Salah satu adegan di dalam filem yang telah tiga kali ditukar tajuknya.

Update 3.07pm-

Teringat saya ketika duduk di Pejabat Am di Pejabat seorang Exco Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 2009. Saya terjumpa sebuah buku yang menulis tentang isteri-isteri Rasulullah S.A.W dan saya merasa malu bila membelek buku itu yang menceritakan perihal dalam selimut yang kononnya menjadi amalan Baginda dengan isteri-isterinya. Bahkan ada menceritakan bagaimana  Rasulullah kononnya mengadakan hubungan seks dengan kesemua isterinya dengan hanya satu kali mandi wajib. Iaitu selepas seorang isteri, Rasulullah memasuki pula khemah isteri yang lain dan begitulah seterusnya. Buku ini dikarang oleh seorang yang mengaku Islam dan dibaca oleh mereka yang memperjuangkan Islam. Saya rasa kesal dan terkilan dengan penerbitan buku itu. Bagaimanapun itu hanya pandangan peribadi saya sebab ramai orang kita kata kita tidak boleh membenci atau malu dengan sunnah Rasulullah. Saya sayangkan Rasulullah S.A.W dan kesal ini berlaku. Sefaham saya Islam mengajar kita membuat penilaian menggunakan akal dan bukan hawa nafsu. Itulah yang membezakan kita dengan haiwan.

Original posting

Saya sentiasa merasakan kita sebagai umat Islam begitu cepat melatah apabila kita merasakan ada pihak mempersendakan agama kita. Peliknya kita boleh pula ketawa bila ustaz dan lebai kita mempersendakan agama dan ajaran lain di dalam program-program keagamaan kita?

Setelah menonton filem bertajuk ‘Innocence of Muslims’ arahan seorang yang dikatakan bernama Sam Bacile, sekali lagi saya bertanya soalan yang sama. Bahkan lebih banyak persoalan yang saya terus bertanya sebagai seorang muslim di dalam sebuah masyarakat Islam.

Berapa ramaikah diantara kita yang sebenarnya telah menonton filem itu dari awal hingga akhir? Saya yakin jika anda ada setitik sahaja ilmu di dalam bidang perfileman, sudah cukup untuk anda berkata bahawa filem tersebut sebenanrya tidak layak dibicarakan. Ia sungguh amatur dengan pengarahan yang amat lemah. Penceritaan yang begitu hambar. Filem itu sebenarnya tidak akan ke mana pun. Tetapi terima kasih kepada kita umat Islam yang begitu cepat melenting, akhirnya filem itu menjadi terkenal di seluruh dunia.

Menurut sumber media di Amerika Syarikat, pengarah filem itu mengaku kononnya dia menggunakan dana sebanyak USD5 juta untuk pembikinan filem tersebut. Walaupun saya tidak pernah membikin filem di US, tetapi saya amat yakin walaupun di US, kos pembikinannya tidak mungkin mencecah USD5 juta. Para pelakon filem tersebut juga mengaku mereka ditipu kerana tajuk asal filem itu ialah ‘Desert Warrior’ dan premis asalnya tidak berkisar terhadap Islam. Bahkan tiada watak bernama Muhammad serta tiada satu ungkapan dialog pun yang menyebut perkataan Muhammad. Sebaliknya di dalam lakon layar asal filem tersebut, watak utamanya bernama George. Bagaimanapun nama George telah digantikan dengan Muhammad di dalam proses pasca produksi tanpa pengetahuan para pelakonnya.

Salah satu adegan watak bernama George di dalam filem yang tajuk asalnya ‘Desert Warior’

Perenggan di atas sudah cukup menjelaskan siapa Sam Bacile yang kini dikatakan sudah menyembunyikan diri. Filem tersebut pernah ditayangkan pada umum dan hanya ditonton oleh 10 orang penonton sahaja. Ketika itu tajuk filem tersebut ialah kepada ‘Innocence of Bin Laden’.

Akhirnya terima kasih kepada kita umat Islam sekalian, filem tersebut tiba-tiba meletup menjadi blockbuster musim luruh.

Kita perlu bertindak waras di dalam soal sebegini. Islam mengajar kewarasan dan diplomasi. Ia terpancar pada setiap sifat-sifat Allah S.W.T. Apa yang kita patut buat ialah meminta YouTube supaya menarik balik filem tersebut dari disiarkan oleh YouTube. Jika YouTube boleh bertindak pantas di dalam kes video Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tidak mustahil YouTube tidak boleh berbuat yang sama di dalam kes filem sebegini.

Tidaklah perlu kita memijak, membakar dan menunjukkan punggung kepada bendera Amerika Syarikat dan Israel. Islam tidak akan berkembang dan dihormati dengan penampilan emosi tidak terkawal oleh kita. Hanya nilai-nilai positif yang akan membuat Islam dan penganutnya di terima dengan penuh kesyukuran.

Walau kita gagal belajar dari insiden-insiden serupa sebelum ini, tetapi saya berdoa agar insiden kali ini akan mengajar kita untuk tidak lagi memperkecilkan dan membuat lawak jenaka terhadap agama dan ajaran orang lain. Seterusnya insiden kali ini akan tidak menenggelamkan Islam dari nilai-nilai murni yang menjadi aturan aturan cara hidup Islam sebenar.

Semoga Islam terus dihormati dan bukan ditakuti.