Kerajaan Malaysia di bawah Perdana Menteri Najib Razak seharusnya berhenti mendengar kepada puak-puak pendesak di dalam parti dan dalam kerajaan yang mahu tekanan terus diberikan kepada perhimpunan Bersih.

Sebaliknya kerajaan seharusnya memudahkan supaya puak ini dapat berhimpun tanpa sebarang kontroversi yang boleh membawa publisiti besar-besaran. Kerajaan sepatutnya mewartakan jalan-jalan yang hendak dilalui oleh puak ini untuk ditutup kepada lalu lintas pada waktu tertentu sebagaimana kita menutup jalan untuk pelbagai aktiviti yang kadang-kadang tiada kaitan langsung dengan rakyat tetapi amat-amat menyusahkan rakyat.

Jentera parti dan kerajaan pula tidak perlu dibazirkan untuk berkonfrontasi dengan puak Bersih. Cukup biar pihak berkuasa memantau dan bertindak mengikut undang-undang yang ada.

Zaman sudah berubah. Cara kerajaan dan parti yang menerajui kerajaan berfikir juga harus berubah.