tppadel

 

Isu TPPA (Trans-Pacific Partnership Agreement)sudah semakin menjadi hangat diperkatakan mutakhir ini, dengan pelbagai kritikan dan penentangan banyak pihak ia menjadi satu persoalan yang menuntut kerajaan membuat penjelasan apa rasionalnya Malaysia masih mahu menjadi sebahagian dari TPPA. TPPA adalah satu visi kerjasama kawasan perdagangan bebas yang sudah disertai sejak 2006 oleh 4 negara iaitu Brunei, Chile, New Zealand dan Singapura.Kini beberapa Negara seperti Australia, Canada, Japan, Mexico, Peru,USA, Vietnam dan negara kita Malaysia turut sama dalam rundingan yang sudah masuk pusingan yang ke 18 di Sabah baru baru ini. TPPA dikatakan mempunyai potensi sebagai blok pembangunan intergrasi ekonomi untuk Wilayah  Asia Pasifik. Ia juga dilihat oleh negara yang menyertainya bakal menghapuskan atau mengurangkan halangan perdagangan dan pelaburan dikalangan negara angota untuk lebih berkembang dengan ruang pasaran menjangkau sehingga lebih 700juta penduduk dunia.

Di Malaysia, ia dilihat oleh pihak pengkritik amat tidak menguntungkan negara, malah bakal menjerumuskan negara kepada kawalan ekonomi yang total oleh US, Negara juga bakal berdepan dengan masalah kedaulatan yang dilihat dipertaruhkan untuk memenuhi syarat yang dikenakan dalam TPPA terutamanya dengan meletakkan ISDS (Investor State Dispute Settlement) sebagai salah satu dari syarat dalam TPPA. Dan untuk pengetahuan  semua Negara telah mempunyai 74 perjanjian perdaganagan 2 hala yang mempunyai elemen ISDS dan sehingga kini tiada banyak masalah yang dihadapi oleh Negara. Banyak pengkritik telah mempersoalkan pelbagai perkara dalam TPPA yang memerlukan jaminan yang konkrit dari kerajaan.Dari 29 bab dalam TPPA diberitakan hanya 5 bab sahaja yang berkaitan dengan Perdagangan selebihnya adalah berkaitan dengan perkara yang menyentuh harta intelek, peningkatan kos perubatan, jaminan terhadap SME dan yang paling utama adalah kedaulatan negara.

 

Tapi dalam memberi penerangan dan dialog dengan rakyat untuk mendapat input, tindakan Kerajaan membiarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Datuk Seri Mustapa Mohamed secara bersendirian menanganinya adalah amat tidak wajar. Kenapa tidak Kementerian lain yang berkaitan seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Pengguna dan lain lain kementerian berkaitan turut sama bersama dengan rakyat memberi penerangan dan mendapatkan input mengikut bidang masing masing. Kerana semua sudah sedia maklum Keputusan untuk menyertai rundingan TPPA ini adalah keputusan kabinet secara kolektif.

Keputusan MITI dalam berdialog dengan pemain industri adalah satu keputusan yang amat baik dalam memperolehi maklum balas dan cadangan untuk dibawa kedalam rundingan tersebut, tapi persoalanya kenapa hanya MITI sahaja bukan kementerian-kementerian lain. Yang jelas sesuatu harus dilakukan dalam hal ini untuk mengelakkan mereka yang berniat untuk mengagalkanya seterusnya mengekalkan kelangsungan segelintir pihak untuk memonopoli pasaran.

Di pihak pengkritik pula yang terdiri dari pakar pakar ekonomi, undang undang dan perlembagaan hanya mencanangkan kesan buruk dari TPPA ini, di Pihak Kerajaan sentiasa dengan kebaikan dari penyertaan Negara dalam TPPA untuk mengembangkan ekonomi negara. Satu kaedah selari yang tidak akan bertemu titik persamaan. Jarang sekali ada pihak baik dari pengkritik, pakar pakar ekonomi mahupun kerajaan berbicara tentang kesan yang bakal berlaku jika kita tidak menyertai TPPA.

