Rasionalisasi Subsidi, adalah alasan yang selalu muncul apabila kerajaan menaikkan harga minyak Ron 95 dan Diesel di Malaysia. Satu tindakan yang amat tidak populis disaat Kerajaan yang ada tidak begitu kuat selepas Pilihanraya Umum 13 yang lalu. Ia telah membuka ruang seluas luasnya untuk pihak pembangkang mengambil peluang ini untuk membangkitkan perasaan marah rakyat.

Rakyat kebanyakannya bukan semua tidak boleh menerima kenaikan harga ini, akan tetapi ia perlu disertakan dengan alasan yang kukuh dan senang difahami oleh rakyat. Bukan dengan alasan bahasa ekonomi yang tidak mampu difahami oleh sebahagian besar rakyat golongan berpendapatan rendah dan menengah.  Bukan juga dengan memberitahu rakyat bahawa harga minyak kita masih lebih rendah dari Negara Negara lain di Asia Tenggara. Rakyat kebanyakan tidak mahu tahu itu semua. Kerana kuasa memberi Undi dalam pilihanraya berada ditangan mereka.

Golongan peniaga akan segera menangkis beban kenaikan ini kepada pengguna, banyak barangan dan perkhidmatan akan turut mengalami kenaikan dan hanya itulah yang dirasai rakyat. Pujukan bebentuk kenaikan BRIM yang bakal diumumkan dalam pembentangan bajet akan datang juga tidak mampu meredakan kemarahan rakyat, Kerajaan rupanya tidak mahu belajar bahawa BRIM tidak boleh membawa keuntungan dalam bentuk sokongan kepada Barisan Nasional seperti mana yang dialami dalam PRU 13 lalu. BRIM hanya dinikmati oleh golongan yang dikelaskan berpendapatan rendah iaitu pendapatan isirumah sebanyak RM3000 tapi, apa nasib golongan berpendapatan sederhana yang semakin tertekan dan kebanyakan mereka tinggal dibandar Bandar besar di Malaysia, inilah yang sepatutnya difikirkan oleh pentadbiran Najib.

Jentera siber pembangkang dengan pantas mengeluarkan kenyataan kenyataan akhbar Dato Seri Najib yang menyatakan bahawa Petrol tidak akan naik selepas pilihanraya dan kenyataan itu didakwa berlaku empat bulan lepas, sedangkan keratan akhbar itu diambil pada 26 Febuari 2008, tapi ia berjaya mendiamkan penyokong penyokong kerajaan seketika dan menghasut rakyat membenci kerajaan.

Keratan Akhbar Pada 26 Febuari 2008

Keratan Akhbar Pada 26 Febuari 2008

Khabarnya hasil dari pengurangan subsidi ini akan dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM3.3 billion dan ia akan dipindahkan kedalam BRIM sebanyak RM3 billion, satu langkah yang tidak memberi apa apa makna kepada rakyat secara keseluruhan. Saya yakin, rakyat akan lebih gembira jika Kerajaan hapuskan BRIM dan pindahkanya kepada Subsidi minyak sehingga harga minyak menjadi RM 1.70 seliter dan ia pasti dapat mengembirakan lebih ramai rakyat, tak kira golongan.

Dalam kenyataan akhbar hari ini, keputusan Jawatankuasa Fiskal Negara telah mengambil keputusan drastik ini setelah mengkaji dalam berbagai aspek dan sudut ekonomi, tapi bila Kementerian Pertanian melalui Menterinya, dalam Buletin Utama TV3 malam ini mengumumkan baru mahu mewujudkan jawatankuasa mengkaji kesan keatas Nelayan berikutan kenaikan ini dan laporannya akan siap dalam tempoh sebulan, menggambarkan kepada rakyat bahawa kajian yang dibuat Jawatankuasa Fiskal Negara adalah tidak menyeluruh dan ini adalah sesuatu yang amat malang apabila sesuatu keputusan di umum tidak ada penyelarasan antara kementerian.

Cadangan memperkenalkan RON 92 juga baru timbul setelah melihat reaksi negatif rakyat, menambahkan lagi kekalutan dalam pemikiran rakyat yang terkial kial menunggu penjelasan yang tuntas. Dalam pada ada sesetengah pihak dahulu mengkritik kewujudan RON 95 yang dikatakan tidak sesuai bagi sesetengah kenderaan mahu pula diperkenalkan gred yang lebih rendah dari itu.

Saya amat faham ini semua dilakukan demi meningkatkan ekonomi Negara untuk kesejahteraan rakyat, tapi biarlah ia secara tersusun dan berhemah. Penyelarasan antara kementerian biarlah dilihat menyeluruh supaya apa sahaja keputusan diambil harus ada penjelasan yang jitu dari semua yang ada dalam kabinet.