Bagaimana pendidikan percuma boleh jadi buruk untuk ekonomi negara? Khaled bercakap seperti seorang yang buta ekonomi. Ada baiknya Khaled Nordin berdiam diri kalau tiada ada yang berfaedah hendak dicakapkan.

Pendidikan percuma seharusnya menjadi matlamat kerajaan untuk rakyat cuma soalnya, bilakah kita mampu melaksanakannya. Apakah pada tahun 2020 setelah kita melangkah sebagai negara maju? Ini sejajar dengan langkah pendidikan percuma yang diberikan oleh beberapa negara maju kepada warganegara mereka.

Matlamat pendidikan percuma diperingkat tertiari seharusnya menjadi salah satu agenda transformasi negara jika menteri yang bertanggungjawab, contohnya Khaled Nordin sendiri lebih peka kepada permasalahan yang berdepan dengan graduan hari ini.

Graduan lepasan Institusi Pengajian Tinggi Swasta tempatan hari ini berdepan dengan hutang automatik sehingga RM80 ribu atau lebih. Mereka ini berada pada tahap kemelut kewangan yang serius pada usia begitu muda lagi.

Saya yakin majoriti masyarakat Malaysia, seperti saya sendiri memahami beban yang terpaksa dipikul oleh negara di dalam menjadikan pendidikan tertiari percuma untuk warganegara Malaysia. Atas dasar itu kita tidak menekan kerajaan. Bagaimanapun, jika kerajaan dapat menjadikan pendidikan tertiari percuma untuk warganegara Malaysia sudah tentu ia amat membantu dalam meringankan bebanan ibu bapa dan anak-anak mereka.

Dakwaan bahawa pendidikan percuma akan menjejaskan ekonomi negara adalah hujah yang amat daif. Sekiranya kerajaan menjadikan pendidikan tertiari percuma, sudah tentu ia membantu mengurangkan bebanan masyarakat lantas masyarakat dapat berbelanja lebih dalam menyumbang kepada putaran ekonomi.

Jangka panjang ia bukan sahaja lebih baik untuk membantu negara menjadi lebih makmur dalam banyak aspek.

Apa yang kerajaan harus lakukan sekarang ialah mencari satu mekanisme yang berkesan untuk jangka pendek bagi menyelesaikan masalah hutang golongan muda yang sudah tentu lebih tidak sihat untuk ekonomi negara. Seterusnya kerajaan secara beransur-ansur mencari pendekatan untuk membolehkan warganegara Malaysia mendapat pendidikan tertiari percuma di masa hadapan.

Berkhemah atau berdemonstrasi meminta kerajaan menghapuskan segera hutang PTPTN oleh graduan bukanlah jalan keluar yang terbaik, begitu juga menembak sahaja permohonan masyarakat dengan menghina kebijaksanaan masyarakat juga sesuatu yang bukan cara penyelesaian pentadbiran Perdana Menteri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri Najib Tun Razak sudah berkali-kali menegaskan bahawa era ‘Kerajaan tahu segala-galanya’ sudah berakhir. Sekarang adalah era kerajaan berkhidmat untuk rakyat. Sekiranya ada kemelut dari permintaan rakyat yang tidak dapat ditunaikan segera, maka kerajaan perlulah mencari satu pendekatan untuk menunaikannya dalam suatu jangkamasa yang sesuai disamping perancangan jangka pendek untuk mengurangkan bebanan rakyat.

Jika rakyat berfikir bahawa melunaskan hutang yang bernilai berbillion ringgit adalah lebih baik buat masa ini dari membina sebuah lebuhraya pada harga yang sama, maka mengapa tidak kerajaan tidak mencari penyelesaian yang menasabah. Kedua-duanya baik untuk ekonomi, tetapi mengurangkan hutang rakyat tentu lebih sihat untuk menjana ekonomi daripada membebankan rakyat.

Tidak semestinya menteri-menteri kabinet perlu menembak jatuh sahaja sebarang idea yang dipromosikan oleh pembangkang. Ada diantaranya amat baik dan ada juga yang telah diadaptasikan oleh Kerajaan Persekutuan sekarang.

Sekiranya Barisan Nasional dapat mengadaptasikan saranan-saranan pembangkang yang baik untuk rakyat Malaysia, maka tidak perlulah rakyat Malaysia mengundi pembangkang untuk menubuh kerajaan di masa depan.

Sementara itu, Khaled Nordin boleh tutup mulut dahulu dan biarlah menteri-menteri lain yang lebih rasional membentuk satu mekanisme penyelesaian terhadap masalah yang membebankan ini.

Kebanyakan daripada menteri-menteri kabinet hari ini, generasi pentadbiran awam sekarang dan sebahagian besar masyarakat yang berusia hampir 40 tahun ke atas menikmati pendidikan tertiari awal sama ada secara percuma ataupun pada kadar minima ihsan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan agensi-agensi tertentu.

Fenomena berhutang pada kadar yang amat tinggi untuk pendidikan pengajian tinggi asas adalah fenomena baru yang peritnya mula dirasai tahun demi tahun. Ia perlu dirawat sebelum semakin merebak.