Sebagai contoh, apakah harga Ubat ubatan bakal lebih rendah atau kekal sama bilamana negara lain yang menyertai TPPA ini yang memegang hak paten bagi ubat tersebut sudah bersetuju sesama mereka dalam isu paten ini, sudah tentu kos penghasilan ubat generik juga akan meningkat, dan apa pilihan yang kita ada untuk menanganinya?. Apa akan jadi jika kita menarik diri dari TPPA, sebaliknya baki dari 60 negara pasifik lain secara beransur ansur menyertainya?.

Sebagai seorang yang bukan pakar dalam ekonomi saya tertanya tanya juga, jika kita tidak menyertainya apakah akan terjadi pada eksport barangan kita dengan negara negara angota dalam TPPA, adakah ia kekal seperti sebelumnya atau mereka mengenakan berbagai tekanan serta kekangan peraturan untuk mengimport barangan kita?. Apakah keupayaan negara kita dalam melabur di negara angota ini akan terjejas dengan tidak menyertai TPPA ini, apakah keupayaan kita nanti dalam menentukan syarat dalam TPPA ini akan tetap sama bilamana pasaran sudah menjadi tidak memihak kepada kita dan untuk kekal berdaya  saing demi kelangsungan ekonomi kita terpaksa tunduk kepada tekanan pasaran?.

Mungkin memandang kerjasama dengan blok negara negara lain adalah satu alternatif, tapi kemanakah halatuju kita seterusnya dalam merangka strategi baru. Adakah ke negara negara Arab yang seperti mana kita tahu semakin tidak stabil dalam soal politik mereka atau kenegara China dan Korea yang jauh meninggalkan kita dari segi daya saing ekonomi. Apa kepakaran atau barangan kita yang boleh dijadikan eksport kesana?, kerana setiap apa yang kita lakukan mereka boleh melakukan dengan berkali ganda lebih murah, akhirnya kita hanya menjadi pengimport dan pengguna sahaja barangan mereka.Pemain pemain industri, NGO berkaitan dan pengritik juga dilihat menunjukkan penentangan yang nyata dengan hanya berbicara soal keburukan TPPA lantaran kerana sudah selesa dengan pasaran yang dilindungi kerajaan dalam, seboleh boleh tidak mahu kerajaan membuka pasaran kepada pihak luar disamping merasakan diritidak mampu meneroka pasaran pasaran baharu yang lebih mencabar, walhal mahu tidak mahu di satu peringkat bila landskap ekonomi dunia berubah mereka juga akan kehilangan daya saing dan akan menyalahkan juga pihak kerajaan.

 

Parti pembangkang, sebelum pilihanraya berjuang untuk kerajaan meliberalisasikan pasaran untuk memberikan hak samarata kepada semua rakyat dengan menghapuskan DEB dan unsur monopoli sudah bernada lain dengan mula memperkatakan perlunya perlindungan terhadap industri di Malaysia. Bukankah melalui pasaran terbuka sebegini akan memungkinkan Kerajaan tidak lagi mengenakan duti kenderaaan import yang tinggi untuk melindungi industri kenderaan Nasional, dan secara automatiknya pemain industri tempatan akan mula memikirkan tentang kualiti dan kos yang lebih kompetatif untuk ditawarkan kepada pasaran. Sekarang Kerajaan sedang cuba berunding untuk menawarkan kepada rakyat Malaysia kek ekonomi yang lebih luas untuk direbut , tapi  sekarang kenapa menentang? ada baiknya mereka mula bersama sama kerajaan memberikan input yang lebih bermakna untuk dibawa kedalam meja rundingan TPPA sebelum ia dimuktamadkan atau ada cadangan lebih berkesan untuk negara lakukan dengan lebih baik jika tidak bersama TPPA ini. Tetapi yang ketara tujuan mereka tidak lain dan tidak bukan hanya mahu menunggang isu ini untuk kepentingan politik semata mata, atau mereka ini ditaja oleh TYCOON BESAR yang sudah selesa dengan monopoli mereka. Fikir fikirkanlah….