Detik penting yang dinantikan oleh seluruh pimpinan BN, UMNO dan Rakyat Kelantan. Kuli dan PM berjabat tangan.

Pada 8 November 2009 saya menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Najib Tun Razak. Dua hari selepas itu saya dipecat serta merta daripada Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Pemecatan saya tidak penting tetapi isi kandungan surat terbuka saya kepada PM adalah yang ingin saya bicarakan semula hari ini.

Berikut adalah beberapa perenggan surat saya kepada PM,

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,

Bagi pihak saya dan keluarga saya, izinkan saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas persetujuan yang telah dibuat oleh YAB Dato’ Seri untuk memberikan kepada rakyat Kelantan wang bagi mengantikan aktiviti eksploitasi petroleum di blok PM301 di pesisir pantai Negeri Kelantan.

Walaupun suara saya tidak layak mewakili rakyat Negeri Kelantan tetapi saya yakin lebih dari separuh rakyat negeri ini menolak pendirian dan kepentingan politik mereka, secara jelas amat gembira dengan pengumuman yang dibuat oleh YAB Dato’ Seri di Dewan Rakyat tempoh hari. Bulan atau Dacing, Wang Ehsan atau Wang Royalti, itu semua politik bagi kami.

Apa yang bukan politik ialah menerusi pengumuman itu, YAB Dato’ Seri telah membuat satu pengakuan rasmi bahawa ada aktiviti ekploitasi petroleum di blok PM301. Kami berharap dalam sedikit masa lagi, akan ada pula pengesahan bahawa adanya aktiviti eksploitasi di blok PM302. Seperti yang saya dimaklumkan blok PM301 dan PM302 akan semakin rancak dieskploit bermula 2011.

Yang Berhormat Menteri-Menteri sebelum ini terus menafikan kewujudan ini samada di luar atau di dalam Dewan Rakyat yang mulia itu.

Tahniah YAB Dato’ Seri kerana memperkasakan wasiat dan falsafah yang dipesakakan dari kepimpinan Allahyarham Ayahanda YAB Dato’ Seri sendiri.

Saya juga yakin, sebahagian besar rakyat negeri ini, seperti saya dan keluarga saya tidak peduli bagaimana wang tersebut disalurkan. Melalui Kerajaan Negeri atau dikawal terus oleh Kerajaan Pusat, tidak penting. Yang pentingnya ia perlu mencapai sasaran yang digariskan oleh YAB Dato’ Seri iaitu bagi menjana pembangunan negeri dan membasmi kemiskinan. Dan amat juga penting, pihak yang disalurkan kewangan itu dapat menggunakan wang tersebut dengan penuh kejujuran dan memastikan semaksima mungkin dapat dirasai terus oleh rakyat dan bukan oleh pemaju, konsultan dan lain-lain pihak ketiga.

Alangkah baiknya jika sebagai permulaannya sebuah jaringan lebuhraya dua lorong dapat dibina sebagai penyambung jambatan kasih di antara anak-anak di kota-kota besar dengan ayah bonda di kampung halaman.

YAB Perdana Menteri, anak Kelantan ramai merantau mencari rezeki dan mereka terkenal dengan kesetiaan kepada kampung halaman. Setiap kali berpeluang untuk pulang, mereka pasti mengambil kesempatan ini. Bagaimanapun, walaupun jarak menerusi jalanraya yang sedia ada walau tidak lebih 500 kilometer, mereka terpaksa mengambil masa tujuh ke sembilan jam atau pada musim perayaan memakan masa 12 ke 20 jam untuk tiba ke destinasi. Lebih dari itu, mereka terpaksa menyabung nyawa mereka dan keluarga mereka kerana kualiti jalan yang amat buruk dan merbahaya kepada tubuh yang letih akibat perjalanan yang amat lama masanya.

Alangkah indahnya jika perjalanan mereka hanya mengambil masa 5 jam sahaja dan lebih dari itu keselamatan mereka terjamin dengan kualiti jaringan jalan yang baik. Alangkah baiknya jika apa yang Dato’ Seri gelarkan sebagai ‘Wang Ehsan’ ini akan bermula dengan lebuhraya kasih yang merapatkan jarak yang tua dengan yang muda.

Apakah jari itu akan menandatangani kelulusan lebuhraya kasih?

Bait-bait seterusnya di dalam surat terbuka saya kepada PM sudah tidak lagi releven dibicarakan kerana Kerajaan Negeri Kelantan akhirnya telah membawa kes ini ke Mahkamah. Ia merupakan tindakan yang sihat dan bertanggungjawab serta ruang terbaik menyelesaikan kemelut tersebut. Oleh demikian tidaklah lagi bertanggungjawab untuk kita membicarakannya sebelum Mahkamah membuat keputusan.

Surat terbuka saya kepada PM saya akhiri dengan kata-kata demikian,

Usah dibiarkan jurang pemisah antara kita semakin menebal hari ke sehari. Usah dibiar tersebar fitnah bahawa Bulan dan Dacing adalah penjenayah yang mengakibatkan rakyat menjadi derita.

Walaupun sistem demokrasi kita warisi daripada penjajah tetapi sistem itu terus kita junjung dan sanjung. Datuk dan ayah kita berjuang bermati-matian menentang pengganas komunis kerana mempertahankan sistem demokrasi. Alhamdullilah, sehingga ke hari ini setiap kerajaan, baik di negeri atau di pusat dalam Persekutuan Malaysia ditubuhkan menerusi sistem tersebut.

