Melihatkan keadaan pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan ketika ini selepas 100 hari pemerintahan dibawah barisan kepimpinan baru, saya seperti dapat merasakan kerajaan Negeri yang ada pada hari ini adalah lebih tidak stabil dari penggal selepas PRU 11 dahulu, di mana ketika itu PAS berkelebihan hanya 1 Kerusi mengatasi Barisan Nasional Kelantan.

Keadaan ini dijangka akan berterusan bila melihatkan tindakan- tindakan yang diambil oleh pentadbiran baru sentiasa mencetuskan rasa tidak puas hati dikalangan golongan yang kecewa dalam PAS Kelantan sendiri. Ia jelas memperlihatkan pertembungan sebenar 2 puak yang tidak akan reda selagi keinginan tidak dipenuhi. Masing masing mempertikaikan tindak tanduk dalam segala keputusan dalam kerajaan Negeri. Yang sedang memegang kuasa seolah memberi isyarat pentadbiran dahulu banyak melakukan kerosakan sehingga tidak dapat membawa apa apa kebaikan kepada negeri, yang menuntut kuasa pula sentiasa mencari kesalahan dalam pentadbiran baru dengan menimbulkan persoalan persoalan yang membawa sangsi kepada rakyat tentang keupayaan mereka.

Banyak perkara yang dulu dipersoalkan rakyat sebelum PRU13, yang pantas dinafikan sekeras kerasnya oleh kepimpinan terdahulu kini semakin terdedah dengan sendirinya, dan pendedahan dibuat oleh Penyokong PAS yang dulunya bermati matian mempertahankannya. Sebagai contoh dalam isu pemberian pajakan tanah hutan kepada syarikat bukan bumiputra, seperti Liziz Plantation Sdn. Bhd. Dikhabarkan oleh mereka telah menerima pajakan tanah seluas 5000 ekar bukan melalui tender terbuka dengan nilai pajakan RM300,seekar/tahun, sejauh mana kebenaranya hanya mereka yang terlibat mengetahuinya dan wajarlah pentadbiran negeri segera menjawab isu ini kalau tiada apa yang hendak disembunyikan. Isu ini saya lihat seakan membenarkan segala apa yang rakyat persoalkan dahulu tentang penawaran pajakan tanah Yayasan Islam Kelantan (YIK) seluas lebih 10,000 ekar kepada Upayapadu Sdn. Bhd pada harga RM150 seekar/tahun. Apa yang jelas yang lama dengan yang baru sama sahaja gayanya. Seolah 2 kumpulan tikus yang berebut rebut untuk membaiki labu. Tertanya saya kenapa soal isu Liziz Plantation ini dihebohkan sekarang sedangkan Liziz ini sudah lama mendapat tempat dalam hati pentadbiran sebelum ini, dengan banyak tanah-tanah milik negeri telah dipajakkan kepada mereka. Dulu atau sekarang, yang pasti rakyat Kelantan hanya mampu melihat beribu ekar lagi tanah rakyat Kelantan dipajak.

Dipihak Kerajaan Baru pula secara berlapik dan sedikit demi sedikit mendedahkan kepada rakyat tentang kepincangan pentadbiran lama. Jika dulu Gerakan TUKAR berdemo mengantar memorandum mempersoalkan logik Lebuhraya Rakyat (LERAK), pihak Pentadbiran Kerajaan Negeri  ketika itu pantas mencerca dengan menganggap itu satu penghinaan, tetapi apa yang dilakukan ketika itu adalah meminta penjelasan dari pihak Kerajaan Negeri tentang kaedah pembinaan Lebuhraya Rakyat yang dibentang kepada rakyat yang jauh dari logik akal. Dan sekarang pentadbiran baru yang diketuai oleh Dato Ahmad Yaakob secara tidak langsung mengakui bahawa LERAK yang dikemukakan oleh pentadbiran dahulu adalah satu perancangan tangkap muat dan IKUT TERLINTAS (IT), selepas memaklumkan kepada rakyat ia masih diperingkat penilaian oleh perunding baru.

Pertembungan sebenar adalah dilihat kepada pertembungan pro Nik Amar dan pro Husam, yang saling berbalas serangan dari awal pentadbiran baru mengangkat sumpah sehingga sekarang. Jadi dari senario begini maka akan berterusanlah rakyat Kelantan berada dalam keadaan kelam sekurang kurangnya untuk tempoh 5 tahun mendatang.

Jika dalam menghadapi PRU ke 13 Husam melancarkan LEBUHRAYA RAKYAT (LERAK) sambil menyalahkan kerajaan pusat, maka tidak mustahil Nik Amar dalam menghadapi PRU ke 14 nanti akan pula melancarkan LINGKARAN PENYURAIAN ALIRAN TRAFIK (LIPAT) juga untuk menyalahkkan kerajaan pusat . Akhirnya rakyat Kelantan jugalah di ‘LERAK’ dulu, dan bakal di ‘LIPAT’ dimasa akan datang.