Pada kenyataan selepas solat subuh kelmarin, YAB Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat melahirkan rasa gembiranya terhadap surat yang diterima dari Perdana Menteri Malaysia berhubung penubuhan jawatankuasa mengkaji semula Bayaran Tunai kepada negeri. Ternyata Nik Aziz begitu ikhlas meluahkan perasaannya.

Tetapi ia tidak berpanjangan kerana bila YB Husam Musa, Exco Kerajaan Negeri Kelantan menjejakkan kaki di KLIA selepas pulang dari luar negara, terus sahaja Husam mempertikaikan dan membuat kenyataan yang bertentangan dengan semangat Nik Aziz sebelumnya. Akibatnya pada sebelah malam, Nik Aziz terpaksa berubah nada. Nik Aziz terpaksa juga melahirkan sentimen berlainan supaya selari dengan Husam.

Hari ini Husam dalam kenyataan di HarakahDaily dilaporkan berkata, “Kita tidak akan tarik balik saman terhadap PETRONAS dan prosidingnya akan didengar oktober ini.”

Husam juga dilaporkan berkata, “Kenapa tuntutan Kelantan tidak menggunapakai penyelesaian dengan Terengganu sahaja.”

Seterusnya Husam juga berkata “Mengapa di dalam kes Kelantan perlu ada jawatankuasa khas?”

Sebenarnya, apa yang ditimbulkan Husam menunjukkan kebodohan beliau dan seperti seorang yang kurang siuman.

Husam Hilang Akal

Saman Kerajaan Kelantan Terhadap PETRONAS

Husam tidak memahami kenyataan rasmi PM atau Husam sememangnya bodoh? Ini kerana tiada kaitan kenyataan Jawatankuasa yang ditubuhkan dengan saman Kerajaan Kelantan terhadap PETRONAS.

Kerajaan Kelantan menyaman PETRONAS kerana didakwa tidak melunaskan perjanjian yang tercatat di dalam suratcara pada 9 Mei 1979 yang menjanjikan pembayaran tunai kepada Kelantan sebanyak 5% dua kali setahun sebagai ganti penyerahan hak Kelantan kepada PETRONAS.

Jelas dari kenyataan rasmi PM semalam, jawatankuasa itu bukan untuk membincangkan hal tersebut kerana PM berkata,

“Kerajaan Persekutuan mengambil pendirian bahawa dari segi perundangan, Kelantan hanya mempunyai hak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum yang dihasilkan dalam perairan negeri tersebut iaitu kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri.

“Pada masa ini, tiada pengeluaran petroleum dilakukan dalam kawasan perairan negeri Kelantan. Oleh itu, dari segi perundangan, kerajaan negeri Kelantan tidak layak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum,”

Jadi tiada sebab Husam perlu memperlekehkan jawatankuasa tersebut dengan membuat kenyataan bahawa Kerajaan Kelantan tidak akan menarik balik saman ke atas PETRONAS.

Menggunapakai Kaedah Penyelesaian Terengganu

 

Kemudian Husam cuba memperlekehkan jawatankuasa itu dengan menimbulkan persoalan mengapa pembayaran Wang Tunai kepada Kelantan tidak menggunapakai kaedah Terengganu.

Pertama, bukankah pendirian PAS menentang kaedah yang digunapakai di Terengganu kerana kadang-kadang guna nama royalti dan kadang-kadang guna nama Wang Ehsan?

Kedua, bukankah pendirian PAS menentang kaedah yang digunapakai di Terengganu yang kadang-kadang diberi terus kepada Kerajaan Negeri dan kadang-kadang diberi melalui saluran pusat dan lain-lain?

Begitu benakkah Husam?

Mungkin. Tetapi yang pastinya, kenapa kaedah di Terengganu tidak digunapakai kerana PM menyedari bahawa kaedah itu menimbulkan banyak salah faham dan tidak dipersetujui oleh banyak pihak. Oleh yang demikian, PM mahu penyelesaian yang mutlak dan bukan sahaja untuk negeri Kelantan tetapi juga untuk Negeri Terengganu dan Negeri Pahang.

Sebab itu PM berkata,

“Kerajaan Persekutuan sentiasa meletakkan keutamaan kepada kehendak rakyat dengan membuka pintu rundingan tetapi pada waktu sama tidak boleh membelakangkan perundangan negara”.

PM juga menjelaskan bahawa penyelesaian ini adalah untuk semua negeri-negeri di Pantai Timur menerusi kenyataan berikut,

“Kerajaan Persekutuan bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu Bayaran Tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia.”

PM juga memaklumkan selain setiap Kerajaan Negeri tersebut akan diwakili oleh individu yang diperkenankan oleh KDYMM Sultan negeri-negeri berkenaan.

Memang benakkah Husam?

Rasanya memang benak. Ini kerana Husam seterusnya bertanya, “Kenapa di dalam kes Kelantan perlu ada jawatankuasa khas?”

Bukankah kenyataan itu jelas jawatankuasa khas ini untuk semua negeri di Pantai Timur.

Husam seharusnya baca semula kenyataan PM dan kalau beliau tidak lagi faham pergilah mendapat nasihat guaman untuk kepentingan rakyat. Itu adalah lebih mulia daripada menghabiskan wang membayar peguam untuk kepentingan politiknya menyaman sesiapa sahaja yang mempertikaikan tindakannya.

Perkataan Royalti

Rakyat Kelantan harus mencabar Husam untuk menunjukkan kalimah perkataan ROYALTI di dalam suratcara yang Husam jaja ke sana ke mari. Tidak ada langsung perkataan royalti di dalam perjanjian itu. Apakah Husam telah mengelirukan rakyat Kelantan selama ini?

Memahami Kenyataan PM

Dari kenyataan PM semalam adalah jelas beliau mahu jawatankuasa khas mengkaji semula 2 perkara berikut,

  1. Negeri manakah yang layak menerima pemberian Bayaran Tunai dari hasil petroliam di kawasan luar perairan negeri, dan
  2. Apakah kaedah dan berapakah jumlah yang patut diberi kepada negeri yang layak.

Jelas jawatankuasa khas ini bertujuan untuk memastikan satu sistem pemberian Bayaran Tunai yang telus dan adil supaya kontroversi yang menyelubungi pemberian wang tunai kepada Terengganu sebelum ini tidak berulang.

Adil dan Telus

Jawatankuasa khas ini bertujuan menyelesaikan isu. Sebaliknya kaedah Husam dan PAS adalah untuk mengekalkan isu. Patutlah Husam tidak gembira.

Sebelum Husam pergi lebih jauh, ada baiknya Husam umumkan dahulu laporan audit bebas Bazaar Tok Guru yang dijanjikan Husam hampir 3 tahun dahulu. Husam perlu ingat, bezanya Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan yang dianggotai oleh Husam ialah, Kerajaan Persekutuan mendengar dan menyelesaikan masalah, bagaimana dengan Kerajaan Negeri Kelantan? Berjanji dan majlis pecah tanah sahaja tidak akan cukup menyelesaikan masalah rakyat.

Selain dari laporan audit bebas Bazaar Tok Guru, Husam perlu fokus untuk memastikan projek Kambing Jamnaparinya membuahkan hasil, semua waris yang patut menerima wang di dalam skim Takaful Kifalah menerimanya tanpa kelewatan dan Lebuhrayanya siap.