Saya merasa amat kesal, apabila tiba-tiap kali bulan Ramadan, pelbagai tindakan dibuat untuk memastikan pelbagai pihak menghormati bulan mulia umat Islam ini. Mengapa perlu ini semua? Lemah sangatkah iman kita umat Islam sehingga memaksa pelbagai tindakan dan halangan terutama kepada umat bukan Islam supaya menghormati bulan Ramadan.

Bukankah rasa hormat itu hanya timbul dari kesedaran dan bukan dari perlaksanaan peraturan itu dan peraturan ini.

Menghormati Ramadan?

Saya tidak berminat mengulas panjang tentang kejadian dimana pelajar bukan Islam SK Sri Pristina di Sungai Buloh disyaratkan hanya makan di dalam bilik persalinan sewaktu rehat. Siasatan sudah dimulakan oleh pihak berwajib. Apakah alasan sebenar pihak sekolah mengenakan peraturan makan di dalam bilik persalinan akan terjawab tidak lama lagi. Ia pasti akan disusuli dengan tindakan sewajarnya.

Makan boleh dimana-mana, asalkan ia tertib dan menghormati makanan itu sendiri. Tempatnya mesti bersih dan tidak mengganggu selera untuk makan. Memilih bilik persalinan sebagai tempat makan, seawalnya telah menimbulkan kontroversi dan boleh mengundang pelbagai fitnah. Islam sentiasa meminta kita menjauhi fitnah dan mengelak perbuatan yang  boleh menimbulkan fitnah. Apakah lagi dibulan Ramadan ini, bila hanya pelajar bukan Islam yang menggunakan bilik persalinan untuk makan maka akan membuka pintu fitnah bahawa pihak sekolah mengeluarkan arahan ini kerana mahu melindungi pelajar-pelajar Islam dari tergoda dengan makanan yang dibawa dan dimakan oleh pelajar yang tidak berpuasa.  Sedangkan berpuasa itu bukan sekadar untuk menahan lapar dan dahaga tetapi untuk menahan diri dari segala cabaran. Menahan diri dari berdepan dengan cabaran bukanlah dengan menyembunyikan cabaran tetapi dengan berdepan dengan cabaran tersebut.

Pokok tulisan saya ini adalah bagi meluahkan rasa amat tidak bersetuju saya dengan pelbagai arahan meminta pelbagai pihak bukan Islam menghormati bulan Ramadan. Buatlah apa yang kamu mahu, itu hak kamu dan Islam yang saya pelajari melindungi hak kamu dan kebebasan kamu itu selagi kamu tidak melanggar hak dan kebebasan kami umat Islam untuk beribadah dan beriman kepada Allah SWT.

‘Arab Columbus’ di Greenland

Semalam isteri saya menceritakan tentang satu artikel mengenai umat Islam tunggal di Greenland (link). Wassam Azaqeer seorang warga Lubnan adalah muslim tunggal di benua ais. Wassam tinggal di Nuuk, ibu negara Greenland dan kerana sekarang adalah musim panas di hemisfera utara, bererti di Greenland, Wassam terpaksa berpuasa untuk 21 jam sehari. Baki tiga jam pula adalah untuk diisinya dengan berbuka puasa, solat Maghrib dan Isyak, kemudian berterawih sebelum bersahur untuk kembali berpuasa.

Wassam yang dikenali sebagai ‘Arab Columbus’ adalah seorang ahli perniagaan berjaya di Nuuk. Dia memiliki sebuah restoran dengan lebih 200 pelanggan setiap hari.

Wassam mengakui cabaran yang dihadapinya berpuasa di musim panas di Greenland benar-benar mengujinya bahkan terlintas untuknya tinggalkan Greenland dibulan Ramadan dan berpuasa di negeri tumpah darahnya di Lubnan. Tetapi kesedaran dan keinsafan membuatnya tekad terus berpuasa di Greenland. Bak kata Wassam, kalau dia tinggalkan Greenland, siapakah yang akan berpuasa dan bersolat di bumi Allah itu!

Bagi saya, Itu adalah Islam!