Pada pertengahan 2009, saya diarahkan menyiapkan kertas kerja berhubung tuntutan royalti petroliam Kelantan bagi dibawa ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan. Kebanyakan ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan meninggalkan majlis itu dengan masih ada rasa sangsi terhadap kesahihan hak Kelantan yang hendak dituntut.

Wilayah Perairan Kelantan

Akta Kemajuan Petroliam 1974, dan perjanjian antara Menteri Besar Kelantan dengan PETRONAS pada 9 Mei 1975 tidak memberi tafsiran yang jelas tentang wilayah Kelantan yang diserahkan hak eksklusif eksplorasi dan eksploitasi kepada PETRONAS.

Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan pada 27 Jun 2009 membuat kenyataan kepada media menjelaskan dua sebab kenapa Kelantan tidak menerima royalti dari PETRONAS. Pertama kerana eksploitasi yang ada ialah di kawasan pertindihan tuntutan antara Malaysia dan Thailand dan antara Malaysia dan Vietnam. Kedua, eksploitasi sekarang dibuat lebih dari 3 batu nautika dari pantai Kelantan.

Jarak 3 batu nautika yang disebut adalah merujuk kepada Kanun Tanah Negara. Kanun Tanah Negara memperincikan laut wilayah dengan merujuk kepada maksud yang terdapat di dalam seksyen 4(2) Ordinan Darurat 1969.

Seandainya Kerajaan Negeri Kelantan mendakwa pada tahun 1975 mereka telah menyerahkan kawasan lautannya lebih dari 3 batu nautika, maka mereka telah melanggar undang-undang kontrak dengan memasuki perjanjian dan menyerahkan apa yang bukan miliknya.

Ordinan Darurat telah dimansuhkan pada November 2011 dan segala perundangan mengenai laut wilayah diletak di bawah Akta 750 yang dipanggil Akta Laut Wilayah 2012 yang telah mendapat perkenan Yang DiPertuan Agung pada 18 Jun 2012. Seksyen 3(3) akta baru ini sekali lagi menjelaskan kawasan pantai wilayah tidak melebihi 3 batu nautika dari garis surut.

Tiada Niat Jahat

Kelantan tidak menerima royalti petroliam dari PETRONAS bukan kerana ia diperintah oleh Parti PAS tetapi kerana jelas berdasarkan apa yang telah ditetapkan oleh perjanjian Kerajaan Negeri Kelantan dengan PETRONAS pada 1975.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato’ Haji Husam bin Musa sebaliknya masih berpendapat bahawa terdapat niat jahat oleh PETRONAS dan telah membawa Kerajaan Negeri Kelantan menyaman PETRONAS. Malangnya walaupun kes ini masih menanti perbicaraan, Dato’ Husam dan kelompok tertentu di dalam PAS terus bermain politik di dalam isu ini dan adakalanya berselindung di atas pelbagai tuntutan lain termasuklah berhubung pendaratan gas asli.

Strategi mengapikan rakyat sehingga menimbulkan rasa benci kepada pemerintah bukanlah tindakan yang berhemah. Sebaliknya, di dalam menuntut apa yang telah termaktub di dalam perundangan hendaklah dibuat dengan cara perundingan dan bijaksana.

Melihat kepada strategi Husam dan kelompoknya, menunjukkan bahawa mereka tidak mementingkan penyelesaian kepada tuntutan Kerajaan Negeri Kelantan tetapi mereka mahukan ‘mileage’ politik lantas sanggup membelakangkan semangat persekutuan.

Pintu Rundingan

Pada November 2009, Perdana Menteri Malaysia memaklumkan di Dewan Rakyat ada aktiviti eksploitasi gas di Blok PM301 dan mengumumkan bahawa beliau bersetuju memberikan wang ihsan kepada rakyat Kelantan berdasarkan eksploitasi tersebut.

Sebelum ini Terengganu turut menerima wang ihsan secara tahunan diatas persetujuan Perdana Menteri Malaysia kerana eksplotasi minyak dan gas di kawasan lautan lebih 3 batu nautika dari pantai Terengganu. Bahkan negeri-negeri Malaysia Timur juga turut menerima hasil dari aktiviti carigali diluar 3 batu nautika dari pantai mereka. Semua ini dilakukan menerusi rundingan yang diadakan secara berhemah dan hujahan yang bijaksana oleh pemimpin-pemimpin negeri.

Penduduk Kelantan bernasib kurang baik kerana segelintir pimpinan negeri lebih suka membawa isu yang sepatutnya dibincangkan penuh sabar dimeja rundingan ke jalan raya dan mengapi-apikan rasa benci kepada Kerajaan Persekutuan dan menjadikan ia isu untuk menjatuhkan lawan politiknya.

Usaha-usaha untuk berunding secara berhemah dan bijaksana bagaimanapun diteruskan Dato’ Sri Mustapa Mohamed, wakil tunggal Kelantan bertaraf Menteri Persekutuan. Khabarnya perlahan-lahan rundingan ini semakin menemukan titik positif. Adat berunding, mesti kedua-dua pihak mahu menang dan ia hanya akan berlaku bila kedua-dua pihak boleh berkompromi.

Walaupun sebahagian penduduk Kelantan faham tiada asas di dalam isu tuntutan royalti tetapi begitu gembira dengan perkembangan aktiviti carigali gas di luar pantai Kelantan. Ini kerana kita yakin semangat persekutuan di dalam teraju kepimpinan sekarang melampaui batasan jarak. Perkongsian kekayaan di dalam persekutuan di bawah pentadbiran Barisan Nasional sejak 1957 memberi harapan bahawa Kelantan juga akan berpeluang menikmati habuan dari khazanah di dasar Laut Cina Selatan.