Azlan Endut (Che Long)

Azlan Endut Yusof (Che Long)

 

“Bahawa Saya Azlan Endut Yusof berikrar untuk patuh pada hukum Allah dan Rasulnya serta patuh kepada arahan pucuk pimpinan parti yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Bahawa Saya bersumpah dengan nama Allah, Wallahi, Wabillahi, Watallahi sekiranya saya meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan kerelaan saya sendiri setelah dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) , maka saya akan dilaknat oleh Allah, Rasul, orang yang beriman serta sekalian yang melaknat.”

 

“Dan segala perbelanjaan saya dengan menggunakan wang elaun ADUN adalah haram dan bahawa saya juga bersumpah dengan nama Allah, Wallahi, Wabillahi, Watallahi untuk meletakkan jawatan dari menjadi ADUN apabila saya keluar atau dipecat dari parti dan Allah bersaksi atas apa yang saya tuturkan ini.”

 

Begitulah bai’ah yang dilafazkan oleh Calon PAS Dun Kuala Besut, Che Long. Untuk menunjukkan kepada pengundi di Kuala Besut bahawa beliau serius dalam usaha merampas kerusi Dun tersebut. Tapi terfikir juga saya adakah 15 adun PAS Terengganu yang lain tidak pernah mengambil elaun sebagai wakil rakyat setelah mereka dilantik menjadi ADUN. Jadi ada baiknya semua adun PAS yang lain walau sudah menjadi ADUN wajarlah mengikut jejak langkah Che Long ini bagi membuktikan mereka sememangnya berjuang untuk rakyat. Persoalannya berapa ramai yang sanggup?.

 

Iktikad Che Long dalam melafazkan bai’ah kedua itu adalah beliau tidak memerlukan elaun sebagai ADUN kerana selama ini kerjaya beliau sebagai Kontraktor Kelas A telah berjaya membuat dirinya tidak memerlukan elaun tersebut, malah dikatakan beliau selalu menyebut bahawa sebelum ini setiap bulan menderma RM5000. Tahniah kepada Kerajaan Pusat kerana tidak pernah mendiskriminasi Ahli PAS walaupun beliau berjawatan Bendahari dalam PAS Besut. Asalkan beliau berkelayakan dalam apa yang beliau lakukan maka tiada sebab kerajaan mahu sekat rezeki sesiapa.

 

Che Long mungkin mahu mengikuti jejak langkah salah seorang ADUN VETERAN dari Kelantan yang tidak mahu tinggal dirumah rasmi KERAJAAN, tapi sebaliknya menerima juga elaun perumahan dan kenaikan elaun elaun lain. Jelas dalam hal ini Che Long perlu banyak belajar lagi bagaimana mahu menjadikan apa sahaja yang kita buat kelihatan sempurna dan tak nampak cacat celanya dimata rakyat, sehingga rakyat melihat ia satu perbuatan yang ZUHUD tanpa ‘takwil’.

Dari sudut pandang lain pula bai’ah yang pertama dianggap biasa dikalangan ADUN PAS, tapi bai’ah yang kedua itu kelihatan seperti terdesak untuk memperolehi sokongan rakyat. Entah siapa yang menasihati beliau berbuat demikian Wallahualam, hanya beliau yang tahu.

Apa yang terserlah dari sikap dan pertuturan Che Long dalam memenangi hati pengundi adalah disebabkan beliau sudah merasakan bahang bertanding di kubu kuat BN. Mana tidaknya kekuatan BN lebih kurang 3 bulan yang lepas menyaksikan BN menang 7 dari 9 peti undi dikawasan tersebut. BN hanya tewas di peti undi Kampung Nangka dan Bukit Puteri kedua duanya adalah kurang dari 100 undi majoriti. Manakala sepertimana tekad melebarkan majoriti kepada 4000 undi  yang sudah dlaungkan oleh Datuk Seri Idris Jusoh, membuatkan PAS merasa serba tak kena dalam mengatur strategi.