Ilustrasi Mesin Pengembaraan Masa.

Kelantan Mahu Batalkan Perjanjian Dengan Petronas – Peguam

Seorang peguam hak asasi manusia dilaporkan oleh lidah rasmi PAS sebagai menyarankan Kerajaan PAS Kelantan memohon mahkamah membatalkan Perjanjian Suratcara yang dimeterai antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petronas pada 9 Mei 1975. Kenyataan itu dibuat menjelang perbicaraan kes saman Kerajaan PAS Kelantan terhadap Petronas dan Kerajaan Malaysia berhubung tuntutan bayaran kewangan hasil eksploitasi petroleum di luar pantai Kelantan. (Rujuk)

 

Apakah Beliau Faham Implikasi Daripada Tuntutannya Itu?

Beliau mungkin berpendapat bahawa dengan pembatalan perjanjian itu maka Kelantan akan dapat membuat terokaan sendiri di Laut Cina Selatan. Pendapat itu mungkin datang dari rasa percaya kepada hujah pihak tertentu yang mengatakan bahawa hak Kerajaan PAS Kelantan adalah lebih dari 3 batu nautika.

Sejauh manakah lebar kawasan pantai wilayah Kelantan sebelum ianya menyertai Persekutuan Tanah Melayu? Mengikut ketetapan yang diterima pakai di seluruh dunia, lebar perairan wilayah setiap kerajaan yang bersempadan dengan pantai ialah 3 batu nautika.

Itu sepatutnya lebar perairan Kelantan sebelum ia menyertai Persekutuan tanah Melayu.

 

Dari Mana Datangnya Jarak 3 Batu Nautika Itu?

3 batu nautika itu asalnya daripada peraturan tembakan meriam atau cannon shot rule yang boleh dikesan sejak abad 17 lagi. Peraturan tembakan meriam ini berasal dari Belanda dan didokumenkan oleh seorang pakar perundangannya.

 

Mengapa Kelebaran Perairan Wilayah Dikira Mengikut Jarak Tembakan Meriam?

Dalam pemahaman mudah, keluasan sesebuah wilayah ialah bergantung kepada sejauh mana keupayaan sesebuah kerajaan untuk mempertahankan kedaulatannya. Kalau kawasan itu diluar keupayaan kerajaan itu untuk mempertahankannya, bagaimana ia mahu mendakwa wilayah itu miliknya?

Oleh yang demikian, pada ketika itu sebelum ada satu peraturan yang dipersetujui oleh semua negara, maka keluasan wilayah sesebuah kerajaan diterima pakai berdasarkan keupayaan kerajaan mempertahankan wilayah itu. Mudah.

Maka keupayaan sesebuah kerajaan mempertahankan wilayah lautnya dari darat disukat mengikut keupayaan tembakan meriamnya. Disebabkan kebiasaan jarak tembakan meriam pada waktu itu lebih kurang 3 batu nautika maka lama kelamaan jarak 3 batu nautika mula diguna menyukat kelebaran wilayah laut sesebuah kerajaan.

Bagaimana PAS Kelantan mahu membuktikan lebar wilayah lautnya sebelum menyertai Malaysia adalah lebih dari 3 batu nautika? Berapa kuat keupayaan tentera dan angkatan laut Kelantan sebelum ia menyertai Malaysia. Apakah ia begitu kuat dan mampu mengawal wilayah yang lebih dari keupayaan lazim kerajaan-kerajaan lain waktu itu?

Sejauh manakah angkatan laut Kerajaan Kelantan menguasai Laut Cina Selatan untuk PAS Kelantan mendakwa bahawa lebar laut miliknya sebelum menyertai Persekutuan Tanah Melayu adalah lebih dari 3 batu nautika.

Mereka yang mendakwa bahawa hak Kelantan adalah lebih dari 3 batu nautika sebelum menyertai Persekutuan Tanah Melayu perlu mengemukakan bukti-bukti dan carta-carta pelayaran angkatan laut Kelantan ketika itu.

 

Dari Tembakan Meriam Ke UNCLOS

Pada tahun 1945, Presiden Truman membuat perisytiharan bahawa hak Amerika untuk meneroka dan mengeksploitasi pelantar benua adalah lebih dari 3 batu nautika. Pada 1953 pula, Kongress Amerika Syarikat meluluskan undang-undang berhubung kawalan pusat dan negeri terhadap pelantar benua.

