Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri ini yang bertanggungjawab dalam mendedahkan skandal dalam Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd. (KGT) mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana menutup siasatan selepas empat laporan polis dibuat 6 Julai lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, NGO terbabit menegaskan penutupan siasatan itu memberikan ruang yang amat luas kepada mereka untuk membuat lebih banyak pendedahan berhubung dakwaan tersebut.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada polis kerana menutup siasatan. Jadi sekarang kita tidak takut menggangu siasatan polis lagi.

“Kita boleh mendedahkan segala dokumen supaya KGT dan Datuk Husam Musa boleh berdepan dengan perbicaraan awam selari dengan kedudukannya sebagai anak syarikat milik rakyat,” katanya.

Di antara NGO yang terlibat membuat laporan polis tersebut ialah Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Profesional Kelantan (KelPro), Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan (Tukar) dan Angkatan Generasi Melayu Muda (Agenda).

Kenyataan tersebut dibuat sebagai respon kepada kenyataan Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman bahawa pihak polis telah menutup siasatn berhubung empat laporan polis yang dibuat oleh NGO terbabit pada 6 Julai lalu.

Sebelum ini, Jalaluddin dilaporkan berkata, pihaknya telah menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat tiga laporan polis yang dibuat oleh tiga individu termasuk bekas Pengarah Eksekutig KGT, Nik Mahani Mohamad.

Ketiga-tiga laporan polis itu menjurus kepada salah laku seorang pegawai kanan KGT.

Untuk rekod kerajaan Pas Kelantan telah melancarkan mata wang syariah dirham dan dinar emas Kelantan pada Ogos 2010.

Bagaimanapun dirham dan dinar emas terbabit dikatakan tidak menepati kehendak syariat kerana pelaksanaannya berorentasikan keuntungan semata-mata bukannya membantu ummah.

Malah Mufti Kelantan, Datuk Mohd. Shukri Mohamad menegaskan dinar emas Kelantan hanyalah barang perhiasan biasa dan tidak lebih daripada itu.

Malah berdasarkan perbandingan yang dibuat, dinar emas Kelantan lebih mahal daripada dinar emas yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat lain kerana nilainya berdasarkan harga semasa yang dikeluarkan oleh World Islamic Mint (WIM) setiap hari.

WIM adalah sebuah badan yang ditubuhkan oleh salah seorang pegawai kanan KGT dan berpusat di sebuah negara Eropah.

KGT juga terpaksa membayar royalti kepada WIM kerana menggunakan logo pertubuhan tersebut. Di sini timbul persoalan kenapa harus membayar royalti kepada WIM dan siapa yang mendapat keuntungan daripadanya.

Apakah rakyat Kelantan mendapat keuntungan daripada royalti ini. Perlu diingat individu yang menjalankan operasi KGT adalah individu yang sama menubuhkan WIM. (Detik Perubahan)