update 11.30 pm –

Terdapat tidak lebih 1,500 orang menghadiri ceramah raksasa di Perkarangan Rumah Ketua Cawangan UMNO Bendang Luas, jumlah ini termasuklah peniaga-peniaga yang membuka gerai-gerai di tepi jalan.

Posting asal –

Tinjauan ke majlis jamuan hari raya PAS di perkarangan rumah Ketua UMNO Cawangan Bendang Luas dalam DUN Wakaf Baru mendapati fenomena yang amat mengejutkan. Ini kerana jamuan yang sepatutnya bermula jam 12 tengahari itu langsung tidak mendapat sambutan yang menggalakkan.

Tidak mahu mempercayai maklumat yang kami terima, kami berkunjung sendiri ke perkarangan rumah Ketua Cawangan UMNO itu dan menyaksikan sendiri ada 10 buah kereta tetamu pada jam 2.40 petang tadi sedangkan pihak PAS mendakwa tetamu akan ramai selepas solat Zuhur.

Majlis hari raya PAS di kediaman itu sebelum ini dijangka akan mendapat sambutan luarbiasa kerana ia adalah julung kali berlaku menjelang Pilihanraya Umum Ke 13 bila PAS dan Ketua Cawangan UMNO dapat bekerjasama di dalam majlis yang sebegini bermakna.

Sebelum ini PAS sentiasa menolak tawaran oleh UMNO di pelbagai peringkat untuk mengadakan kerjasama di dalam pelbagai bentuk terutamanya hal politik dan masalah tempatan.

Kemungkinan juga sambutan hambar ini berikutan adanya tentangan dari akar umbi PAS di beberapa unit peti undi yang dikatakan tidak berpuas hati dengan habuan yang akan diberikan kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang menyertai PAS menjelang pilihanraya umum akan datang.

Beberapa penduduk di bawah peti undi Chabang Empat pula mendakwa menerima sms dari wakil PAS di kawasan tersebut yang melahirkan rasa tidak puas hati kerana beranggapan keistimewaan yang diberikan kepada pemimpin UMNO itu tidak ubah ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Sementara itu, menurut sumber dari wakil PAS Pasir Pekan pula, sejak awal pagi mereka ada menerima maklumat ahlinya di Wakaf Baru menyebarkan risalah memaparkan keratan hadis Rasulullah S.A.W yang mengeji pemberi dan penerima rasuah.

Sementara itu pada malam ini, sebuah ceramah umum akan diadakan dengan 6 penceramah dijemput termasuklah YB PAS Tumpat, ADUN PAS Wakaf Baru dan Nik Aziz sendiri.