Ramai yang meletak dirinya sebagai pejuang royalti tetapi mereka sebenarnya hanya lembu ternakan yang dicucuk hidung oleh beberapa kerat pihak tidak bertanggungjawab di dalam membangkitkan isu ini.

Saya berhenti menuntut Royalti Minyak Kelantan pada 4 November 2009 bila pada pagi itu YAB Perdana Menteri Malaysia telah membuat pengumuman di Dewan Rakyat yang menyatakan bahawa tuntutan Kerajaan Negeri Kelantan adalah tidak berasas dari sudut perundangan negara. Bagaimanapun, atas semangat persekutuan, Perdana Menteri menyedari telah mulanya operasi di sebuah telaga gas bernama BUMI SELATAN di luar perairan Kelantan iaitu lebih kurang 70 batu nautika dari Kota Bharu, Perdana Menteri bersetuju membuat bayaran tunai kepada Negeri Kelantan.

Bayaran itu dipanggil sebagai Wang Ehsan dan memandangkan jumlahnya hanya kecil bersandarkan kepada pendapatan dari sebuah telaga gas sahaja maka ia dicadangkan disalurkan terus kepada rakyat menerusi cabang Kerajaan Pusat di Kelantan. Kerajaan Negeri Kelantan diminta menghantar wakil menyertai jawatankuasa pembahagian Wang Ehsan tersebut. Setelah mesyuarat pertama, Kerajaan Negeri Kelantan tidak lagi mahu wakilnya menyertai jawatankuasa tersebut.

 

 

Berbeza dengan peringkat awal dahulu,hampir kesemua pejuang royalti dan pendaratan gas di Kelantan hari ini adalah terdiri daripada lembu peliharaan pimpinan politik PAS yang tidak faham langsung tentang isu ini.

Dibawah aspek perundangan berdasarkan suratcara yang ditandatangani kesan dari Akta 144 Kemajuan Petroliam 1974, negeri-negeri hanya menyerahkan kepada Petronas daratan dan lautan yang menjadi miliknya. Berdasarkan Kanun Tanah Negara, lautan milik negeri hanyalah 3 batu nautika diukur dari tahap air surut.

Maka, pada 9 Mei 1975 Menteri Besar Kelantan hanya menyerahkan apa yang dimilikinya 9 Mei 1975 dan seinci pun tidak lebih dari itu. Begitu juga dengan negeri-negeri lain termasuklah Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun ini bererti Sabah dan Sarawak akan kehilangan keseluruhan atau sebahagian besar daripada haknya kerana telaga petroliam mereka terletak diluar 3 batu nautika. Oleh itu berlakulah rundingan diantara pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dan inilah yang Tengku Razaleigh katakan sebagai ‘semangat persekutuan’.

Kerajaan Persekutuan bersetuju memberi Bayaran Tunai kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan pengeluaran di luar lautan wilayah negeri-negeri tersebut. Ia terus dipanggil sebagai royalti walaupun sebenarnya ia bukan lagi royalti seperti yang termaktub di dalam suratcara yang ditandatangani dengan PETRONAS.

Pada 6 Jun 1982, PETRONAS Carigali menemui hasil petroliam pertama di telaga Dulang Barat diluar perairan Terengganu. Memandangkan Terengganu adalah sebuah negeri yang mundur pada ketika itu, Perdana Menteri bersetuju memberikan Bayaran Tunai kepada Kerajaan Negeri Terengganu bertujuan untuk menjana pembangunan negeri dan membasmi kemiskinan. Bayaran Tunai ini walaupun mengikut modus operandi royalti minyak yang dijanjikan oleh PETRONAS tetapi ia sebenarnya bukan royalti kerana carigali dibuat lebih dari 3 batu nautika dari pantai Terengganu. Sebaliknya, Bayaran Tunai ini diberikan berdasarkan ehsan Perdana Menteri seperti yang diberi kuasa oleh undang-undang.

Memandangkan Bayaran Tunai ini bukanlah sesuatu yang tertulis secara rasmi maka tidak wujud satu asas bertulis atau satu mekanisma pemberian yang standard. Ini bererti Perdana Menteri menerusi kuasa yang ada padanya boleh menggunakan apa-apa saluran yang difikirkannya sesuai untuk mencapai matlamat pemberian Bayawan Tunai tersebut.

Saya berhenti menuntut royalti minyak Kelantan pada 4 November 2009 berdasarkan apa yang tertulis di atas. Ini kerana pada hari tersebut, Perdana Menteri telah berjanji memberikan sebahagian daripada pendapatan hasil carigali di Telaga Bumi Selatan, satu-satunya telaga gas yang sudah dieksploit di luar kawasan tuntutan bertindih dan terdekat dengan Kelantan, iaitu lebih kurang 70 batu nautika. Sehingga hari ini, hanya itu satu telaga gas yang diekploit di situ.

Ini bererti tiada apa lagi yang perlu dituntut. Kelantan telah menerima pemberian berdasarkan semangat persekutuan sama seperti Terengganu, Sabah dan Sarawak. Apa lagi yang hendak dituntut?

Saya yakin beberapa kerat pinpinan politik di dalam PAS Kelantan yang merasa cerdik juga faham senario ini. Tetapi mereka lebih faham bagaimana rakyat tidak mengerti isu ini dan isu ini boleh dijadikan bahan menanam kebencian kepada pusat. Tujuan mereka adalah politik semata-mata. Tanpa pedulikan ‘semangat persekutuan’ langsung.

Penduduk Kelantan khasnya dan rakyat Malaysia amnya, tidak perlu menuntut pemberian royalti kepada negeri-negeri yang layak menerima kerana sistem perundangan sedia ada tiada cacatnya. Apa yang perlu dibuat ialah memohon satu kajian semula pemberian Bayaran Tunai kepada negeri-negeri agar tidak menimbulkan salah faham seperti yang berlaku pada hari ini.

Asas pemberian ini juga perlu jelas dan bukan sahaja adil tetapi dilihat adil. Malangnya tiada kecerdikan dikalangan orang yang merasa cerdik di dalam PAS itu untuk melihat perkara ini. Kecerdikan itu Alhamdullillah terletak kepada beberapa pimpinan UMNO Kelantan yang diterajui oleh Dato’ Sri Mustapa Mohamed dan juga pakar-pakar perundangan di Jabatan Peguam Negara. Oleh yang demikian, usaha-usaha telah dibuat menerusi perundingan bagi menyelesaikan isu tersebut.

Itulah bezanya dengan lembu yang dicucuk hidung. Apa yang mereka tahu ialah bila diseret ke padang, mereka akan makan rumput dan bila diseret ke jalanraya, mereka akan buat huru hara.

Rundingan tidak boleh dibuat di jalanraya. Rundingan perlu dibuat di dalam suasana tenang dan tenteram. Dan rundingan juga tidak boleh dibuat dengan mendoakan seseorang itu pecah perut.