Perdana Menteri Najib Razak tiba di Jengka 8

Pada jam 11.23 pagi, 8 Mei 2012, Perdana Menteri Najib Razak yang juga anak kepada pengasas FELDA membuat pengumuman yang membawa kegembiraan tidak terhingga kepada para peneroka FELDA.

Durian runtuh kepada peneroka FELDA yang sibuk diperkatakan sejak sebulan yang lalu adalah berbentuk pakej wang tunai berjumlah RM15,000 kepada keluarga setiap peneroka yang berjumlah 112,635 orang di 317 tanah rancangan dibawah FELDA.

Para peneroka yang datang dari seluruh pelusuk Malaysia sudah berada dibangku dikhemah utama seawal 7.00 pagi lagi.

Belum pun sempat peneroka yang hadir menghabiskan lafaz syukur mereka diatas pemberian tersebut, Perdana Menteri mengumumkan pula pakej ‘durian gugur’ kepada semua peneroka FELDA. Pakej jika durian runtuh berbentuk pemberian wang tunai berperingkat-peringkat bermula serta-merta, pakej ‘durian gugur’ pula merupakan pemberian berterusan dan jangka panjang kepada para peneroka.

Bagaimanapun, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Wong Chen lekas membidas pemberian kerajaan tersebut yang didakwa mereka hanya 30% daripada jumlah sebenar dana yang akan diperolehi oleh FELDA bila Felda Global Ventures di apungkan di Bursa Malaysia kelak. Kenyataan Rafizi ini menimbulkan salah faham diatas pendirian Pakatan Rakyat yang jelas menentang hasrat kerajaan mengapungkan Felda Global Ventures. Jika mereka menentang, seharusnya juga mereka menentang pemberian ini dan janganlah berjanji bahawa mereka mahu memberi 100% dari apa yang diperolehi sebab jika di bawah Pakatan sudah tentu pengapungan ini tidak berlaku.

Pakatan Rakyat sebaliknya sebelum ini berjanji untuk mengagih-agihkan tanah milik FELDA kepada para peneroka generasi kedua. Ini merupakan pendekatan populis yang cetek. Ini kerana tanah milik FELDA ini ibarat lidi seberkas, kalau diikat bersama maka susahlah untuk dipatahkan. Tetapi jika tanah itu diagih-agihkan terus kepada peneroka generasi kedua maka ia ibarat lidi sebatang, boleh dipatahkan pada bila-bila masa sahaja. Akhirnya tidak hairan jika ramai peneroka akan mengambil sikap menjual tanah yang diberi untuk keuntungan jangka pendek.

Anak-anak peneroka yang bakal mewarisi konglomerat komoditi terkemuka dunia.

Seharusnya Pakatan Rakyat juga perlu mengkaji semula dasar projek Ladang Rakyat yang amat kontroversi oleh PAS Kelantan. Berlainan dengan FELDA tanah Ladang Rakyat tidak berpeneroka sebaliknya hanya peserta yang kononnya memegang saham. Tetapi saham tersebut pula boleh ditarik balik oleh Perbadanan Ladang Rakyat pada bila-bila masa.

Hanya pemimpin yang bijak dan berwawasan dapat memberi pusaka berharga buat generasi seterusnya.

Apa yang dianjurkan oleh PAS terlalu bersifat sementara dan walaupun ada peserta yang mendapat pulangan kewangan secara bulanan tetapi ianya amatlah sedikit dan ibarat kais pagi makan pagi. Yang untung ialah beberapa tauke yang diberi hak membangunkan Ladang Rakyat tertentu sehingga 99 tahun.

Perdana Menteri semalam menyifatkan durian runtuh yang diterima oleh para peneroka tidak terbanding dengan dengan pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebelum ini. “Ini bukan BR1M… ini Broooommm….” kata PM.

Ahmad Maslan bersama Datin dan rombongannya yang bekerja keras menangkis dakyah pembangkang.

PM juga merasakan kehangatan sambutan terhadap kehadirannya oleh peneroka FELDA kelmarin adalah amat luarbiasa. Ini adalah petanda bahawa tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak dari parti pembangkang yang cuba memecah belahkan peneroka FELDA tidak memberi sebarang kesan. Para peneroka FELDA telah bertahun dihasut oleh golongan ini supaya menentang segala perancangan FELDA serta memberi persepsi bahawa FELDA adalah penipu semata-mata untuk tujuan politik.

Ada diantara kepala kumpulan penghasut ini adalah anak peneroka FELDA sendiri.

“Saya tak rela dan tak redha mereka ini terima durian runtuh!” kata PM semalam dan disambut dengan sorakan gemuruh sebagai tanda restu dari para peneroka yang hadir.