YAB Dato’ Seri, sambutlah salam saya dan rakyat Kelantan. Binalah lebuhraya kasih antara kita. (posting surat ini di sini)

Ku Li menyampaikan apa yang terbuku di hatinya. Ku Li tahu ini adalah ucapan yang paling penting untuk penilaian terhadap dirinya.

Semalam, ketika memberi ucapan mengalukan kehadiran PM ke Gua Musang, YBM Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang dan Bekas Menteri Kewangan Malaysia membuat seruan yang sama, antara lain Ku Li berkongsi penderitaan rakyat Kelantan dan penduduk Gua Musang tiap kali menjelang hari perayaan. Menurut Ku Li, kesesakkan lalu lintas di Gua Musang menjelang hari perayaan adalah antara 12-16 jam dan rekodnya pula ialah 20 jam. Mereka yang pulang ke Kelantan menerusi Gua Musang terkandas di dalam kesesakkan itu disebabkan ketiadaan jaringan jalan yang sesuai menampung jumlah kenderaan yang banyak terutamanya di antara Gua Musang ke Kuala Krai. Kejadian ini juga sudah tentu menjejaskan kehidupan harian penduduk tempatan Gua Musang pada tempoh tersebut.

PM kusyuk menilai mesej-mesej tersirat dari ucapan Ku Li.

Atas sebab itu, Ku Li memohon keprihatinan Kerajaan Persekutuan untuk menimbangkan pembinaan lebuhraya 2 lorong yang boleh bukan sahaja memudahkan perjalanan dari Gua Musang ke Kota Bharu, tetapi juga menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna.

Gua Musang berkat usaha pembangunan berterusan Barisan Nasional, menurut Ku Li telah jauh berubah dari sebuah daerah bernama Ulu Kelantan dengan penduduk tidah lebih 200 orang 40 tahun yang lalu kepada sebuah bandar yang mempunyai kemudahan asas setanding dengan bandar-bandar lain. Dari hanya sebuah sekolah pada tahun 1978, kini Tengku Razaleigh sendiri pun sudah tidak mampu mengira jumlah sekolah yang terdapat di jajahan itu.

Detik-detik yang melegakan banyak pihak.

Menurut Ku Li, kejayaan membangunkan Gua Musang hari ini bermula dari wawasan Allahyarham Tun Abdul Razak yang melaksanakan rancangan pembangunan tanah hutan untuk pertanian. Apabila Barisan Nasional menang pilihanraya 1978 dan menjadi kerajaan di Kelantan, ia telah membina jalan darat menghubungkan Gua Musang dengan Kuala Krai dan seterusnya Kerajaan Persekutuan menghubungkan Gua Musang dengan Kuala Lipis.

Hari ini, rakyat Kelantan mengharapkan pula anakanda Tun Razak untuk menyempurnakan wawasan ayahandanya. Dan, rata-rata puluhan ribu  hadirin pada detik bersejarah kelmarin yakin, Najib Razak adalah tokoh yang akan mampu melakukannya untuk rakyat Kelantan.

Ibarat cuaca, kalau dulu ada kabus, hari ini terang benderang bahawa Ku Li, saya, Tok Pa (Dato’ Sri Mustapa Mohamed) dan Awang Adek (Dato’ Dr. Awang Adek Hussein) sudah bersama, kata-kata itu yang memulakan ucapan PM Najib Razak selepas itu sudah tentu melegakan rakyat Kelantan yang mahukan perubahan.

Najib Razak memalukan gendang persahabatan yang menggembirakan dan merisaukan pihak berbeza.

Janji Najib Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO bahawa jika BN mendapat mandat menubuhkan Kerajaan Negeri Kelantan di dalam pilihanraya akan datang, BN akan menjadikan Kelantan pusat memajukan Islam. Sudah tentu untuk menjadi pusat memajukan Islam, ia sudah pasti akan memerlukan bukan sahaja jaringan lebuhraya yang baik dan kemudahan air bersih, tetapi juga pelabuhan, lapangan terbang bertaraf antarabangsa dan lain-lain kemudahan termasuk talian internet berkelajuan tinggi.

Pandangan salah satu dari beberapa khemah yang penuh dengan lautan hadirin.

Bagaimanapun di dalam usaha mendapat kepercayaan rakyat Kelantan, kerajaan pusat menerusi kementerian dan agensinya perlulah lebih peka dan hormati jiwa, semangat dan identiti orang Kelantan.

Dipersembahkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan kepada Rakyat Kelantan di pagi Jumaat

Setiap pagi jumaat, kebanyakan hotel-hotel di Kota Bharu dipenuhi mereka yang datang dari seluruh pelusuk Malaysia untuk mendengar kuliah pagi Jumaat di Jalan Dato’ Pati Kota Bharu. Setiap minggu, beribu orang akan hadir untuk menambah sedikit sebanyak ilmu agama. Berbeza dengan program Pelancaran Komuniti 1 Malaysia pada pagi Jumaat oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan semalam yang sebelum kehadiran PM menghidangkan pelbagai nyayian terpekik tanpa sedikit pun menghiraukan suasana pagi Jumaat di Kelantan.

Apakah ini caranya Rais Yatim mahu orang Kelantan percaya bahawa BN mampu menjadikan Kelantan pusat memajukan Islam? Janganlah Menteri bersama Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Pengarah Agensinya memusnahkan Lebuhraya Kasih yang sudah lama kami rindukan.