Saranan Tun Dr. Mahathir supaya pihak kerajaan memikirkan kembali kebebasan mutlak internet adalah tepat. Berita Minggu memetik bekas Perdana Menteri Malaysia itu sebagai berkata, “Negara perlu dibenarkan menapis segala kekotoran yang masuk melalui internet”.

Membataskan ‘kekotoran’ bukanlah bererti menyekat kebebasan penyampaian maklumat menerusi internet, sebaliknya bertujuan mempertingkatkan kualiti penggunaan internet dikalangan pelayar maya. Walaupun Malaysia mengekalkan dasar internet tanpa tapisan sejak membangunkan Koridor Raya Multimedia, tetapi sejak kebelakangan ini, pelayar internet dari Malaysia mula sedar bahawa sudah ada sekatan yang menghalang mereka daripada mendapatkan data dari server-server tertentu.

Halangan ini bukan sahaja dibuat oleh browser mereka tetapi juga oleh pihak penyedia perkhidmatan internet mereka. Namun begitu pelayar internet mempunyai pelbagai teknik untuk terus mendapatkan data-data dari laman yang dihalang itu sama ada secara percuma atau berbayar.

Walaupun sesetengah pihak berkuasa dalam kerajaan merasakan internet membuka ruang baru untuk menggugat kestabilan politik, saya merasakan itu bukan sebab utama kita perlu memikirkan semula sekatan terhadap internet.

Masalah yang lebih besar ialah ancaman jenayah siber dan moral terhadap pengguna. Pelbagai skim penipuan bercambah dengan pesat menerusi internet dan pihak berkuasa sehingga kini gagal untuk bertindak selain dari sekadar mampu menasihatkan pengguna supaya berwasapada.

Skim penipuan menerusi email yang kebanyakannya didalangi oleh warga dari Afrika adalah salah satu daripadanya. Terbaharu pula ialah penggunaan Facebook bagi dalam insiden penculikan berprofil tinggi melibatkan seorang murid sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur.

Walaupun kita mempunyai pelbagai undang-undang untuk mendakwa pelaku jenayah di alam maya sama seperti di alam nyata tetapi tindakan sekatan secara bijak lebih baik sebagai langkah pencegahan.

Sekatan secara bijak ialah sekatan yang menghalang ancaman terhadap masyarakat tanpa menghalang hak mereka mendapatkan maklumat yang mereka inginkan. Pada waktu yang sama menghormati hak masyarakat menentukan jenis maklumat yang mereka inginkan.

Era pihak penguatkuasa menentukan jenis maklumat yang sesuai untuk masyarakat sudah berakhir.