikatakan kerana Husam gagal mempengaruhi Ariffahmi dan menggunakan Ariffahmi untuk kepentingan peribadi Husam iaitu mengumpul kekayaan. (Pada pendapat saya, Ariffahmi yang gagal mempengaruhi Husam untuk menutup mata diatas segala kepincangan pentadbiran PMBK dibawah Ariffahmi).
  • Anak syarikat PMBK iaitu PMBK Sawit yang dipengerusikan oleh Husam mengalami kerugian teruk kerana Husam menggunakan sumber kewangan PMBK Sawit untuk tujuan politiknya dan peribadi serta membayar kroni-kroninya dengan gaji yang amat tinggi. (Kakitangan kerajaan negeri akan ketawa besar mendengar tuduhan ini kerana PMBK Sawit sajalah sebenarnya yang membawa keuntungan berbanding lain-lain anak syarikat PMBK. PMBK Sawit jugalah yang ‘menyara’ PMBK).
  • Husam hanya pandai lancar program tetapi semua gagal dan PMBK terpaksa menanggung kegagalan itu dan antara yang dimaksudkan sebagai gagal ialah projek Skim Takaful Kifaalah Warga Emas. (Skim Takaful Kifaalah adalah satu skim yang berjaya memenangi hati dan perasaan rakyat Kelantan sehingga membawa kemenangan besar kepada PAS dalam PRU12 yang lalu, kini skim tersebut menjadi ikutan dibeberapa buah negeri).
  • Husam didakwa menerima rasuah daripada Tamrin bin Ghafar (Tamrin sendiri menafikan hal ini pada Ariffahmi tetapi Ariffahmi terus dengan dakwaannya).

Sehari Yang Lalu

Bertempat di JKR 10, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, Dewan Muslimat PAS telah menjemput Pasangan Sehati Berdansa Ariffahmi dan Amalina untuk memberi penjelasan berhubung isu-isu yang melanda dengan alasan mahu mendengar terus dari mereka berdua.

Begitu hebat kedua-dua mempelai itu membelasah Dato’ Husam di dalam sessi tersebut.

Apabila ditanya sama ada mereka bersedia berhadapan dengan Dato’ Husam bagi mendengar pihak sebelah Husam pula, mereka dilaporkan sebagai berkata bersedia.

Kemudian mereka dimaklumkan bahawa Dato’ Husam turut berada di JKR 10 dan akan dijemput masuk supaya Pasangan Sehati Berdansa boleh mengulangi tuduhan mereka itu dihadapan Dato’ Husam sendiri. Mereka cepat-cepat berkata, tidak bersedia melakukannya sekarang dan memberi alasan, YAB MB sudah merancang satu pertemuan lain untuk mereka jadi biarkan pertemuan antara Husam dan mereka dibuat mengikut perancangan MB.

Apabila Husam dan beberapa orang ADUN PAS yang juga merupakan penjawat jawatan parti masuk, Ariffahmi hanya menyambut ADUN PAS itu tetapi tidak Husam. Husam terpaksa pergi kepada Ariffahmi dan menghulurkan salam. Selepas itu, Ariffahmi dan Amalina terus keluar meninggalkan majlis tersebut.

Nampaknya ternyata Ariffahmi dan Amalina hanya berani dibelakang sahaja. Apabila berdepan, mereka hanya berani jika Tuan Guru Nik Aziz turut serta. Kalau didalam ruang yang neutral, mereka rupanya takut untuk berdepan dengan Husam.

Kopi Dangdut untuk Pasangan Sehati Berdansa semoga mereka kuat semangat untuk berdepan dengan orang yang mereka kecam sehebat-hebatnya selama ini.

Seminggu Yang Akan Datang

Tuan Guru Nik Abdul Aziz perlu mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan kebobrokan dan campurtangan anak menantunya dalam hal pentadbiran negeri dan sikap kurang ajar kepada pimpinan negeri dan parti. Kegagalan Tuan Guru bertindak segera hanya akan membawa kepada permasalahan yang lebih besar.

Dua Minggu Yang Akan Datang

Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan akan terpaksa membuat suatu perisytiharan yang akan memeranjatkan rakyat jelata di Kelantan dan mereka yang melihat PAS sebagai sebuah Parti Politik yang mampu mewakili kehendak semua kaum dan penganut berbilang agama.