Saya mengakhiri posting saya yang lalu berhubung Skandal Dinar Emas Kelantan dengan barisan ayat-ayat berikut,

“Demi kita mencari keredhaan Allah S.W.T dan berjuang membersihkan diri dan ummah dari rejim kewangan yang sedia ada, kita tidak boleh membiarkan pihak-pihak tertentu ‘menjual’ matawang syariah ini untuk matlamat dan agenda peribadi atau politik masing-masing. Perbuatan ini sangat-sangat melampau sekali…”

Ramai yang menyokong bahkan berjuang bersama mempromosikan Dinar Emas Kelantan atas dasar mencari keredhaan dan kebersihan dalam sistem kewangan dan ekonomi hari ini. Malangnya ramai yang telah terpedaya.

Menerusi matawang syariah, kita mahu kembali kepada mekanisme ekonomi dan kewangan Islam kerana mahu mengelak dari terjebak ke dalam riba. Contoh suasana penuh riba masakini ialah sistem perbankan, sistem insuran dan sistem matawang.

Tidak seperti matawang yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di seluruh dunia, Dinar Dirham sepatutnya bersih dari riba.

Malangnya, apa yang berlaku kepada Dinar dan Dirham Kelantan ialah ianya didakwa mempunyai riba setanding dengan US Dollar. Bezanya cuma US Dollar tercatat ‘In God We Trust’ dan di Dinar Dirham tercatat ‘Tiada Tuhan Melainkan Allah’.

Exco Kelantan dan Penganjur Dinar Dirham Kelantan, Husam Musa bersama Umar Ibrahim Vadillo, yang dianggap sebagai Economic Terrorist oleh pihak tertentu.

Apa Itu Riba

Mudahnya, riba adalah tambahan (al-ziyadah). Dari sudut bahasa ia bermaksud kenaikan nilai. Secara falsafahnya ia bermaksud penambahan nilai ke atas sesuatu yang dikenakan oleh pihak pemilik asal atau penjual. Dari sudut matawang pula, riba bermaksud berbezaan nilai yang dibawa oleh satu-satu matawang itu dengan nilai melekat (intrisic Value) matawang itu.

Intrisic Value / Nilai Melekat

Intrisic Value pada matawang adalah nilai sebenar matawang itu iaitu nilai yang melekat pada matawang itu berdasarkan fizikalnya. Sebaliknya, matawang moden hari ini dianggap tidak bersih kerana nilainya bukan berdasarkan nilai melekat tetapi nilai yang dipaksakan ke atas pengguna.

Tiada Beza Antara US Dollar dan Dinar Dirham Kelantan

Apakah intrisic value atau nilai melekat pada wang kertas contohnya 1 US Dollar? Nilai intrisicnya adalah sama dengan nilai 1 gram kertas ditambah dengan kos percetakannya. Lebih banyak ia dicetak, lebih rendah nilainya. Di dalam kata lain, sekeping wang kertas US Dollar berharga tidak lebih dari cuma beberapa sen sahaja. Tetapi di dalam pasaran ia mempunyai nilai yang dipaksakan ke atasnya. Nilai yang dipaksakan ke atasnya ialah bernilai 1 US Dollar atau lebih RM 3. Nilai yang dipaksakan ke atasnya itu adalah berkali-kali ganda dari nilai intrisic atau nilai sebenar sekeping kertas bercop 1 US Dollar.

Ini adalah riba. Rejim kewangan dunia memaksa kita menukarkan sekeping kertas yang bernilai beberapa sen sahaja dengan barangan yang bernilai berpuluh-puluh kali ganda darinya.

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Exconya YB Dato’ Haji Husam Bin Musa telah menganjurkan Dinar Dirham Kelantan untuk ‘mencari keredhaan’. Bahkan ada usaha politik untuk memaksa Kerajaan Negeri membayar gaji kakitangan Kerajaan Negeri Kelantan dengan Dinar Dirham supaya ianya bersih dari riba dan rejim riba anjuran barat.

Benarkah Dinar Dirham Kelantan Bersih Dari Riba?

Berdasarkan maklumat yang disalurkan oleh pihak tertentu kepada blog ini, Dinar dan Dirham Kelantan didakwa mempunyai nilai riba sama seperti US Dollar dan bukanlah matawang syariah tulin yang bersih dari riba.

Ini berdasarkan arguement bahawa Kelantan Gold Trade menjual Dinar Dirham kepada rakyat pada harga yang ditetapkan oleh World Islamic Mint (WIM) sama sepertimana harga US Dollar ditetapkan oleh US Federal Reserve.

Semakan kepada laman web WIM mendapati arguement itu adalah benar. Berikut adalah petikan dari laman web WIM,

“After production WIM recommends a RRP – Recommended Retail Price” – di sini.

