UNTUK EDARAN

KENYATAAN MEDIA NIK MAHANI MOHAMED

Saya percaya rakyat malaysia amnya adalah rakyat yg berakal dan boleh memahami semua perkara dengan saksama.

Tindakan Polis Kelantan menutup siasatan kes jenayah dan jenayah komersil ke atas KGT bukanlah bererti Kelantan Golden Trade Sdn Bhd (KGT) dan pengurusannya tidak bersalah kerana ianya di gugurkan atas sebab kes-kes laporan dibuat oleh orang awam. Di dalam kes melibatkan syarikat, polis memaklumkan hanya akan bertindak terhadap laporan yang dibuat oleh pemilik atau Ahli Lembaga Pengarah syarikat sendiri.

Jika tiada apa yang hendak disembunyikan mengapa Pengerusi KGT, YB Dato’ Haji Husam Bin Musa baru-baru ini membuat kenyataan mengelirukan kepada media dengan mengakui bahawa KGT hanyalah syarikat berasaskan keuntungan dan dinar & dirham KGT setaraf dengan barang perhiasan sahaja. Sedangkan,

  • Pada 12 Ogos 2010, KGT telah melancarkan dinar & dirham itu sebagai matawang syariah dan mendapat pujian dunia kerana bertindak berani mahu mengembalikan matawang syariah.
  • KGT menyenaraikan 1,000 kedai dan premis yang menjalankan transaksi menggunakan dinar & dirham KGT.
  • KGT membiayai program-program yang mempromosikan dinar & dirham KGT sebagai ‘matawang alternatif’.

Saya sebagai bekas Pengarah Eksekutif KGT bersama ratusan aktivis merasa tertipu oleh kenyataan Pengerusi KGT tersebut. Kami telah menghabiskan masa dan tenaga terlibat dalam pelbagai program secara sukarela untuk mempromosikan agenda KGT iaitu menyahut seruan Allah S.W.T ke arah penghapusan riba dengan membawa kembali matawang syariah di abad ini.

Saya berpendapat menerusi kenyataan Pengerusi KGT baru-baru ini, beliau telah mengakui bahawa KGT telah mengelirukan rakyat dan para peniaga dengan niat sebenar penjualan dinar & dirham Kelantan oleh KGT.

  • Ianya tidak lain dan tidak bukan sekadar memperdagangkan tuntutan Islam dengan tujuan meraih kepentingan peribadi pihak-pihak tertentu.
  • Menerusi kenyataan itu bererti dinar & dirham KGT tidak ada bezanya berbanding koin-koin emas dan perak yang berada di pasaran termasuklah yang ditempa oleh pihak bukan Islam.

KGT tidak seharusnya mengambil tindakan undang-undang ke atas media massa dan saya kerana hasrat kami adalah mempertahankan intergriti KGT sebagai pengeluar matawang syariah.

Sebaliknya sekiranya KGT dan pengerusinya ikhlas menjaga nama baik KGT, mereka sepatutnya membuat laporan polis ke atas Umar Ibrahim Vadillo, Bekas Ketua Pegawai Eksekutif KGT dan Penasihat syarikat tersebut, atas sebab-sebab berikut,

  • Memesongkan pemahaman umat Islam terhadap piawaian World Islamic Mint (WIM) yang Umar Ibrahim Vadillo juga adalah pemilik dan pengarah urusannya.
  • Umar Ibrahim Vadillo menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KGT untuk memberi faedah kepada World Islamic Mint. Selain menerima gaji dari KGT, Umar juga menerima komisen yang dipanggil royalti yang dibayar oleh KGT kepada WIM.
  • Umar Ibrahim Vadillo telah menggunakan nama KGT untuk mencari dana luar bagi membiayai aktiviti-aktiviti dan cita-citanya termasuklah yang mengakibatkan seorang warga Jepun kehilangan wang berjumlah USD 1 juta.

Hanya dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap Umar Ibrahim Vadillo sahaja Pengerusi KGT dan KGT sendiri boleh membersihkan namanya dari sebarang keraguan bersekongkol dengan Umar dan aktivitinya.

Akhir sekali saya berharap kemelut yang melanda ini tidak akan menjejaskan kepercayaan umat Islam terhadap pentingnya matawang dinar & dirham bagi membersihkan diri dari riba yang menyelubungi dunia kewangan hari ini. Insiden yang berlaku lewat ini bukanlah akibat kecacatan di dalam matawang syariah tetapi adalah disebabkan kelemahan kita sebagai manusia.

Saya menyeru umat Islam di Malaysia dan pertubuhan-pertubuhan serta parti-parti politik Melayu untuk bersatu memajukan dinar & dirham sebagai matawang syariah abad ini.

Wasaalam wrt wbrt.

Nik Mahani Mohamed