Seorang Ketua UMNO dari sebuah Dewan Undangan Negeri yang diramalkan akan dimenangi oleh Barisan Nasional dalam PRU ke 13 akan tinggalkan UMNO pada minggu hadapan.

Tindakan itu dibuat oleh pemimpin tersebut setelah beliau ditawarkan ‘ratusan ekar tanah’ di sempadan Gua Musang – Kuala Krai oleh seorang pemimpin PAS dalam Kerajaan Negeri Kelantan yang juga tokoh  PAS Pusat. Tawaran itu diputuskan dua minggu lepas di Kompleks Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Sebagai syarat yang dikenakan untuk mendapat habuan ‘ratusan ekar’ tanah itu, Ketua UMNO tersebut hendaklah mengumumkan keluar UMNO dan menyertai PAS serta hadir memberi ceramah di pentas PAS di Parlimen Tumpat pada pertengahan minggu hadapan.

Ketua UMNO itu hadir ke Kota Darulnaim dua minggu lepas bersama seorang bekas Pegawai Daerah yang turut pernah memegang jawatan di sebuah anak syarikat milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan. Tujuan beliau ke sana ialah untuk mengadu berhubung permohonan tanah oleh beliau yang sudah beberapa tahun tidak dilayan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Di dalam pertemuan tersebut Ketua UMNO itu dimaklumkan permohonannya hanya akan diluluskan sekiranya beliau bersetuju untuk menyertai Parti PAS dan membuat ceramah di perkarangan rumah pemimpin PAS yang ditemuinya di Kota Darulnaim itu.

Pemimpin PAS Kelantan yang membuat tawaran rasuah itu juga adalah salah seorang Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan.

Sebelum ini Ketua UMNO tersebut mengaku pernah memberikan wang sejumlah RM30,000 kepada seorang Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Persiapan telah dibuat untuk meraikan kemasukan Ketua UMNO ini pada pertengahan minggu hadapan, antara lain untuk melemahkan jentera BN di DUN tersebut. Sementara itu beberapa pihak yang mengetahui hal ini sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.