RM800 Juta Tidak Boleh Diwarisi Dari UMNO BN

Maaf, saya bukan mahu membela UMNO tetapi seperti yang pernah saya tulis diblog ini sebelum ini, jangan salahkan UMNO jika kita tidak boleh kawal nafsu buas kita.

Saya ingin mengulas tajuk berita Harakahdaily yang berbunyi, “RM800 juta: Kelantan Warisi Kes UMNO BN”.

Tajuk berita dan intipati berita tersebut seolah-olah pemberian konsesi balak kepada Timbermine Sdn Bhd dan pembatalan konsesi itu dibuat oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Pemberian kawasan balak yang teramat luas pada tahun 1964 dibuat oleh Menteri Besar PAS iaitu Dato’ Ishak Lotfi.

Manakala pembatalannya pula di buat oleh Menteri Besar PAS BN pada tahun 1974, ialah Dato’ Muhammad Nasir.

PAS telah menyertai Barisan Nasional selepas penubuhannya pasca Mageran akibat rusuhan kaum 1969. Dalam pilihanraya 1974 PAS telah bertanding seiring dengan UMNO menentang pimpinan PAS yang menyisihkan diri kerana tidak bersetuju menyertai BN. PAS menang lebih kurang 22 kerusi dan UMNO menang lebih kurang 13 kerusi (harap dapat pembaca membetulkan jumlah kerusi ini kerana saya belum dapat membuat semakan).

PAS masih dominan didalam kerajaan BN yang memerintah Kelantan. Diantara sebab pembatalan perjanjian dengan Timbermine Sdn Bhd ialah kerana rakan kongsi baru PAS didalam BN iaitu UMNO merasa amat tidak selesa dengan pemberian tanah balak seluas itu seolah-olah PAS mahu menggadai Negeri Kelantan.

Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri PAS kemudiannya telah mengusulkan undi tidak percaya kepada Menteri Besar mereka sendiri kerana antara sebabnya mereka merasakan Dato’ Muhammad Nasir adalah pilihan BN dan bukan kehendak Parti PAS. Muhammad Nasir tumbang dan berlaku rusuhan di Kota Bharu. Dharurat kemudiannya diisytiharkan.

PAS kemudiannya disingkirkan daripada BN.

PAS berusaha mencadangkan nama baru untuk jawatan Menteri Besar sebaliknya permohonan mereka di tolak dan satu pilihanraya negeri di panggil pada tahun 1978.

Didalam pilihanraya 1978, UMNO telah habis-habisan menggunakan isu pemberian kontrak balak sebagai bukti bahawa PAS cuba menggadaikan Negeri Kelantan.

Keputusan pilihanraya itu cukup menyedihkan bila PAS hanya tinggal 2 kerusi di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Menteri Besar baru, Tan Sri Muhammad Yaacob diangkat mewakili Barisan Nasional. Saya dimaklumkan satu rundingan diadakan diantara Kerajaan Negeri Kelantan ketika itu dengan Timbermine Sdn Bhd yang melibatkan tanah yang kemudiannya diberi kepada Kerajaan Persekutuan untuk dimajukan oleh KESEDAR. Pihak Kerajaan Negeri membayar sejumlah pampasan untuk kepada Timbermine Sdn Bhd bagi kawasan tersebut.

Berhubung senario dan isu-isu menyelubungi insiden tahun 1964 hingga 1978, saya amat berharap sahabat saya, Sdr. Hj. Hydzelan dapat berkongsi dengan kita di ruang blognya kerana saya tahu beliau mempunyai maklumat-maklumat yang tepat disamping boleh menghubungi sumber-sumber kredibel, apatah lagi ayahandanya adalah salah seorang ADUN sewaktu tempoh 1974 hingga DUN Kelantan di gantung.

Manakala berhubung berhubung fakta dan rentetan kejadian demi kejadian diantara Timbermine Sdn Bhd dengan Kerajaan Negeri Kelantan adalah diharap pihak Kerajaan Negeri ataupun pihak Timbermine Sdn Bhd sendiri dapat mengemukakannya. Rakyat Kelantan sudah pasti ingin tahu apa sebenarnya yang terjadi dan lebih penting bagaimana tanah sebegitu luas di berikan kepada pihak swasta.

Semoga rakyat Kelantan dapat mengambil iktibar dari sejarah ini. Bajet tahunan Kerajaan Negeri adalah sekitar RM400 juta sahaja setahun. Perintah bayaran pampasan berjumlah RM800 juta adalah bersamaan 2 tahun bajet Kerajaan Negeri.

Kalaupun rayuan diterima dan tetapi Kelantan tetap diarah membayar pampasan dengan jumlah pampasan dikurangkan kepada RM200 juta, ia masih jumlah yang amat-amat besar bagi sebuah negeri seperti Kelantan. Dengan defisit terkumpul yang dikatakan hampir mencecah RM1 Billion, apakah Kelantan diambang kemuflisan?

Saya berharap apapun tindakan Kerajaan Negeri ianya tidak akan bersandarkan keputusan yang diusulkan oleh mesyuarat meja bulat di kediaman peribadi Menteri Besar di Pulau Melaka.