WIM juga hanya mengiktiraf Dinar Dirham yang di ‘minting’ olehnya sahaja dan mengaut keuntungan menerusi royalti sebanyak 1% dari kos produksi setiap Dinar Dirham. Di Malaysia, WIM diasaskan oleh sahabat baik Husam Musa iaitu Umar Ibrahim Vadillo.

Nik Aziz hadir di majlis makan malam sempena konferans Dinar Emas pada tahun 2007.

Intrisic Value Dinar Dirham Kelantan dan Harga Yang Dipaksakan

Nilai melekat pada 1 Dirham Kelantan ialah bersamaan harga semasa perak seberat 2.97 gram dicampur dengan harga minting antara 10 ke 15%. Bagaimanapun WIM meletakan nilai yang dipaksakan kepada 1 Dirham Kelantan pada harga RM25.00 se Dirham. Ini menunjukkan peningkatan sehingga mencecah 120% dari harga melekat.

Harga yang dipaksakan kepada 1 Dinar Kelantan pula mencecah hampir 25% lebih tinggi daripada nilai melekat atau nilai sebenarnya.

Jika ini adalah benar, persoalan yang perlu kita tanya ialah apakah bezanya rejim yang dianjurkan oleh Kelantan Gold Trade dan World Islamic Mint dengan matawang keluaran US Federal Reserve?

Memandangkan nilai melekat pada Dinar Dirham Kelantan tidak sama dengan nilai yang dipaksa ke atasnya, maka pengguna berisiko mengamalkan riba dalam urusan jual belinya.

Pembeli Dinar Dirham pula terpaksa menanggung riba dengan membeli Dinar Dirham yang harga dijual lebih tinggi dari harga berat emas dan perak itu di pasaran. Oleh yang demikian apabila mereka cuba menjual balik, ianya akan susut nilai minimum antara 25% ke 120% dari harga pasaran. Ini tidak termasuk harga susut nilai akibat ianya dianggap sebagai emas terpakai. Sekiranya Dinar Dirham Kelantan dibuka dari sampul plastiknya ianya akan dianggap sebagai emas dan perak terpakai oleh kebanyakkan kedai-kedai emas. Tetapi, tanpa membuka sampul plastik tersebut, bagaimanakah pembeli mahu memastikan berat sebenar dan ketulenan emas itu?

Skandal Riba Kelantan

Matawang syariah tidak sepatutnya diletakkan dibawah sebuah syarikat komersil dan dikawalselia pula oleh pihak berkepentingan.

Matawang syariah sepatutnya diletakan terus dibawah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu menerusi Baitul Mal. Di Zaman penggunaan matawang syariah dalam zaman keagungan Islam dan di empayar-empayar Islam ianya tidak pula dikawal selia dan nilainya ditentukan oleh badan seperti WIM yang cuba bertindak memonopoli matawang syariah.

Zaman keagungan Islam, nilai dan penerimaan matawang syariah yang berlainan pembuatnya ditentukan oleh kuasa pasaran. Pasaran yang menentukan matawang syariah mana yang lebih mereka utamakan penerimaannya.

Tidaklah berkesan jika nilai matawang syariah tidak seragam dengan nilai melekatnya. Jika nilai matawang syariah lebih tinggi dari nilai melekatnya maka ia sama sahaja dengan sistem matawang hari ini.

Skandal Dinar Dan Kerajaan Negeri Kelantan

Pihak tidak bertanggungjawab telah menggunakan Dinar dan Dirham Kelantan untuk meraih simpati politik serta mempromosikan agenda tertentu untuk keuntungan karier masing-masing.

Saya tahu kebanyakkan anggota Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan sendiri tidak bersalah dalam isu ini. Bahkan mereka sendiri dari awal lagi merasa tidak selesa dengan skim yang disarankan. Masalahnya ada pihak tertentu yang sering membelakangkan Kerajaan Negeri.

Siapakah dibelakang ‘pihak tertentu ini’?

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri Kelantan tidak boleh mendiamkan diri. Tindakan perlu diambil dengan kadar segera. Penjualan Dinar Dirham Kelantan perlu digantung sementara. Audit perlu dilakukan terhadap matawang syariah yang dijual oleh Kelantan Gold Trade. Badan yang dianggotai oleh para ulama’ kemudian harus menilai kesahihan dakwaan yang dimajukan di dalam posting kali ini.

Rakyat Kelantan dan Dinar Dirham

Kebanyakan rakyat Kelantan tidak sedar risiko yang mereka ambil di dalam  pembelian Dinar Dirham Kelantan. Ini kerana kebanyakannya hanya berlandaskan kepada niat suci mencari keredhaan. Lebih banyak persoalan dan pendedahan berhubung Dinar dan Dirham Kelantan akan dimajukan di masa akan datang.

Setakat ini cukuplah di katakan bezanya antara US Dollar dan Dinar Dirham Kelantan seolah setakat terjemahan ‘In God We Trust’ dan ‘Tiada Tuhan Melainkan Allah’.