IMG_8263

Selamat pulang kepada perantau anak Kelantan yang berduyun duyun mula pulang ke kampong halaman masing masing. Ramai antaranya, kali terakhir pulang adalah lebih kurang 100 hari yang lalu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang rakyat dan mereka kekal memilih PAS untuk meneruskan legasi 23 pemerintahan yang penuh ‘gemilang’, katanya.

Ketika pulang hampir 100 hari yang lepas, mereka pulang dengan semangat untuk mengekalkan Kerajaan PAS Kelantan setelah dijanjikan oleh Husam Musa dan barisan kepimpinan ketika itu tentang bahawa Kelantan bakal memiliki lebuhraya Rakyat (LARAT) menghubungkan Kuala Krai dan Kota Bharu sepanjang 73 kilometer, atau mungkin tercapainya hasrat melihat sebuah Stadium Bermasjid pertama di dunia di Bukit Merbau, yang sudah dijanjikan sebelum pilihanraya lalu. Semua tak dapat menafikan bahawa itulah faktor amat besar yang menyebabkan mereka memilih PAS di Kelantan.

Tapi semua itu hanyalah dapat dilihat di dalam imaginasi masing masing yang terlalu obses dengan janji pentadbiran ketika itu yang galak membuat penerangan kepada mereka tentang betapa mudahnya semua itu akan diperolehi hanya dengan syarat sekali lagi memilih PAS untuk kekal sebagai Kerajaan Negeri Kelantan walau sebelum ini sudah berpuluh tahun PAS memerintah negeri ,dengan hampir kesemua pembangunan yang telah ada disini dilakukan oleh Kerajaan Pusat.

Central Spine Road

Central Spine Road (CSR)

Yang tinggal dan apa yang benar benar dapat dirasai adalah Lebuhraya Lingkaran Tengah (Central Spine Road) di perjalanan pulang semasa memasuki Bentong hingga ke Raub  yang walau belum sepenuhnya siap kerja kerja sedang giat dijalankan, fasa terakhir diberitakan akan disambung hingga ke Gua Musang. Hampir kebanyakan perantau pulang ke Kelantan akan menggunakanya sebagai jalan utama. Bila sampai ke Pasir Hor akan kelihatan persimpangan bertingkat Pasir Hor-Kubang Kerian, Tiba pula di kawasan Wakaf Siku kelihatan jejambat menuju ke Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra yang sudah mula boleh digunakan walau tidak sepenuhnya. Kesemua itu adalah untuk penyuraian trafik di kawasan bandar Kota Bharu yang benar benar semakin sesak untuk menampung anda semua.

Iyalah, sudah menjadi tanggungjawab sebagai kerajaan pusat untuk lakukan itu semua, tanpa mempersoalkan langsung apa pula tanggungjawab kerajaan negeri yang kononnya kaya dengan hasil balak, Kelapa Sawit yang dikatakan mencatat untung berpuluh juta setahun dan bijih besi yang boleh dijadikan kontra untuk janji janji PRU 13 lalu.

Pada Ogos ini, bersekali dengan Hari Raya Aidil Fitri maka hampir genaplah 100 hari pemerintahan PAS di Kelantan dengan mandat baru dan barisan Kepimpinan yang baru dengan penyerahan Kerusi Menteri Besar kepada Dato Ahmad Yaakob dan Timbalannya yang baru Dato Nik Amar, serentak dengan itu juga Dato Husam Musa juga telah tiada dalam senarai exco negeri. Biasanya tempoh 100 hari pemerintahan ini adalah masa untuk rakyat sudah boleh melihat kemana hala tuju atau dasar dasar kerajaan yang pastinya perlu lebih baik dari kepimpinan dahulu disamping mengatasi masalah masalah rakyat yang ditimbulkan sebelum PRU 13 yang lalu.

Tapi, setelah diamati Kepimpinan Kerajaan Negeri sekarang masih terkial kial mencari halatuju dan melunaskan janji janji yang dibuat sebelumnya, dengan masalah air masih menghantui rakyat Kelantan di banyak tempat tanpa penerangan yang jelas apa yang Kerajaan Negeri sedang lakukan untuk mengatasinya. Lebuhraya Rakyat atau LARAT semakin dilihat tidak larat dipikul oleh Kepimpinan baru ,dengan perkhabaran terbaru ia masih diperingkat kajian perunding yang baru untuk diteruskan, persoalanya adakah pengumuman yang dibuat oleh Exco terdahulu belum dikaji sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri, hanya tahu umum dan buat Majlis Pecah Tanah untuk mendapat keuntungan politik semata mata?.

Di pihak penyokong yang tidak bersetuju dengan kepimpinan sekarang, ada yang sudah mula cuba memalitkan kesalahan atas kegagalan meneruskan perancangan terdahulu. Tekanan dari sebilangan penyokong PAS dilihat begitu kuat mula mempersoalkan kebolehan kepimpinan baru untuk meneruskannya. Begitu juga keadaan nya dengan Bandar Sukan Bukit Merbau dengan stadium ikoniknya, yang kini hanya tinggal batu asas yang kesunyian ditemani kambing-kambing sekitar padang ragut kawasan itu. Papan tanda ‘BILLBOARD’ yang mahal mengenai LARAT sudah mula satu persatu digantikan dengan gambar lain. Barangkali untuk rakyat Kelantan lupa tentang janji tersebut.

Sempena 100 hari mandat kepada PAS Kelantan dengan Kepimpinan baru dan mengambil Aidilfitri sebagai hari untuk bermaaf maafan,  maka ada baiknya Kepimpinan Kerajaan Negeri menjelaskan kepada rakyat apa sebenarnya yang berlaku dengan pengumuman kepimpinan terdahulu dan dimana silapnya, kalau ada salah dan silap buat lah permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat yang pulang mengundi mereka, saya pasti anak Kelantan di perantauan akan menerima permohonan maaf ini kerana walau apa berlaku di Kelantan, mereka sudah selesa hidup dan bekerja di negeri negeri bawah pimpinan Kerajaan Barisan Nasional.

Jangan risau, pilihanraya umum akan datang mereka yang telah memilih PAS akan pulang semula untuk memilih PAS asalkan ada janji janji baru yang boleh mereka pegang sebagai alasan, tertunai atau tidak itu bukan masalah mereka.

SELAMAT MEYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN.