Perdana Menteri Najib Razak wajib meminta Rais Yatim meletakkan jawatan sebagai Menteri Penerangan serta merta bagi membersihkan kabinetnya daripada anasir-anasir subversif yang boleh merosakan perancangan mulia Perdana Menteri untuk membawa transformasi di peringkat nasional. Rais Yatim adalah batu penghalang utama. Beliau adalah ubat luput tarikh yang kini sudah menjadi racun.

Rais Yatim berisiko tinggi terhadap komitmen transformasi Kerajaan Persekutuan yang boleh menyebabkan pemilih-pemilih muda yakin bahawa UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional tidak mungkin mampu hidup berdua mati bersama dengan rakyat yang cintakan perubahan positif di Malaysia.

Hari ini sudah ada barisan blogger-blogger memanggil supaya semua blogger memboikot Pilihanraya Kecil Galas dan Batu Sapi sebagai protes kepada tindakan tidak bermaruah Rais Yatim membuat laporan polis terhadap penulis blog Ahirudin Attan atau lebih terkenal dengan panggilan Rocky Bru.

Saya menggesa Kabinet mengeluarkan arahan serta-merta kepada Kementerian Penerangan supaya menyiarkan semua senarai syarikat-syarikat swasta yang menerima habuan sama ada didalam bentuk geran, projek atau kontrak daripada Kementerian Penerangan di bawah Rais Yatim.

Saya juga menggesa supaya satu siasatan menyeluruh dibuat terhadap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional atau FINAS di bawah pentadbiran Rais Yatim terutama di dalam hal perlantikan Ketua Pengarah baru.

Rais Yatim telah berkali-kali gagal membuktikan beliau tidak mampu mempertahankan maruah bangsa dan negara apabila berdepan dengan kemelut komposer Namewee yang berketurunan Cina. Bahkan Rais Yatim pernah bukan sekali tetapi berkali-kali meminta supaya Namewee dimaafkan. Tetapi beliau segera membuat laporan polis berhubung isu yang mempertikaikan integritinya. Jelas di sini Rais Yatim lebih mengutamakan dirinya sendiri daripada Negara Malaysia.

Pada tahun 1990, selepas tewas di dalam pilihanraya umum, Rais pernah mengutus sepucuk surat kepada akhbar dan antara lain menuduh ‘jambatan sudah dibakar’. Hari ini saya ingin menyatakan kepada Rais Yatim,

‘Ya, jambatan sudah dibakar dan kamu tolong berhenti menyeberang ke mari!’