Apakah Negeri Kelantan pernah membuat perisytiharan sedemian sebelum ia menyertai Persekutuan Tanah Melayu? Jika ada maka Kerajaan PAS Kelantan perlu mengemukakan maklumat tersebut supaya kita semua jelas bahawa lebar perairan Kelantan adalah lebih dari 3 batu nautika sebelum ia menandatangani perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 21 Januari 1948.

Perlembagaan Persekutuan menjamin hak dan keluasan wilayah Negeri Kelantan selepas penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 adalah sama seperti sehari sebelum penubuhan persekutuan tersebut. Di dalam erti kata lain, Kerajaan PAS Kelantan hari ini perlu membuktikan lebih dari sekadar air liur bahawa hak dan lebar keluasan pantainya sebelum menyertai Persekutuan Tanah Melayu adalah melebihi ketetapan yang diguna pakai pada ketika itu.

Pada tahun 1956, satu persidangan bermula di Geneva, Switzerland yang akhirnya melahirkan 4 ketetapan pada tahun 1958. Dengan itu lahirlah ketetapan-ketetapan yang dipanggil sebagai United Nation Convention on the Law of the Sea (UNCLOS).

Hendaklah diingatkan bahawa pada tahun 1956, Kelantan bukan lagi sebuah wilayah yang dipanggil negara kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu.

Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia menandatangani dan mengiktiraf UNCLOS termasuklah ketetapan pada tahun 1994. Ketetapan UNCLOS menentukan lebar wilayah laut setiap negara sahaja. Wilayah laut bagi negeri-negeri dibawah sesebuah negara tidak tertakluk dibawah UNCLOS. Oleh yang demikian, kelebaran laut bagi setiap negeri di dalam sesebuah negara ditentukan oleh undang-undang negara itu sendiri.

UNCLOS – Hijau Tua – Negara yang menandatangani dan mengesahkan. Hijau Muda – Negara yang menandatangani sahaja. Kelabu – Tidak menandatangani.

 

Implikasi Pembatalan Perjanjian Dengan Petronas

Bagi membatalkan perjanjian tersebut, Kerajaan Kelantan perlu membuktikan bahawa Petronas telah tidak memungkiri perjanjian tersebut. Apakah Petronas telah memungkiri perjanjian itu?

Secara peribadi saya berpendapat, sekiranya perjanjian suratcara itu dibatalkan, ia tidak akan memberi apa-apa kesan kepada eksploitasi petroleum di Laut Cina Selatan. Tanpa perjanjian itu, lebar laut Kelantan masih 3 batu nautika mengikut segala perundangan yang sedia ada.

Sekiranya Kerajaan PAS Kelantan mahu berhujah dari segi Perlembagaan Persekutuan, maka mereka perlu buktikan bahawa lebar pantai mereka sebelum 1948 melampaui 60 batu nautika kerana di situlah baru bermula penemuan telaga-telaga gas dan minyak di Laut Cina Selatan.

Apakah tembakan meriam Kelantan pada sehari sebelum penubuhan Persekutuan Tanah Melayu melebihi jarak 60 batu nautika?

Husam Back To The Future

Berdasarkan pengumuman YB Dato’ Haji Husam Musa mahu membina keretapi laju yang boleh memendekan perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur kepada hanya 1 jam, kita rasa tentu tidak pelik jika Husam dalam masa terdekat akan mengumumkan pula pembinaan Mesin Pengembaraan Masa yang menjanjikan kita akan boleh mengembara ke mana-mana zaman hanya dengan sekelip mata.

Salah satu adegan dalam filem Back To The Future, apakah kita akan lihat aksi ini antara Husam dan ‘Dato’ Nazeri Deraman (NGO R)

Husam boleh berjanji misi pertama mesin itu ialah untuk mengembara ke zaman sebelum Kelantan menyertai Persekutuan Tanah Melayu dan untuk membina meriam yang boleh menembak lebih dari 60 batu nautika. Atau Husam boleh kembali ke zaman Cheng Ho dan memujuk Cheng Ho mencatatkan dalam buku lognya bahawa lebar pantai Kelantan melebihi 60 batu nautika.

Berjanji memang mudah. Bulan bintang dan matahari bukan halangan membuat janji.

Bolehlah NGO-NGO mesra PAS Kelantan mula mengutip derma untuk menubuhkan mesin ‘Pengembaraan Masa’.