Dalam keghairahan menjelang musim pemilihan UMNO sekarang, ramai yang menawarkan diri untuk bertanding dan ramai penyandang yang mempertahankan jawatan sekarang melaungkan istilah ‘PERJUANGAN’. Boleh dikatakan semua yang terlibat mempertahankan atau menawarkan diri adalahuntuk meneruskan ‘perjuangan’ membela nasib bangsa, agama dan tanah air, sehinggakan pengertian kepada istilah tersebut sekarang menjadi semakin kabur dan terlalu ‘klise’.

Ramai pemerhati dan rakyat kini sudah terlalu faham definisi sebenar ‘PERJUANGAN’ kini adalah tidak lebih dari mendapatkan pengiktirafan dan habuan apabila melihat apa yang berlaku di dalam UMNO kini. Nasib bangsa sendiri kini diambang perpecahan, agama Islam semakin dipersendakan, dan Negara diperlekehkan disebabkan apa yang dibawa atas nama ‘PERJUANGAN’ ini. Ia berlaku kerana yang melaungkan diri mereka berjuang ini akan merasa kecewa bila diri tidak diiktiraf, akan merasa marah bila tidak mendapat habuan yang sepatutnya dari ‘perjuangan’ mereka.

Ramai yang mengumumkan diri untuk bertanding tidak menyatakan secara jelas apa visi dan misi mereka dalam menawarkan diri, hanya tahu duplikasi kenyataan dari mereka yang sebelumnya yang mahu meningkat naik dalam arena politik dan kesudahannya akan tetap sama seperti biasa.

Jarang yang menyatakan keputusan mereka menawarkan diri ini adalah hanyalah menjalankan FITRAH seorang Islam, anak Melayu dan Warganegara yang marah bila Islam dipersendakan, benci bila Bangsa di hina dan geram bila Negara diperlekehkan. Bagi saya jika mereka menganggap dan menanamkan dalam diri mereka apa yang mereka lakukan ini hanyalah sebagai FITRAH hidup, mereka tidak akan sekali kali kecewa bilamana tidak dapat apa apa pengiktirafan dan habuan. Mereka akan terus bekerja untuk menaikkan imej Agama, Bangsa dan Negara walau tiada apa apa jawatan diberikan kepada mereka. Mereka juga tidak akan melepaskan kekecewaan dengan mensabotaj parti kelak. Dengan kata lain mereka yang berkerja dengan niat dan fitrah sebegini akan lebih istiqamah dan mempunyai nilai jati diri yang amat tinggi hingga tidak boleh digangu gugat oleh perkara yang mengecewakan mereka.

Jadi dalam pemilihan UMNO kali ini harapnya Ahli UMNO yang rata rata sudah kenal mereka yang menawarkan diri dan yang mempertahankan jawatan, akan memilih setelah melihat  kepada FITRAH semula jadi calon dan penyandang adakah mereka ini konsisten dalam setiap tindakan mereka yang bangkit bila Agama Bangsa dan Negara digangu. Bukan memilih yang hanya memiliki FITRAH melawan bila kedudukan diri digangu dan habuan dari ‘PERJUANGAN’ tidak diperolehi. Resmi Harimau menerkam mangsa buruan adalah bukan kerana ia berjuang untuk hidup, tapi ia adalah FITRAH yang Allah tentukan sebagai sifatnya begitu.

Sama sama kita bermuhasabah diri….