Selesai sudah Pilihanraya Kecil DUN Kuala Besut, yang menyaksikan kawasan majoriti melayu itu telah sekali lagi memilih Barisan Nasional untuk kesekian kalinya. Barisan Nasional tidak sepatutnya mengambil keputusan itu dengan perasaan bangga, sebaliknya banyak pengajaran berguna yang dapat diekstrak sebagai panduan menghadapi Pilihanraya akan datang atau pilihanraya kecil yang lain.

Semua Pemimpin UMNO dari setiap Negeri bertumpu di Kuala Besut baru baru ini dan sepatutnya sudah mula buka mata bagaimana seorang calon muda boleh memenanginya dengan pertambahan majoriti tanpa ada sabotaj dalaman dalam parti. Walau calon yang diketengahkan bukan dari kalangan yang berjawatan dalam Bahagian tetapi apa yang ditawarkan kepada rakyat oleh UMNO Besut adalah contoh apa yang di dambakan oleh rakyat selama ini, seorang calon yang muda dari kalangan professional dan mempunyai latarbelakang agama (anak seorang Ustaz). Dalam kes ini PAS dilihat hilang punca semasa berkempen.

Tidak banyak atau hampir tiada langsung kedengaran suara suara sumbang dalam kalangan UMNO Besut yang mahu memboikot calon yang ditampilkan, dan itulah sebenarnya yang membawa kepada kejayaan ini.Sesungguhnya, Rakyat dibawah yang bukan ahli UMNO sudah lama mahu melihat pelapis yang berwibawa ditampilkan sebagai pemimpin.

Musim pemilihan UMNO telahpun bermula dengan mesyuarat cawangan masing masing sejak 15 Julai lalu, dan inilah masa yang terbaik untuk UMNO disetiap bahagian dan peringkat mula mengenengahkan pemimpin pelapis yang bercirikan Tengku Zaihan untuk berada di saf kepimpinan di setiap bahagian supaya tidak timbul lagi isu kesukaran rakyat setempat memberi undi kepada UMNO, kerana akhirnya nanti adalah yang memilih Adun atau Ahli Parlimen adalah rakyat keseluruhan bukan hanya Ahli UMNO sahaja.

Berilah peluang kepada golongan muda, professional, berilmu dan berani memupuk bakat kepimpinan dalam organisasi UMNO, janganlah takut kepada bayang-bayang sendiri untuk mengenengahkan pemimpin sebegini. Kerana jika ini berlaku, sama ada mereka tidak mempedulikan langsung soal membela maruah bangsa dan agama atau mereka nanti akan beralih kepada platform pembangkang dan dibelakang mereka nanti adalah rakyat yang terpikat dengan idea dan hujah kreatif mereka. Tinggallah dalam UMNO nanti mereka yang tidak mampu berhujah bila berdepan dengan isu, tidak mampu mempertahankan dasar walau ia benar, kerana daya berfikir hanya tertumpu untuk berpolitik dalam bahagian sahaja.

Saya amat setuju Tun M kata melayu memilih UMNO kerana mereka tiada pilihan, maka jesteru itu perkasakanlah UMNO. Tidak selamanya mereka akan terus memilih UMNO jika masih dibuai dengan mimpi mimpi indah mereka yang pandai berretorik untuk nama, pangkat dan kedudukan.