Berikutan daripada isu pinjaman PTPTN yang hangat diperkatakan, Kerajaan memutuskan melalui mesyuarat Jemaah menteri hari ini untuk tidak meneruskan langkah menyenaraikan peminjam kedalam pengkalan data Bank Negara (CCRIS).  Satu keputusan yang dilihat diambil secara tergesa gesa dan manampakkan kerajaan tunduk kepada tekanan untuk bersikap populis apabila adanya Menteri Kabinet sendiri yang menentang perlaksanaannya. Persoalan yang bermain difikiran saya, apakah Menteri tersebut sengaja melakukannya untuk menaikkan popularity sendiri disaat Pemilihan Agung UMNO yang semakin hampir, tidakkah keputusan atau langkah untuk menyenaraikan nama mereka yang ingkar ini tidak dibawa kedalam mesyuarat cabinet sendiri untuk dibangkang oleh menteri terbabit, atau menteri itu hanya mahu membuat bantahan melalui medium yang boleh menaikkan popularitinya sebagai ketua. Sesuatu yang amat malang bagi kerajaan bilamana kesan daripada itu ramai dari kalangan penyokong pembangkang melihat ia tidak lebih dari sandiwara kerajaan, walaupun dipihak PTPTN sendiri bermati matian berfikir bagaimana meneruskan kelangsungan bantuan kepada generasi akan datang dengan semakin bertambahnya pembayar yang ingkar.
Selepas dari pengumuman awalnya oleh Dato Seri Idris Jusoh, saya diberitahu ramai dari kalangan peminjam yang sebelumnya tidak pernah dapat dihubungi sudah mula membuat panggilan kepejabat PTPTN untuk berunding tentang pinjaman mereka. Satu perkembangan baik yang diinginkan oleh  pihak PTPTN sendiri. Sebaliknya bila keadaan kerajaan menarik balik keputusan ini, mereka kini melihat Kerajaan sememangnya lemah dan mudah tunduk kepada desakan  politik pembangkang bilamana disambut oleh Menteri sendiri.
Di masa hadapan saya merasakan Menteri dalam Kabinet perlu membuat bantahan didalam mesyuarat cabinet untuk sesuatu keputusan supaya kegawatan yang akan ditertawakan oleh rakyat ini akan tidak berulang.  Kerajaan tidak pernah belajar betapa silapnya memansuhkan beberapa akta seperti ISA, Ordinan Darurat dan beberapa langkah untuk kesejahteraan rakyat hanya kerana desakan suara suara seperti ini.
Sudah tiba masanya Kerajaan memikirkan kaedah terbaik dalam menyelesaikan isu ini secara bijaksana. Saya tertarik untuk mencadangkan dengan mengambil model penyelesaian pinjaman pelajaran melalui kaedah yang telah dinamakan ‘Income Contigent Loan Recovery’ (ICLR). Kaedah ini telah di amalkan dan terbukti Berjaya dibeberapa Negara seperti New Zealand, Australia dan Canada dalam mendapatkan bayaran balik pinjaman pelajaran. Kaedah ini tidak akan menyenaraihitamkan mana mana peminjam malah dilihat lebih adil kepada rakyat secara keseluruhanya.
Melalui ICLR, peminjam yang tidak bekerja tidak perlu membayar pinjaman mereka kepada PTPTN, tapi pembayaran akan bermula sebaik sahaja mereka mula bekerja melalui potongan gaji dengan peratusan yang tidak membebankan mereka, jika sebelum ini PTPTN boleh menerima bayaran walau serendah RM50, jadi saya melihat tiada masalah bagi kerajaan mengimplimentasi kaedah ini.
Pembayaran balik sebaik sahaja peminjam bekerja hanya akan dilakukan oleh PTPTN jika Peminjam memperolehi tahap pendapatan tertentu (threshold )mengikut kesesuaian kos sara hidup di Malaysia. Sebagai contoh, Jika pendapatan yang diperolehi adalah dibawah RM2000, maka tiada potongan akan dibuat tetapi jika melepasi RM2000 ia dilakukan seperti mana pemotongan lain lain potongan KWSP dan Socso itupun dengan nilai yang minima, tidak perlu difikirkan berapa lama mereka boleh menghabiskan pinjaman kerana apa yang diamalkan di US, pembayaran dihadkan hanya selama 25 tahun, jika masih ada pinjaman berbaki selepas 25 tahun maka ia akan dilupuskan (forgiven). Kaedah ini telah meningkatkan kutipan semula sehingga 90% pinjaman pelajaran di New Zealand dalam masa yang amat singkat. Namun begitu mungkin keputusan di Malaysia bakal berbeza, tapi tidaklah seteruk sehingga 400 ribu peminjam yang ingkar dengan nilaian sehingga RM2.8 billion. Lebih menarik, ramai yang Berjaya menyelesaikannya dibawah tempoh 10 tahun.
Jadi, Kementerian , PTPTN dan berbagai agensi terlibat harus melihat dan menilai kaedah ini secara mendalam.
Kepada yang menentang, ingatlah pinjaman PTPTN, 70% darinya adalah untuk kegunaan makan pakai anda yang menjadi darah daging anda, jika anda fikirkan ia hak anda , fikirkan juga ia adalah hak generasi selepas anda yang boleh menggunakan wang itu untuk kegunaan mereka. Jika akad pada awalnya adalah hutang, maka sampai bila bila pun ia tetap hutang. Janganlah mudah terpesona dengan bayangan bandingan Negara luar seperti Norway yang memberikan pendidikan percuma, tapi mengenakan cukai dan kos sara hidup tidak disediakan sama sekali, mereka juga tetap perlu membuat pinjaman. Negara Cuba, walau dikatakan menghasilkan ramai pakar pakar perubatan, tapi jangan dilupa mereka juga ramai menghasilkan pakar pakar jenayah berat seperti dadah dan kongsi gelap. Mengambil contoh kursus perubatan di IPTA , kalau diikutkan kos sebenar ia mencecah sehingga RM166,000 tapi telah disubsidi oleh kerajaan sehingga lebih 90 % dan ia dapat dinikmati oleh rakyat dengan kadar hanya RM9,000 sahaja, dan kalau nilai itu masih tidak mampu dipenuhi tanpa apa apa cagaran PTPTN sedia membantu kerana itulah niat murni mereka.
Menguruskan Negara bukanlah mudah seperti berbicara di Kedai kopi, habis secawan kopi Negara sudah kaya hasil dari idea kita sebelum order kopi tadi.
Kerajaan janganlah terlalu menunjukkan kebodohan sendiri dari mereka mereka yang mencari popularity sementara, kerana diera Pak Lah, kerana terlalu inginkan popularitilah akhirnya menghuru harakan keutuhan Kerajaan.