Semalam rakan-rakan gabungan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan di Kelantan dan saya telah mengadakan satu sidang media di Kota Bharu. Tujuannya ialah menjawab dakwaan YB Dato’ Haji Husam Musa berhubung berita yang tersiar di muka hadapan Utusan Malaysia, Isnin 18 Jun 2012.

Pada hari Isnin 18 Jun 2012, Haji Husam sebagai respons kepada berita muka hadapan Utusan memberitahu media,

  • Tidak ada laporan polis seperti yang didakwa. Beliau tidak kata tidak tahu, tetapi tidak ada.
  • Ini semua perancangan UMNO.
  • Tiga hari lepas saya telah ke Kelantan dan bertemu pemimpin UMNO.
  • Saya adalah Kucing Kurap.
  • Segala dakwaan berkenaan skandal matawang syariah ini adalah karut.
  • Akan mengambil tindakan saman ke atas Utusan dan saya.

Isu skandal matawang syariah ini  bukan isu peribadi antara saya dan YB Husam. Ini adalah isu yang melibatkan kesucian institusi agama Islam, pembeli dan pengguna dinar dan dirham dan lebih dari itu, identiti dan tingkah laku individu yang diberi amanah.

Sebagai rakyat dan pengundi di Kelantan saya berhak bertanya. Husam sebagai pemimpin yang dipilih rakyat wajib menjawab dengan betul. Ini bukan lawak jenaka. Kalau Husam sekadar boleh menjawab dengan marut marut begitu, ada baiknya Husam menyertai program TV Karoot Komedia X dan bukannya menjadi Ahli Majlis Kerajaan Negeri Kelantan. Atau meletakan jawatan Exco dan ADUN untuk menyertai pelbagai program lawak jenaka yang semakin popular di kaca TV sekarang. Dan bila memasuki pentas lawak jenaka, Husam perlu tahu bahawa pelawak juga ada etika. Mereka bukan membuat lawak bodoh tetapi mereka mengkritik kepimpinan dan masyarakat dalam halus. Dan dari situ Husam akan dapat belajar bahawa kemuliaan perlu ada di dalam setiap tugas yang kita pikul.

Apakah dunia Husam hanya berputar kerana adanya UMNO? Semua benda mesti UMNO? Husam sendiri tidak pernahkan bertemu pemimpin UMNO. Bahkan Husam sendiri pernah banyak kali meminta saya mengatur pertemuannya dengan pemimpin UMNO. Kalau gilakan UMNO, kenapa tidak sertai sahaja UMNO.

Skandal matawang syariah ini bukan kerana pilihanraya. Kita tidak perlu risau bila pilihanraya. Apa yang Husam perlu risau ialah sudahkan dia tunaikan janji pilihanrayanya yang lalu.

Dato’ Seri Najib Razak dibenarkan dalam perlembagaan meneruskan mandat yang diterima BN sehingga Dewan Rakyat terbubar secara automatik. Selepas itu dia masih boleh mentadbir negara sehingga satu pilihanraya dipanggil dalam tempoh 60 hari dari tarikh terbubarnya Dewan Rakyat itu. Mengapa perlu Najib Razak memanggil pilihanraya dengan segera kalau beliau masih mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat. Samalah seperti Dewan-Dewan Undangan Negeri di Malaysia.

Gabungan NGO Kelantan semalam bersepakat memperjuangkan isu skandal matawang syariah ini tanpa mengira tempoh masa. Bagaimanapun, kami turut bersepakat untuk mendedahkan sedikit demi sedikit untuk mengelak rasa panik dikalangan pemilik dinar dan dirham Kelantan.

Skandal matawang syariah Kelantan tidak terikat kepada 3 laporan polis yang dibuat ke atas Bekas Pegawai Eksekutif Kelantan Gold Trade yang kini adalah penasihatnya. Sebaliknya ia melibatkan pelbagai perkara lain yang sebenarnya lebih penting dan lebih besar dari 3 laporan polis tersebut.

Atas sebab itu, Gabungan NGO Kelantan semalam menyarankan supaya Kerajaan Negeri mengantung dulu urusan jual beli dinar dirham Kelantan. Seterusnya menyembahkannya kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Kelantan untuk diuruskan di bawah Baitul Mal.

Dinar dirham jika mahu dijadikan matawang syariah perlulah tidak diuruskan oleh syarikat berorientasikan keuntungan.

PAS Kelantan perlu ambil keputusan sama ada mereka mahu berdiri dibelakang projek yang dianjurkan oleh Husam sedangkan kebanyakan pimpinannya sendiri merasa ragu-ragu dalam banyak aspek projek itu. Jika mereka berbuat demikian, mereka juga akan terpalit sama. Husam boleh melepaskan tangannya sebagaimana dia melepaskan tangan di dalam skandal Kambing Jamnapari dan Kerajaan Negeri boleh memikul terus beban sebagaimana projek yang lahir dari Husam seperti Takaful Kifalah Warga Emas dan lain-lain.

Husam berkeupayaan untuk memutuskan hubungannya dengan Umar Ibrahim Vadillo sebagaimana dia berbuat kepada Dato’ Amin Pipet dalam urusan Kambing Jamnapari. Pengurusan Kelantan Gold Trade sebaliknya akan terpaksa berhadapan dengan skandal yang akan didedahkan sebagaimana Husam menyuruh Akademi Pembangunan Keluarga Bahagia dan Jihad Ternah Sdn Bhd menyelesaikan sendiri masalah ‘pet project’ kambing Jamnapari itu. Cuma kita sama-sama berharap tidaklah pula berlaku tembak menembak sebagaimana insiden beberapa das tembakan dilepaskan oleh sahabat Husam dalam kes Kambing Jamnapari.

Dinar dan Dirham Kelantan masih boleh berjaya tetapi ia perlu diselamatkan dari beberapa aspek yang hari ini saya syak diluar kawalan dan pengetahuan pengurusan Kelantan Gold Trade.

Tuntutan Gabungan NGO Kelantan semalam adalah paling menasabah. Ia bukan tuntutan politik ataupun berniat menyerang mana-mana parti politik. Ia adalah berasaskan mengejar keredhaan di dalam matawang syariah. Atas dasar itu, Gabungan NGO Kelantan semalam mengajak semua pihak bersamanya tanpa menghiraukan batasan politik. Ini adalah untuk rakyat Kelantan dan kesucian matawang syariah.